suria

Inisiatif Hijau KL2017 Bakal Cipta Legasi

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan (kiri) menanam tunas pokok 'Damar Minyak' bagi menyempurnakan aktiviti hijau pada Majlis Pelancaran Inisiatif Hijau KL2017 di Taman Botani Perdana, baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkeples Embong (dua, kiri), Pengerusi Kumpulan SCGM Berhad Datuk Seri Lee Hock Seng (kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia Datuk Low Beng Choo (dua, kanan).

APABILA anda keluar menyaksikan acara larian atau renang berirama ketika Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 (KL2017) berlangsung tidak lama lagi, apa kata anda gunakan bas atau tren.

Jangan lupa bawa bekas air sendiri atau sekurang-kurangnya buang botol plastik anda ke dalam tong kitar semula yang disediakan di lokasi acara sukan yang dikunjungi.

Itulah saranan yang ditekankan oleh sekretariat KL2017 kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada inisiatif Green Games.

Orang ramai digalakkan untuk menaiki kenderaan awam ke mana-mana destinasi sukan KL2017 berbanding memandu sendiri ke sana.

Pihak sekretariat KL2017 turut menyediakan basikal percuma (sebuah perkhidmatan kongsi basikal) yang disediakan di beberapa lokasi bagi mencapai misi tersebut.

Selain itu, setiap penerima pingat akan menerima satu anak benih yang akan ditanam di Hutan Hujan Tropika Living Collection Banun di Grik, Perak.

"Sebagai penganjur KL2017, kami komited untuk menganjurkan sukan dalam keadaan yang mesra alam. Kami mahu memberikan impak yang positif dengan menggunakan platform ini untuk mempromosikan perlindungan alam sekitar, kata Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Masoc), Shaiful Subhan Zahrin.

"Inisiatif Hijau KL2017 melibatkan pelan pengurusan mampan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan nanti adalah melalui kerjasama dengan rakan strategik lain," katanya.

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung pada 19-30 Ogos, manakala Sukan Para Asean ke-9 pula akan berlangsung pada 19 hingga 23 September.

KL2017 akan diraikan bersama sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ini merupakan kali keenam Malaysia menjadi hos temasya sukan yang dianjurkan dua tahun sekali itu.

Berikut adalah lima kunci inisiatif hijau KL2017 dan sasarannya:

1. Pengurusan tenaga

Sekretariat Inisiatif Hijau akan menjalankan audit tenaga di lokasi-lokasi kluster utama. Analisis ke atas tempat penganjuran akan menunjukkan bagaimana dan ke mana penggunaan tenaga serta kos dapat dikurangkan. Sekretariat turut memantau dan mengira pengurangan penggunaan elektrik sepanjang temasya itu berlangsung.

Sasaran: Meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 15 peratus.

2. Pengurusan sisa buangan


Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan (kiri) meletakkan pembungkus makanan ke dalam tong sampah kitar semula bagi menyempurnakan program "Bin It Right" pada Majlis Pelancaran Inisiatif Hijau KL2017 di Taman Botani Perdana, baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkeples Embong (dua, kiri) dan Pengerusi Kumpulan SCGM Berhad, Datuk Seri Lee Hock Seng (tiga, kiri).

Tong kitar semula akan disediakan di lokasi penganjuran untuk menggalakkan pengunjung mengasingkan barangan mereka dan bagi mendapatkan bahan-bahan kitar semula. Sisa makanan pula akan diproses untuk dijadikan baja kompos. KL2017 juga akan menggunakan pembungkusan makanan dan minuman yang mesra alam. Pihak sekretariat turut bekerjasama dengan hotel untuk menggunakan minyak masak yang sudah digunakan untuk dikitar semula menjadi sabun dan lilin.


Sasaran: Sisa buangan akan dihantar ke tapak pelupusan sampah sebanyak 30 peratus.

3. Pengurusan pengangkutan

Sukarelawan dan orang awam digalakkan untuk menaiki kenderaan awam seperti LRT, MRT, bas dan perkhidmatan pengangkutuan kereta ke lokasi penganjuran. Ia bukan sahaja akan mengurangkan pelepasan karbon, malah kesesakan trafik. Pihak sekretariat akan bekerjasama dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan percuma kongsi basikal dari stesen-stesen LRT atau MRT bagi kegunaan orang awam.

Sasaran: Sebanyak 30 peratus sukarelawan dan penonton akan menggunakan pengangkutan awam.

4. Jangkauan dan penglibatan
Garis panduan akan disediakan buat sekretariat, vendor dan sukarelawan hijau untuk menggunapakai amalan yang mampan sebelum dan selepas temasya sukan berlangsung. Kempen melalui media arus perdana dan atas talian turut digunakan bagi mempromosikan lagi kempen ini.

Sasaran: Semua rakan strategik melibatkan diri pada peringkat perancangan dan pelaksanaan inisiatif hijau yang relevan.

5. Penanaman pokok
Selepas KL2017 tamat, pokok-pokok akan ditanam semula di kawasan hutan yang sudah musnah. Program ini disasarkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dan mewujudkan koleksi pokok yang jarang ditemui dan terancam.

Sasaran: Sebanyak 6,000 anak benih akan ditanam semula.

Shaiful Subhan menggesa: "Kami berharap semua orang dapat memberikan sokongan penuh untuk Inisiatif Hijau KL2017 dengan membuat pilihan yang mampan."

Inisiatif Hijau, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan