KUALA LUMPUR: Tidak sampai setahun beroperasi dan bersaing dengan restoran ternama lain di kota New York, restoran Mamak Malaysia mencipta nama apabila diiktirafkan dengan penarafan 'Satu Bintang' oleh Michelin Guide, buku panduan antarabangsa bagi hidangan menarik dan menyelerakan. Dimiliki oleh Nani Rahayu Yusof Hughie, bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), restoran itu yang menyajikan hidangan popular masyarakat India Muslim Pulau Pinang, diberikan pengiktirafan itu oleh Michelin Guide pada Disember lepas. Penarafan itu diberikan Michelin Guide berdasarkan laporan pemeriksa yang identitinya dirahsiakan, apabila mengunjungi sesebuah restoran. Penarafan 'Satu Bintang' menunjukkan kehebatan sesebuah restoran itu dalam menawarkan hidangan bertaraf tinggi dengan kesedapannya konsisten. "Saya terkejut dan berbesar hati dengan pengiktirafan ini kerana saya bukannya chef professional, begitu juga dengan pasukan di restoran saya. Malah, saya amat baru dalam perniagaan restoran, belum sampai setahun pun," kata Nani Rahayu kepada Bernama baru-baru ini. Menurutnya surat pengiktirafan "Satu Bintang" Michelin Guide itu diterimanya pada 23 Disember lepas. Nani Rahayu, 42, yang juga seorang penulis bebas, berkata anugerah itu amat bermakna buat dirinya dan pasukan restorannya yang gigih bekerja untuk memastikan hidangan disediakan mengikut standard tinggi dan konsisten. Restoran Mamak Malaysia menampilkan masakan India, Melayu dan Cina yang popular di Pulau Pinang, katanya sambil menjelaskan beberapa hidangan itu tidak dijual di restoran Malaysia lain di Amerika Syarikat. Dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang, Nani Rahayu menubuhkan Mami Penang Cooking Inc, syarikat berdaftar yang mengendalikan Mamak Malaysia, iaitu restoran Malaysia pertama yang halal sepenuhnya di kota New York. Restoran itu terletak di 35-20 Farrington Street, Flushing di kawasan bandar Queens. Sejak berpindah ke New York pada 2005 kerana mendirikan rumah tangga dengan pakar pemakanan warganegara Amerika Syarikat, Nani Rahayu telah membina dua perniagaan yang berjaya iaitu Masakan Mami PG yang terkenal dengan Nasi Lemak dan Nasi Kandar, serta Melayu Cookies yang popular dengan Kuih Tart Nanas dan kuih Samperit Bunga. Restoran Mamak Malaysia pula terkenal dengan Nasi Kandar Udang, Nasi Kandar Daging Lembu, Nasi Kandar Sotong, Bendi Goreng dan Kambing Rendang. Nani Rahayu berkata dalam tempoh tiga bulan selepas pembukaannya, restoran itu menerima reaksi positif daripada pelbagai media termasuk The New York Times, The New York Magazine, Chopsticks and Marrow dan Chowhound. "Kami juga dipaparkan dalam segmen televisyen Globe Trotter oleh Jon Haggins. Chowhound pula memilih kami sebagai 'The Best New York Chowhound Find in 2013' pada 5 Januari," katanya. Beliau berkata beberapa blog makanan terkenal seperti Midtown Lunch, Eating in Translation dan Chubby Chinese Girl Eats telah memberi ulasan menarik mengenai Mami PG pada tahun lepas selain liputan oleh pelbagai akhbar di Malaysia. Sejak dibuka pada Mei tahun lepas, Mamak Malaysia juga menarik kunjungan kerabat diraja, orang kenamaan dan selebriti, yang turut memberi sentuhan kemasyhuran dan glamor untuk restoran itu. Nani Rahayu berkata beliau merasa bangga kerana berpeluang memberi perkhidmatan kepada putera Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah dan rombongannya semasa lawatan mereka ke New York pada 2 November lepas. Menteri-menteri, Anggota Parlimen serta selebriti dari Malaysia tidak ketinggalan mengunjungi Mamak Malaysia, yang turut menyediakan perkhidmatan katering bagi beberapa Misi Tetap Asean ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan atau perayaan masing-masing. Selain itu, Mamak Malaysia juga memberi perkhidmatan kepada pejabat NBC, PBB, Warner Brothers, Seamless, Tourism Malaysia dan pelbagai Misi Tetap ke PBB dari Malaysia, Brunei dan Singapura. Memandangkan perniagaannya semakin berkembang, Nani Rahayu turut mendapatkan kerjasama Queens Economic Development Corporation untuk membangunkan produk jenama syarikatnya bagi pasaran Amerika Syarikat. Namun, ini tidak mudah kerana beliau perlu mematuhi prosedur ketat dan undang-undang negara itu dalam memasarkan produknya. "Membuka restoran juga bukanlah senang kerana ia memerlukan kerja keras, perancangan dan komitmen tinggi. "Keadaannya lebih sukar di luar negara memandangkan cabaran dan halangan besar yang perlu saya hadapi...saya perlu tabah dan bersemangat tinggi untuk melakukannya," kata Nani Rahayu ibu kepada anak lelaki berusia 5 tahun dan anak perempuan berusia 3 bulan. Untuk itu, beliau menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter bagi mempromosikan restorannya selain saling berhubung dengan rakan dan pelanggannya. Nani Rahayu berkata kemahiran keusahawanannya disemai sejak remaja dengan menjual Mee Rebus Mamak semasa Hari Kantin di sekolahnya setiap tahun. "Ketika belajar di kolej pula, saya menjual burger. Perniagaan itu kemudian diteruskan adik saya di kampung," katanya. Nani Rahayu dilahirkan dalam keluarga berdarah campuran. Ibunya berketurunan Punjabi dan India Muslim manakala bapanya, seorang guru, dari keturunan Belanda, Thailand dan Nyonya. Dibesarkan dalam masyarakat majmuk India, Melayu dan Cina di Georgetown, Nani Rahayu didedahkan dengan dunia masakan asli Pulau Pinang sejak berumur 10 tahun. - BERNAMA