GEORGE TOWN: Walaupun hanya terletak di tingkat bawah flat kos rendah di Kampung Melayu, Air Itam di sini, restoran Nasi Kandar Kg Melayu memang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. Perniagaan nasi kandar yang beroperasi sejak 1970 itu sentiasa memikat hati pelanggan dari dalam dan luar negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Keenakannya memang tiada tandingan. Ia dapat dibuktikan dengan kesanggupan pelanggan beratur panjang terutamanya pada cuti hujung minggu semata-mata untuk menikmati keenakan nasi kandar tersebut. Restoran yang diusahakan Abdul Nazir Abdul Razak, 58, dan isterinya Zainab Md Eusoff, 51, itu dibuka seawal pukul 6 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari. Bagi pelanggan yang tidak berkesempatan datang ke restoran di Kg Melayu, mereka boleh menikmati juadah istimewa tersebut di Komplek Penjaja (MPPP) Desa Mawar, Farlim Air Itam yang beroperasi pada pukul 4.30 petang hingga 10.30 malam. Menurut Zainab, untuk mengekalkan kelazatan nasi kandar tersebut, mereka menggunakan daging lembu tempatan, rempah kari giling dan bawang dalam kuantiti yang banyak untuk keenakan rasa kuah karinya. "Restoran ini mempunyai seramai 15 pekerja dan dibantu oleh dua kakak ipar saya yang menjadi tukang masak khas di sini. "Proses menyediakan keperluan untuk memasak mengambil masa yang lama, jadi kami akan bangun seawal pukul 2 pagi," katanya kepada mStar Online. Zainab berkata, nasi kandar itu merupakan resipi turun-temurun daripada bapa mertuanya yang berasal dari Sri Lanka. "Bapa mertua saya seorang yang kreatif dan suka mencuba. Dia belajar dari seorang rakannya yang mengusahakan restoran nasi kandar di Datuk Keramat sebelum membuka perniagaannya sendiri," kata ibu kepada empat orang anak itu. Zainab berkata, restoran itu menyediakan 15 pilihan makanan termasuk ayam ros, kari ayam, kari kepala ikan, rendang daging, bendi rebus dan roti canai. "Dalam satu hari kita berjaya menjual kira-kira 700 pinggan nasi kandar pada hari biasa. Kalau hujung minggu atau cuti sekolah kita boleh jual sampai 1000 pinggan," katanya. Malah, nasi kandar tersebut turut digemari Sultan Kedah yang akan membuat pesanan sekiranya datang ke Pulau Pinang. "Pekerja hotel tempat baginda tinggal akan datang ke sini, beli beberapa bungkus nasi kandar untuk dibawa balik," katanya. Ketika ditanya mengenai jualan sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, Zainab berkata, kehadiran calon yang bertanding membantu mempromosikan restoran tersebut kepada orang ramai. "Jualan meningkat sedikit berbanding hari biasa. Malah seorang calon Bebas turut tidak ketinggalan menikmati nasi kandar di sini," katanya.