KELUHAN pengguna di kawasan bandar mengenai harga barang mentah yang tinggi mungkin tidak lagi kedengaran selepas ini dengan adanya program My Best Buy yang menyediakan lokasi-lokasi khas menjual barangan segar dengan harga lebih rendah. Bermula dengan ilham dan angan-angan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu komuniti di bandar turut merasa hasil laut dan hasil tani segar dengan harga lebih rendah seperti mana yang dinikmati penduduk di luar bandar, nyata perdana menteri tidak hanya berimaginasi kerana angan-angannya kini telah direalisasi dengan program ini. Di bawah payung atau khemah beraneka warna, berkonsep sebuah pasar, di situlah peniaga-peniaga yang terlibat di bawah program yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkumpul bersama produk jualan masing-masing sebelum ia ditimbang, dimasukkan ke dalam beg plastik dan disampaikan terus ke tangan pembeli. Menariknya pasar ini, para peniaga yang turut terdiri daripada ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sepakat menawarkan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Walau harga yang ditawarkan sudah cukup rendah, konsep tawar-menawar yang menjadi amalan dalam masyarakat kita masih diterima pakai peniaga-peniaga di sini. Pendek kata, setakat 10 atau 20 sen, mereka tidaklah terlalu berkira. Program baharu dan belum pernah dijalankan secara bersistematik oleh mana-mana organisasi sebelum ini membuatkan timbul persoalan di kalangan pengguna bagaimana harga ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit lain yang dijual di sini mampu dijual lebih rendah berbanding harga pasaran di tempat lain, khususnya di kawasan bandar. "Barangan segar ini dijual terus kepada pengguna tanpa menggunakan khidmat orang tengah, terutama kepada pengguna di kawasan bandar. Ia selaras dengan kempen Jihad Memerangi Orang Tengah yang dilancarkan Kementerian Pertanian dan Idustri Asas Tani baru-baru ini. "Kita menyasarkan lima hingga 20 peratus harga lebih rendah berbanding tempat lain melalui program ini dan pada hari ini terbukti ia boleh dilaksanakan dengan syarat tiada atau peranan orang tengah dikurangkan," kata Ketua Unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Arif Adenan. Mohd Arif meninjau harga ikan segar yang dijual kepada orang orang ramai di bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau ditemui ketika melawat gerai-gerai jualan di bawah program My Best Buy yang dibuka buat pertama kali di bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur 18 Mac baru-baru ini. Apa yang dikatakan Mohd Arif memang benar. Barang dapur dan hasil segar mampu dijual pada harga murah jika kena pada caranya! Sebagai contoh, beliau membandingkan harga ikan yang dijual di situ dengan harga di pasar borong. "Ikan merah di sini berharga RM22 sekilogram tetapi di pasar borong harganya RM28 hingga RM30 sekilogram. Begitu juga ikan tenggiri yang dijual RM22 sekilogram di sini tetapi di pasaran harganya bermula dari RM28 dan RM30 sekilogram," katanya sambil menunjukkan tanda harga yang diletakkan di setiap jenis ikan yang dijual. Mohd Arif berkata, selain membantu meringankan beban pengguna ia secara tidak langsung akan membuatkan peniaga-peniaga lain berfikir dua kali untuk menjual barangan dapur pada harga tinggi. "Secara psikologi ia adalah satu cara dan inisiatif untuk peniaga lain tidak meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk barangan dapur yang mereka jual," katanya. Sambutan Luar Biasa Program My Best Buy mendapat sambutan menggalakkan pada kali pertama diperkenalkan kepada orang ramai. