suria

Azlia, Sentuhan Rakyat Malaysia Di AS

Produk rintis Azlia menghasilkan 150 tas tangan berkualiti hasil sentuhan Nor Fadzilah Arif.

JIKA dilihat daripada kemasan serta reka bentuk luarannya pasti anda akan terpesona dengan tas tangan ini.

Biarpun ia bukanlah daripada jenama terkenal seperti Luis Vutton, Gucci mahupun Coach, Azlia mempunyai keunikannya tersendiri.

Lebih istimewa, penghasilan tas tangan ini menggunakan kulit  berkualiti tinggi - Italian Leather.

"Saya ke Milan, Itali untuk memilih sendiri jenis kulit yang sesuai untuk digunakan dalam pembuatan tas tangan ini.

"Terdapat pelbagai jenis kulit berkualiti tinggi di Milan. Harganya agak mahal jika dibandingkan dengan jenis kulit dari negara lain, namun kualitinya memang mengkagumkan, " kata Nor fadzilah Arif kepada mStar Online ketika ditemui di  Putrajaya, baru-baru ini.

Pelbagai pilihan warna disediakan untuk memenuhi kepuasan pelanggan.

Produk sulung jenama Azlia ini dikenali sebagai Bloomfield Hobo dengan 10 pilihan warna menarik iaitu,  'army green', olive green',  'purple', 'fuchsia', 'ultra-violet', 'teal', 'blue', 'brown', 'red', dan 'maroon'.

Menceritakan detik awal menceburi bidang rekaan tas tangan, Nor Fadzilah yang lebih mesra disapa Kak Fadi ini berkata, semuanya bermula kira-kira dua tahun lalu.

"Terlalu banyak cabaran dari permulaan sehingga siap di hasilkan Bloomfield Hobo, tahun pertama sahaja saya melalui kekecewaan, apabila puluhan kilang yang saya pergi menolak cadangan untuk menghasilkan tas tangan sendiri. Pelbagai alasan diberikan.

"Soal diskriminasi juga tidak kurang hebatnya, lebih-lebih lagi saya bukanlah ‘mat saleh’ yang berkulit putih di Amerika Syarikat," kata ibu kepada sepasang cahaya mata kembar Azmi dan Alia yang kini berusia 13 tahun.

Namun itu bukanlah penamatnya, Kak Fadi berkata, Alia anak kembar perempuannya banyak memberikan kata-kata semangat setiap kali beliau mahu mengalah.

"Dia menjadi sumber inspirasi saya untuk terus menghasilkan tas tangan Azlia.

"Suami saya pula banyak membantu di belakang 'tabir'," katanya yang sudah 30 tahun menetap di Amerika Syarikat (AS).

Selepas tas tangan Azlia berjaya dihasilkan, Kak Fadi mengakui dia sendiri menjadi testimoni yang menggayakan tas tangan tersebut.

"Saya mahu melihat sendiri kualiti tas tangan yang saya hasilkan dan adakah ia mampu memberikan keselesaan.

"Saya tidak akan menjual barangan kepada pengguna sedangkan  saya sendiri tidak puas hati," kata anak kelahiran Parit, Perak yang berharap Azlia diterima di Malaysia.

Nur Fadzilah sudah 30 tahun menetap di AS.

Bercerita lanjut mengenai Azlia, Kak Fadi berkata, tas tangan tersebut dihasilkan 100 peratus di New York dan New Jersey di AS.

"Kain tebal lapisan dalaman adalah design saya sendiri yang di buat di kilang kain di New Jersey, sementara zipnya juga diperbuat daripada jenis berkualiti tinggi iaitu jenis YKK agar ia tahan lebih lasak.

"Tempat pemegang tas tangan ini diperbuat lebih lebar agar ia tidak mudah terlucut daripada bahu dan jenis benang yang digunakan juga berkualiti tinggi," kata Kak Fadi yang mengakui harga ditawarkannya lebih murah jika dibandingkan dengan tas tangan rekaan pereka baharu di AS.

Menurutnya, keuntungan bukanlah matlamat utama, bidang rekaan merupakan minatnya dan dia berharap Azlia dapat memenuhi citarasa wanita di Malaysia yang gemarkan tas tangan berkualiti pada harga berpatutan.

Azlia mencari ejen untuk memperluaskan pasaran produk berkenaan.

"Saya suka mereka dan melihat ia dihasilkan secara ‘live’. Sangat mengujakan bila kita dapat lihat sendiri tas tangan yang  dihasilkan.

"Saya tidak pernah berhenti belajar dan hingga kini saya masih lagi mencari ilmu dalam bidang rekaan tas tangan," katanya yang pernah mengambil beberapa siri kelas fesyen di Institut Teknologi Fesyen di New York tidak lama dahulu.

"Sebanyak 150 tas tangan Bloomfield Hobo ini dihasilkan setakat ini dan jika ia habis dijual baharulah saya akan keluarkan rekaan seterusnya, " katanya yang bercadang memasarkan Azlia di AS pula selepas ini.

Jelasnya, dia juga sedang mencari pihak yang berminat untuk menjadi pengedar tas tangan Azlia di Malaysia.

Azlia dijual pada harga bermula dari RM950. Bagi mereka yang berminat boleh melayari laman web www.azliany.com atau Instagram AZLIANEWYORK. 

 
 

Artikel Lain