SETIAP kali tibanya bulan puasa, bazar Ramadan pastinya menjadi destinasi yang wajib dikunjungi untuk membeli juadah berbuka.
Umpama one-stop center, kunjungan ke bazar Ramadan tentu sekali membuatkan anda rambang mata dengan pelbagai juadah sama ada kuih muih, minuman hinggalah ke sajian makanan utama seperti nasi dan lauk-pauk.
Mengambil konsep bazar Ramadan, Hotel Grand BlueWave Shah Alam tidak ketinggalan menyediakan promosi berbuka puasa dengan menyediakan lebih daripada 250 jenis makanan.
Menariknya, setiap kedai yang dibuka mempunyai tema tersendiri dengan pelbagai jenis hidangan meliputi juadah tradisional, antarabangsa, BBQ dan 'makanan gerai’.
Menerusi Promosi Sinar Ramadan 2015, Restoran Royale Songket di Hotel Grand BlueWave Shah Alam menyediakan beberapa sajian istimewa yang perlu dicuba khususnya mee udang sado, kambing golek, kebab Turki serta ayam golek percik.
Selain itu buat pertama kali, Hotel Grand BlueWave Shah Alam turut memperkenalkan menu istimewa terbaharu sempena Ramadan kali ini iaitu ais krim pukat.Menurut Ketua Chef, Shumizan Muhammad Ali, ais krim pukat ialah gabungan makanan tradisional Melayu iaitu roti jala dengan ais krim.
Lebih menarik, sempena promosi awal Ramadan, hotel ini menawarkan pakej serendah RM58 hingga RM90 seorang bermula 1 hingga 10 Ramadan bersamaan 18 hingga 27 Jun.