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa langkah dan strategi untuk membantu mengurangkan beban komuniti ini menjadi. Jualan, walau kali pertama diadakan mendapat sambutan luar biasa daripada pekerja-pekerja di kawasan berkenaan yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan. Masuk waktu rehat, golongan ibu, sama ada dengan beg duit di tangan atau dompet yang dikepit di celah ketiak beramai-ramai menyerbu lokasi jualan. Namun, golongan bapa dan yang bujang tidak terkecuali untuk turut serta. Di situlah mereka mengambil peluang membeli ikan, sayur-sayuran, bawang, cili kering, pisang dan lain-lain barang untuk dibawa pulang ke rumah tamat waktu kerja nanti. Membuatkan mereka lebih ceria dan berpuas hati apabila di situ juga terdapat juga makanan yang dijual menggunakan caravan Fama. Ada dijual laksa Penang, popia basah dan goreng, kuih peneram, cendol, malah kambing panggang turut dijual. Sesekali, dapatlah mereka mengubah selera makan tengahari! Mohd Arif berkata selain bangunan kerajaan, jualan juga akan memberi fokus di kawasan awam yang menjadi tumpuan ramai seperti hospital kerajaan, kampus universiti, kawasan Projek Perumahan Rakyat dan kawasan perindustrian. Dari segi promosi, hebahan akan dibuat dari masa ke semasa melalui rangkaian emel, iklan dan promosi di laman sosial. "Bagi pejabat kerajaan tidak ada masalah kerana emel akan dihantar kepada sesuatu jabatan dan jabatan berkenaan akan menyebarkannya kepada jabatan atau bangunan lain di sekelilingnya. "Di laman sosial, selain memeriksa hari jualan diadakan, pengguna boleh melihat panduan harga barang yang dijual kerana harga barangan mentah sentiasa berubah mengikut keadaan semasa," katanya. Beliau berkata, jualan akan dilakukan secara berkala mengikut persetujuan pengurusan lokasi. "Ada tempat jualan dilakukan pada waktu tengari, ada juga kawasan yang jualan dilakukan di sebelah petang atau malam," katanya sambil menambah setiap lokasi mengambil tempoh masa jualan antara dua hingga empat jam. Jaminan Harga Harga jualan di bawah program My Best Buy sentiasa dipantau sesuai dengan matlamatnya untuk mengurangkan beban pengguna. Menyasarkan 700 lokasi tapak jualan di seluruh Malaysia bermula akhir Mac ini, jaminan dan kawalan harga tetap menjadi keutamaan dalam memastikan program ini mencapai matlamatnya. Justeru, sukarelawan iM4U akan bertindak memantau harga barangan yang dijual supaya ia terus berpatutan dan tidak lari daripada kempen Jihad Memerangi Orang Tengah. "Sukarelawan iM4U akan memantau harga barang dan akan membuat laporan. Setiap hasil jualan akan dicatat sebagai rekod," katanya. Beliau menambah, kerjasama dengan sukarelawan iM4U dan beberapa pihak lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan KKLW ini selari dengan konsep NBOS bagi mewujudkan kerjasama perniagaan antara agensi kerajaan dan pihak swasta/GLC. Beliau berkata, jaminan harga rendah juga dapat diberikan kerana peniaga-peniaga tidak perlu membayar sewa tapak. "Mereka hanya perlu bayar RM10 setiap kali berniaga sebagai bayaran penyelenggaraan dan pembersihan," ujarnya. Jelasnya program ini melibatkan 40 pusat operasi Fama di seluruh negara. Manfaat Bersama Bagi peniaga yang terlibat, rata-rata memuji usaha kerajaan ini bagi membantu golongan petani, nelayan dan pengguna. Rusidi Abd Aziz, 54, yang menjual hasil tani seperti keledek, pisang, limau kasturi, labu dan sebagainya berkata beliau mendapat keuntungan yang lebih dengan berniaga di sini walaupun menjual pada harga murah. Rusidi "Daripada saya memberi keuntungan kepada orang tengah, lebih baik saya jual terus kepada pembeli. "Saya rasa program ini patut diteruskan kerana ia dapat membantu petani dan pengguna sekali gus," katanya. Peniaga hasil laut dari Nekmat, Zabidi Ishak 47, berkata program ini membolehkan nelayan memasarkan terus hasil jualan mereka kepada pelanggan dengan harga berpatutan. "Kita tahu harga ikan tidak menentu mengikut musim tetapi dengan program ini pengguna masih lagi berpeluang membeli dengan harga murah berbanding harga pasaran kerana ia mengurangkan peranan orang tengah," katanya.