Rakaman CCTV memaparkan detik sebelum seorang pekerja wanita di Bandar Lampung maut digilis forklift. -Foto Istimewa/Polres Bandar Lampung)
SEORANG pekerja wanita maut selepas digilis kenderaan forklift yang dikendalikan seorang kakitangan lain ketika sedang memindahkan guni lada putih di gudang.Kejadian dilaporkan berlaku di Kecamatan Bumi Waras, Lampung, Indonesia. Mangsa, Nuraini Maya Augustine, 22, dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, 4 November lalu.Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bandar Lampung, Kompol Regan Kusuma Wardani berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika beberapa pekerja sedang memindahkan guni berisi lada putih ke dalam gudang.Ketika itu, sebuah forklift yang dikendalikan seorang pekerja lelaki sedang membawa beberapa karung berisi lada putih untuk dipindahkan ke gudang.Menurut Regan, muatan guni lada putih yang dibawa forklift menyebabkan pandangan pemandu kenderaan itu terhalang sehingga dia tidak menyedari kehadiran mangsa.Akibatnya, kenderaan berat berkenaan merempuh dan menggilis tubuh mangsa."Beberapa pekerja yang menyedari kejadian itu segera berusaha memberikan bantuan kepada mangsa. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," ujarnya.Dalam pada itu, pihak polis mengesahkan siasatan berhubung kejadian berkenaan masih dijalankan dengan mengambil keterangan beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut dirampas untuk dijadikan bahan bukti bagi membantu siasatan.Selain itu, kenderaan forklift yang terlibat dalam kemalangan berkenaan juga telah disita untuk pemeriksaan. -Agensi