BERSEDIAKAH anda untuk menikmati pelbagai hidangan berbuka menarik yang disediakan oleh chef di Warisan Cafe, The Royale Chulan di sini, Ramadan ini? Terdapat lebih 1,000 menu lazat untuk dipilih dan dengan cara berkunjung sendiri ke sini membolehkan anda mencuba masakan hidangan yang disediakan. Menariknya, persembahan ghazal secara 'live' bakal menemani makan malam anda secara tidak langsung menjadikan pengalaman berbuka di hotel ini sebagai sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Setelah berbuka puasa dengan pelbagai jenis kuih Melayu dan kurma Arab, tetamu juga dapat menikmati hidangan lazat Melayu asli dan kontemporari. Pastinya, menu utama yang menjadi pilihan ramai adalah kambing, di mana di kebanyakan hotel dan restoran lain juga menawarkan menu yang sama pada Ramadan ini. Di Royale Chulan ini misalnya, turut menawarkan Kambing Golek, sebagai menu istimewa yang disediakan oleh tukang masak eksekutifnya, Chef Sabri Soidand bersama pasukannya. "Selain menggunakan herba dan rempah ratus untuk memerap daging, saya juga menambah habbatus sauda (jintan hitam). Ini bertujuan untuk memberikan daging tersebut rasa yang pedas dan menambah perisa," katanya. Kambing yang dipanggang lembut dan enak, malahan dagingnya jatuh dari tulang, sekali gus memudahkan ianya dijamah. Tambahan pula lebih 30 jenis sos disediakan mengikut selera anda. Sebahagian daripada sos termasuk chutney ketumbar, sos lada pudina, terung raita, lada raita dan mangga chutney. Untuk pembuka selera, ditawarkan lebih 50 jenis ulam dan lebih 60 jenis kerabu seperti kerabu ayam percik, tauhu sumbat, kerabu telur sotong dan kerabu keli bakar. Selain tu, rojak, jeruk, ikan bakar, nasi ayam dan pelbagai jenis mi juga mendapat tempat untuk menu Ramadan kali ini. Bagi mereka yang mencari makanan ringan untuk berbuka sebelum menunaikan solat, hidangan lok lok, yang menawarkan lebih dari 30 bahan-bahan, adalah pilihan yang tepat. Masakan kampung yang dihidangkan di sini yang membuatkan santapan berbuka puasa lebih bernilai untuk ditunggu adalah gulai ikan talang masin, kurma telur, peha kambing masak kicap, ayam masak merah badam, goreng ikan berlada, dan banyak lagi. Selain masakan Melayu, pengunjung juga mempunyai pilihan masakan lain seperti masakan Jepun, Timur Tengah dan hidangan makanan laut juga disediakan disini. Terdapat lebih 100 pencuci mulut yang tersedia seperti kek, donat, kuih, biskut raya, ais krim dan juga popcorn. Bufet berbuka puasa ini ditawarkan sehingga minggu terakhir Ramadan pada harga RM138 bagi dewasa dan RM98 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Warisan Cafe 03-2688 9688 sambungan 611.