KETIKA di asrama dulu, ia dinamakan ikan jaket walaupun nama sebenar cencaru. Semuanya kerana kulitnya yang keras. Selain dimasak taucu, ia juga sedap jika disumbat dengan sambal atau sambal kelapa dan pasti menyelerakan untuk berbuka nanti. Masakan ini juga dikenali sebagai ikan belah belakang. Bagi yang bekerja, sambal boleh disediakan lebih awal, manakala ikan disiang dan disimpan dalam peti sejuk. Jadi tentu sekali mudah untuk menggoreng sebaik pulang kerja. Ikan Cencaru Sumbat Bahan: 3 ekor ikan cencaru - bersihkan dan belah belakang dan lumurkan garam dan kunyit Inti: 1 cawan kelapa parut 2 biji cili merah - dibuang biji dan ditumbuk 1 ulas bawang putih - tumbuk 1 labu bawang besar- tumbuk 2 sudu pati asam jawa gula belacan garam Cara: Kelapa parut, cili dan bawang perlu ditumbuk. Kemudian ditambah asam jawa, gula, belacan dan garam serta digaul sebati. Seterusnya barulah inti ini disumbat ke dalam perut ikan cencaru. Pastikan minyak panas dan goreng hingga garing. Sedia dihidangkan.