suria

Sentuhan Ajaib Cikgu Hajar Bentuk Pasukan Kawad Kaki Terbaik Kebangsaan

Kemalangan yang menyebabkan kaki kirinya dipotong hingga betis tidak menghalang Siti Hajar untuk bangkit dan membentuk pasukan kawad kaki terbaik kebangsaan.

PETALING JAYA: Takdir menentukan segalanya apabila nikmat dilahirkan sempurna itu tidak kekal akibat kemalangan yang menimpa dirinya, sekali gus meletakkan wanita bergelar pendidik ini dalam situasi tidak keruan.

Anak kelahiran Pulau Pinang, Siti Hajar Zainuddin, melalui liku hidup penuh dugaan disebabkan tragedi yang menimpa dirinya hanya setahun selepas memikul tugas sebagai guru pada 1993.

Setiap kali menjelang hari kemerdekaan, wanita berusia 45 tahun ini pasti terkenangkan saat ngeri apabila motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta.

Sejak kejadian itu, anak tunggal yang aktif dengan kegiatan kokurikulum serta pelbagai persatuan lain itu kehilangan kaki kirinya dan detik itu sangat perit sehingga sukar diungkap dengan kata-kata.

“Sewaktu doktor maklumkan kaki kiri terpaksa dipotong, perasaan saya memang susah nak diungkap memandangkan saya seorang yang aktif dalam bidang sukan, kokurikulum dan banyak aktiviti lain.

“Saya keliru, tidak tahu bagaimana nak teruskan kehidupan dengan keadaan yang macam ni (tanpa kaki) dan saya terkejut kerana dipotong sehingga paras betis.

“Agak sukar untuk menerima kenyataan pada mulanya tetapi apakan daya ia suratan takdir,” katanya bekas anggota Pasukan Kadet Polis Sekolah Menengah Convent Butterworth itu kepada mStar Online.

Selepas kejadian, beliau meneruskan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Taka, Serdang, Kedah sehingga 1996.

Di sekolah itu, beliau banyak mendapat kekuatan dan bangun semula dari segala kesedihan serta menjadikan kekurangan itu sebagai cabaran untuk terus maju sama seperti insan sempurna lain.

“Saya keseorangan dan tak ada kawan rapat di kuaters guru, jadi saya isi aktiviti harian dengan kelas tambahan buat anak murid dan menghiasi perpustakaan memandangkan saya diberi tanggungjawab menjadi guru perpustakaan.

“Pada saya jika kita terus meratapi keadaan yang berlaku maka apa kesudahannya? Jadi dengan itu saya harus bangkit dan lakukan sesuatu serta cuba lupakan yang saya seorang cacat,” katanya.

Perpindahan ke sekolah yang lebih dekat dengan kampung halamannya iaitu SK Bagan Jermal, Butterworth pada 1997 sehingga sekarang bagaikan sinar baru buat dirinya.

Ternyata dalam diri insan istimewa ini, tiada istilah penat, mengalah atau putus asa, sebaliknya semangat tetap membara untuk bangkit menepis segala kekurangan dirinya.

Berkat ketekunan dan ketelitiannya, siapa sangka, wanita bertongkat ini dilantik sebagai ketua jurulatih kawad kaki dan ketua hakim merentas desa hingga mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan, sekali gus pencapaian yang membanggakan untuk diri dan sekolahnya.

Dan insan bergelar pendidik inilah yang merealisasikannya, apabila sentuhan ajaibnya membentuk pasukan kawad kaki sekolah tersebut selepas mengambil alih tugas itu dari pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

“Ketika mula mengajar di SK Bagan Jermal, kawad kaki memang tidak dikenali langsung kerana pelajar kurang aktif dan ia tidak diberi tunjuk ajar yang meluas. Kebetulan ketika TUDM mengajar kawad kaki saya perhatikan cara mereka mengendalikan latihan.

“Saya ambil pasukan itu dan mula mengajar. Walaupun serba kekurangan tetapi selagi saya mampu berdiri dengan tongkat dan kaki palsu, saya akan ajar dan latih mereka dengan apa juga cara,” katanya.

Berbekalkan keazaman yang kuat dan minat mendalam terhadap kegiatan unit beruniform, pasukan yang dilatihnya berjaya mendapat tempat kedua pada 2008, sebelum menduduki tempat ke-4 (2009) dan di tangga ke-3 (2010) pada pertandingan kawad kaki peringkat kebangsaan.

Pertandingan itu dihentikan sementara pada 2011 dan 2012 dan ia memberi tempoh untuk pasukannya terus berlatih hingga berjaya merangkul kejuaraan berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Ijazah Psikologi ini tidak menolak faktor kemenangan itu mempunyai kaitan dengan dirinya yang serba kekurangan, sekali gus memberi inspirasi kepada pelajarnya untuk mempamerkan aksi cemerlang.

“Saya sering katakan kepada mereka (pelajar), kalau saya seorang yang cacat ada semangat mengejar kejayaan, jadi mereka sebagai anak-anak didik saya mesti lebih bersemangat kerana mereka normal dan berupaya.

“Jika seorang guru itu berilmu tetapi tidak dicurahkan pada anak muridnya, tentu ia sesuatu yang rugi kerana legasi itu tidak bersambung dan pastinya sukar untuk membentuk generasi akan datang menjadi lebih berkemahiran,” katanya.

Bersesuaian dengan sambutan Hari Guru hujung minggu ini, tentu sekali semangat dan pengorbanan Siti Hajar wajar menjadi teladan kerana tidak pernah terdetik rasa kecewa atau menyesal dengan ketentuan takdir.

“Jika saya yang serba kekurangan ini tidak pernah mengalah atau menyesal dengan apa yang berlaku, sebaliknya terima tugasan serta cuba melakukan yang terbaik, tentu sekali guru-guru normal dan hebat dapat laksanakan tugas dengan lebih bagus lagi.

"Bagi saya, kecacatan dan kekurangan itu bukan penghalang untuk kita maju dan  berusaha menuju ke puncak kejayaan, oleh itu  buatlah sesuatu itu ikhlas kerana Allah SWT, bangsa serta agama dan jangan sesekali kita mudah mengeluh, cepat marah tetapi yang penting itu adalah semangat, usaha, doa dan tawakal,” ujarnya mengakhiri bicara.

 



Artikel Sebelum

Erti 13 Buat Zurinah Hassan

Artikel Berikut

Artikel Lain