KEENAKAN cendol Mustafa di Kuantan, Pahang, tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia terletak di Jalan Teluk Sisik dan dibuka setiap hari. Pada minggu ini, kami membawakan beberapa tempat makan menarik di pantai timur yang murah dan wajib dicuba bermula dengan gerai cendol. Saya berkunjung ke negeri itu bersama dengan isteri dan keluarganya untuk melawat pak cik mereka pada Tahun Baru Cina. Perjalanan ke Kuantan mengambil masa selama dua jam setengah menggunakan Lebuhraya Pantai Timur dari Gombak. Sebaik sampai, agenda pertama kami adalah untuk mencari tempat makan menarik dan adik ipar saya, Vincent yang bekerja dan menetap di Kuantan selama beberapa tahun membawa kami ke gerai Cendol Mustafa (N 03 48.935, E 103 20.548). Sampai saja di sana, gerai tersebut dipenuhi pelanggan. "Awak mesti cuba mee rojak ayam, ia amat sedap!" kata Vincent. Mee rojak ayam itu berharga RM6, tiada banyak beza dengan harga di Lembah Klang. Rasanya boleh tahan, saya beri markah tiga dari 10. Kenapa? Ayam goreng itu terlalu keras. Apa yang paling menyelerakan adalah cendolnya, berharga RM1.70. Saya beri markah tujuh daripada 10 untuk cendol tersebut. Selain cendol, terdapat beberapa gerai yang menjual pencuci mulut mengikut citarasa anda. Cendol Mustafa dibuka setiap hari untuk sarapan, makan tengah hari dan minum petang.