suria

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

Hasil cukai pendapatan dapat membantu kerajaan menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara.

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Masyarakat perlu sedar, dengan hasil cukai pendapatan inilah dapat membantu kerajaan menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang boleh dirasai dan dinikmati seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin kita terlepas pandang, namun itulah sumbangan sebenar oleh hasil cukai yang dibayar.

Menyedari hal itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi pembentangan Bajet 2019 telah memperkenalkan Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela.

Ia merupakan salah satu usaha kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan bagi meningkatkan kutipan cukai untuk pembangunan negara.

Dan berita penting buat semua kerana peluang pengakuan sukarela yang diperkenalkan sejak November 2018 yang dibuka di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di seluruh negara akan berakhir pada 30 September 2019.

Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela di semua cawangan LHDNM di seluruh negara.

Berikut adalah 10 perkara yang anda perlu tahu mengenai Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela.

1. Peluang kepada pembayar cukai untuk melakukan pengakuan secara sukarela dengan cara yang mudah serta pengenaan penalti minimum. 

2. Ia merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan yang sepatutnya dan apa jua pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai termasuk jumlah disimpan dalam akaun pesisir pantai.

3. Menerusi pelaksanaan program ini, kutipan cukai dan hasil negara dapat dipertingkatkan.

4. Bukan sahaja Malaysia, banyak negara lain menawarkan program pengakuan sukarela termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Singapura dan Indonesia.

5. Individu yang layak membuat pengakuan sukarela melalui program khas ini adalah:Pembayar cukai tidak pernah berdaftar dengan LHDNM, pembayar cukai berdaftar dengan LHDNM tetapi belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) / Borang Nyata Petroleum (BNP) / Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) bagi mana-mana tahun taksiran, pembayar cukai yang telah mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT tetapi tidak melaporkan maklumat pendapatan/keuntungan pelupusan aset dengan betul bagi mana-mana tahun taksiran, pembayar duti yang belum membuat penyeteman surat cara melebihi 6 bulan dari tempoh penyeteman (30 hari dari tarikh surat cara disempurnakan).

6. Pengakuan sukarela boleh berdasarkan tahun taksiran pendapatan tersebut diterima atau sepatutnya diterima iaitu tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun taksiran ke belakang bagi semua pembayar cukai, tahun Taksiran 2018 bagi syarikat yang mempunyai tempoh perakaunan berakhir 31 Januari 2018, 28 Februari 2018 dan 31 Mac 2018.


Peluang kepada pembayar cukai untuk melakukan pengakuan secara sukarela dengan cara yang mudah serta dikenakan penalti minimum.

7. Kadar penalti yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding kadar penalti sedia ada iaitu 15 peratus dari 1 Julai 2019 hingga 30 September 2019. 

8. Peringatan buat semua - program seumpama ini tidak akan dilaksanakan pada masa akan datang.

9. LHDNM akan menerima maklumat pengakuan sukarela yang diterima dalam tempoh program khas ini dengan suci hati dan semakan lanjut tidak akan dilakukan ke atas maklumat yang dilaporkan.

10. Selepas tempoh program khas ini, apa jua kesalahan cukai yang ditemui akan dikenakan penalti minimum 45 peratus sehingga 300 peratus.

Anda mahu menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dengan merebut peluang menerusi Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela? Ini yang anda perlu lakukan:

1. Bagi pembayar cukai yang tidak pernah berdaftar dengan LHDNM, mereka perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu nombor cukai pendapatan dan mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT bagi Tahun Taksiran berkaitan dalam tempoh Program Khas sama ada secara e-Filing/ e-Lodgement atau manual.

2. Pembayar cukai boleh membuat pendaftaran fail cukai pendapatan:

a) Di semua kaunter perkhidmatan (Cawangan/PKH/UTC) di mana mereka perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri atau dokumen berkaitan (sila rujuk Portal Rasmi LHDNM).

b) Secara dalam talian melalui e-Daftar iaitu bagi syarikat dan individu sahaja.

3. Bagi pembayar cukai yang berdaftar tetapi belum mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT pula, mereka perlu mengemukakan BNCP bagi Tahun Taksiran berkaitan secara e-filing atau manual.

4. Pembayar cukai yang telah mengemukakan BNCP tetapi tidak melaporkan pendapatan/keuntungan pelupusan aset dengan betul boleh membuat pengakuan secara bertulis melalui surat atau emel.

5. Pembayar cukai boleh membuat pengakuan sukarela di mana-mana pejabat LHDNM di seluruh negara termasuk Pusat Khidmat Hasil dan UTC.

6. Pembayar cukai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai LHDNM di mana-mana cawangan.

7. Pembayar cukai boleh menghubungi pejabat LHDNM yang berdekatan.

8. Hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436, 60389111100 (Luar Negara) atau emel ke 8. [email protected]


Pembayar cukai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai LHDNM di mana-mana cawangan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil kesempatan ini kerana Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela ini akan berakhir pada  30 September 2019.

Jadi apa tunggu lagi! Jom kita melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang cintakan tanah air dengan membayar cukai pendapatan. Setiap sen sumbangan anda demi Malaysia yang kita cintai.

LHDNM, Lim Guan Eng, cukai

Artikel Lain