SEORANG wanita memenangi kes saman buruh terhadap bekas majikannya selepas dia dipecat kerana keluar dari tempat kerja satu minit lebih awal selama enam hari dalam sebulan, menurut laporan media tempatan.
Wanita tersebut yang dikenali sebagai Wang, telah bekerja dengan syarikat berkenaan yang berpangkalan di Guangzhou, wilayah Guangdong, China selama tiga tahun dan mempunyai 'rekod prestasi yang agak baik'.
Pada akhir tahun lalu, Wang dipanggil oleh seorang pengurus sumber manusia, memberitahunya bahawa rekod daripada kamera pengawasan pejabat menunjukkan dia pulang satu minit lebih awal daripada masa yang ditetapkan selama enam hari, lalu mengeluarkan surat pemecatan.
Kecewa dengan perkara tersebut, Wang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempatnya bekerja awal tahun ini.
Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa pemecatan Wang adalah tidak sah, dan syarikat terbabit diarahkan membayar pampasan kepadanya.
Bagaimanapun, jumlah pampasan yang diperintahkan tidak dinyatakan.
Mahkamah menjelaskan bahawa meskipun Wang meninggalkan tempat kerja satu minit lebih awal daripada waktu tamat bekerja, tindakan tersebut tidak boleh dianggap sebagai 'ponteng kerja' atau satu kesalahan berat.
Tambahan pula, syarikat tersebut tidak pernah memberi sebarang amaran kepada Wang berkenaan tingkah lakunya, mahupun mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu tersebut sebelum memutuskan untuk menamatkan perkhidmatannya secara mengejut.
Keputusan mahkamah itu turut menyatakan bahawa pemecatan Wang adalah menyalahi undang-undang kerana ia dibuat tanpa bukti kukuh dan tidak mengikut prosedur yang wajar. -Agensi