suria

Nikmati Nasi Ambeng Di Riverstone

SESEKALI lari dari hiruk-pikuk kota dengan menikmati hidangan berbuka puasa di Riverstone Eco Resort (Riverstone) yang dikelilingi suasana alam semulajadi pastinya mendamaikan jiwa.

Apa tidaknya, bersantai sambil menikmati sajian nasi ambeng, hidangan tradisional masyarakat Jawa yang menjadi tarikan utama di resort yang terletak di Jalan Sungai Tua, Selangor itu sambil ditemani bunyi unggas rimba dan deruan air sungai.

Enggan mengecewakan peminat makanan Jawa, Pengurus Besarnya, Hamidah Asararuddin, 50, berkata resort tersebut menyediakan hidangan tersebut sebagai menu utama sepanjang Ramadan.

Bagaimanapun, kali ini buat pertama kalinya resort itu tampil dengan kelainan apabila tidak menyediakan sajian bufet untuk berbuka puasa.

"Jika sebelum ini kami sediakan hidangan bufet, tapi kali ini ada sedikit perubahan, tiada lagi bufet untuk berbuka puasa. Kami fokus kepada sajian nasi ambeng seperti biasa," katanya.

Nasi Ambeng yang menjadi tarikan utama di Riverstone.


Bagi penggemar makanan itu, Hamidah berkata, mereka boleh menikmati set dulang besar untuk empat orang bersama air sirap pada harga RM50.

Set nasi ambeng itu terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mee goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.

Uniknya, Hamidah akan menyediakan sendiri sajian tersebut dengan menitik beratkan penggunaan ramuan dan rempah-ratus yang terbaik untuk mengekalkan mutu dan keasliaan dalam  masakannya.

Namun, katanya, beberapa lauk tambahan seperti daging salai masak lemak cili api, ikan tongkol masak penachi, lele masak kencur, pecal, pengat labu dan sagu gula melaka turut disediakan untuk set bersama nasi ambeng.

Deruan air Sungai Tua pastinya menenangkan jiwa. - foto FB Riverstone Eco Resort.

"Set tersebut ditawarkan pada harga RM70 yang merangkumi hidangan nasi ambeng bersama satu sajian tambahan dengan pencuci mulut yang disediakan mengikut hari dan air sirap," katanya.

Beliau berkata, jika ada permintaan untuk sajian bufet, hidangan akan disediakan berdasarkan tempahan 50 orang ke atas dengan kadar RM30 seorang.

Sajian nasi ambeng sempena Ramadan di Riverstone Eco Resort bermula pada 20 Jun sehingga 14 Julai ini dan dibuka dari pukul 5 petang hingga 9 malam.

Kemudahan surau turut disediakan sama ada untuk solat Maghrib ataupun tarawih.

Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan sila hubungi 013-2080833.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain