TEMERLOH: Biarpun harganya mencecah puluhan ringgit, malah ada sehingga ratusan ringgit, ikan patin liar seperti patin buah dan patin muncung tetap menjadi pilihan sebagai juadah berbuka puasa rakyat di negeri ini. Bagi penggemar ikan spesis berkenaan, harga patin buah dan patin muncung yang mencecah RM80 hingga RM100 sekilogram bukanlah halangan untuk mereka menikmatinya. Ditambah lagi apabila ikan patin tersebut dimasak asam tempoyak dan pais tempoyak, sudah cukup membuatkan mereka yang menggemari hidangan tersebut melupakan soal harganya yang mahal. Bagi Saadiah Mat Lazim, 45 tahun yang bekerja sebagai seorang penjawat awam di Temerloh, hidangan berbuka mereka sekeluarga bagaikan tidak lengkap jika tidak dapat menikmati masakan ikan patin. "Ikan patin dan lain-lain ikan Sungai Pahang sememangnya mahal, tetapi ia enak dan lazat serta membuka selera. Biar pun mahal tetapi bila dimakan ia memberikan kepuasan. Patin buah dan patin muncung, dagingnya halus dan sukar diperolehi. Hanya di Sungai Pahang di daerah Temerloh, Pekan, Jerantut, Bera dan Lipis sahaja yang terdapat ikan jenis tersebut," katanya kepada Bernama di sini. Sementara itu, seorang nelayan sungai di Kampung Tanjung Batu, Temerloh, Halim Mad Saad, 56, berkata permintaan untuk ikan patin liar di dalam bulan puasa ini meningkat berbanding hari-hari biasa. "Sebelum bulan puasa saya hanya beroleh pendapatan antara RM100.00 hingga RM145.00 sahaja sehari, tetapi sejak bulan puasa ini pendapatan berganda dan setiap hari ada sahaja tempahan daripada pelangan," katanya. Katanya untuk menangkap ikan jenis itu, nelayan biasanya akan menggunakan jaring kerana peralatan lain seperti jala dan pukat sukar mengena memandangkan ikan patin suka bermain di tepi lubuk dan pokok buluh. Sementara itu, pengusaha ikan patin sangkar turut mendapat tempias rezeki di bulan Ramadan apabila permintaan untuk ikan itu yang biasanya dijual dengan harga RM15 sekilogram meningkat setiap hari. Bagi Halim Mat Diah 37 tahun yang mengusahakan ikan patin sangkar di Semantan, Temerloh, sebelum bulan Ramadan beliau biasanya menjual antara 20 hingga 25 kilogram sahaja ikan patin sehari. "Namun kini, ia meningkat kini lebih 40 kilogram dan kadang-kala hingga 80 kilogram sehari," katanya. Beliau mempunyai 30 sangkar ikan sungai dengan 15,000 ekor ikan patin dan talapia untuk di pasarkan pada bulan puasa dan hari raya nanti.