SEORANG pengajar taekwondo dijatuhi hukuman penjara 30 tahun selepas didapati bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian.
Hukuman itu dijatuhkan pada Khamis (10 April) oleh Mahkamah Daerah Uijeongbu, Korea Selatan terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut yang disabitkan atas kesalahan penderaan kanak-kanak yang membawa maut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah meletakkan mangsa dalam keadaan terbalik di atas tikar lantai yang digulung, dan membiarkan kanak-kanak itu dalam kedudukan berbahaya tersebut selama 27 minit.
Tindakan itu dipercayai menyebabkan kematian mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di pusat latihan seni mempertahankan diri di Yangju, wilayah Gyeonggi.
"Defendan menyedari risiko bahawa kanak-kanak itu mungkin mati tetapi gagal bertindak," kata mahkamah dalam keputusannya.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani program rawatan penderaan kanak-kanak selama 40 jam, serta melarangnya daripada bekerja di mana-mana institusi berkaitan kanak-kanak atau belia untuk tempoh 10 tahun.
Siasatan lanjut mendapati pengajar terbabit telah melakukan sekurang-kurangnya 124 kes penderaan fizikal dan emosi terhadap 26 kanak-kanak lain di pusat latihan sama.
Antara penderaan dilaporkan termasuk tindakan mencubit pipi dan memukul pelajar.
Lebih teruk, tertuduh didapati cuba mengalihkan kesalahan kepada pengajar lain dan memadamkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebagai usaha menutup jenayahnya.
Mahkamah menyifatkan perbuatan tertuduh bukan sahaja kejam, malah menunjukkan niat jelas untuk menghalang keadilan.
Walaupun pihak pendakwa memohon hukuman penjara seumur hidup, mahkamah memutuskan tempoh hukuman 30 tahun sebagai hukuman tetap. -Agensi