suria

Tune Hotel Pilihan Pelajar Malaysia Di Melbourne

Tune Hotel Melbourne di 609 Jalan Swanston, Carlton.

MELBOURNE: Tune Hotel Melbourne yang beroperasi sejak November tahun lalu menjadi pilihan utama pengunjung, terutama pelajar Malaysia dan anggota keluarga mereka dengan menjadikan hotel berkonsepkan penginapan pakaibayar ini sebagai transit yang menjimatkan.

Pelajar Malaysia yang pertama kali menjejak kaki di bumi Australia menjadikan Tune Hotel yang terletak di di Swanston Street, Carlton, di sini, sebagai tempat transit bagi memudahkan mereka mendaftar masuk ke universiti masing-masing kerana ia dekat dengan pusat perniagaan dan bandaraya (CBD) Melbourne.

Antara universiti berdekatan Tune Hotel Melbourne dan mempunyai ramai pelajar Malaysia ialah Melbourne University, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Monash University, La Trobe University dan Victoria University.

Seorang pelajar doktor falsafah (PhD) jurusan Fisioterapi Universiti Melbourne, Khatijah Bee Mohd Ali, 44, ketika ditemu bual Bernama di sini, berkata beliau memilih Tune Hotel sebagai penginapan sementara kerana ia dekat dengan kampusnya dan menjimatkan masa untuk menaiki tram, iaitu pengangkutan awam utama di bandaraya Melbourne.

"Hotel ini amat dekat dengan universiti dan saya hanya perlu berjalan 15 minit untuk ke fakulti. Jika menaiki tram, ia hanya mengambil masa lima minit.

"Cukup praktikal menginap di Tune Hotel kerana kos yang murah dan menjimatkan masa dan tenaga," katanya yang memulakan semester pertama pada Mac lalu.

Seorang pelajar RMIT University, Noor Aishah Ahmad, 27, berkata pada awalnya beliau agak bimbang mengenai soal penginapan kerana hotel di Melbourne agak mahal, iaitu antara AU$200 hingga AU$400 (RM600 - RM1,200) satu malam.

"Pada awalnya saya bercadang untuk menyewa bilik di Malaysian Hall yang terletak di High Street St Windsor tetapi mujurlah Tune Hotel membuka cawangan mereka di sini November lepas.

"Ini memudahkan ibu bapa saya ikut sama. Kami mendapat harga yang sangat murah dan RMIT juga tidak jauh dari sini. Memang berbaloi untuk pelajar Malaysia seperti kami," kata Noor Aishah yang mengambil jurusan sarjana kejuruteraan mekanikal.

Seorang lagi pelajar PhD dalam bidang perniagaan di Universiti Victoria, Swee Lin, 35, yang berasal dari Kuching, Sarawak, berkata sejak Tune Hotel ini dibuka, ramai rakyat Malaysia dapat mengiringi anak-anak mereka ke Melbourne.

"Ahli keluarga turut tinggal di hotel ini dan ia menjadi hab pelancongan bagi mereka yang bercuti sambil melawat anak mereka di Melbourne dan lokasi berdekatan.

"Saya rasa Tune Hotel patut membuka lebih banyak cawangan seperti di Perth, Sydney dan Brisbane bagi memenuhi keperluan penginapan pelajar seperti kami," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Tune Hotel Melbourne, Nathan Copsey berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakan dari pengunjung asing sejak Januari lalu, terutama dari negara ASEAN.

"Pada mulanya ia agak lembab, tetapi kini ia mencatatkan 85 peratus kadar penginapan setiap bulan berikutan pengunjung telah mengiktiraf jenama Tune Hotel," katanya.

"Ramai pelajar Malaysia bersama keluarga datang ke sini, terutama semasa majlis graduasi pada November dan Disember lalu," katanya.

Tune Hotel Melbourne mempunyai 225 bilik, iaitu bilik kembar dan bilik keluarga. Ia mempunyai kemudahan laman terbuka dalaman, kafe, tempat penyimpanan beg, dobi layan diri dan talian Internet percuma di lobi dan tempat parkir kereta.

Tune Hotel mempunyai 11 rangkaian hotel yang beroperasi di Malaysia, empat di Thailand, lima di United Kingdom, masing-masing satu di Australia, India dan Jepun.

Lebih lima juta orang sudah menginap di rangkaian Tune Hotel di seluruh dunia dan mereka boleh menempahnya melalui laman web www.tunehotels.com.

Tune Hotel, Melbourne

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain