suria

Tepung Pelita Juadah Iftar Pilihan Ramai

MELANGKAH ke penjuru bazar Ramadan di Jalan Teknologi 3/6A di Seksyen 6, Kota Damansara terdapat gerai yang menjual kuih yang diberi nama Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras.

Peniaga kuih tersebut, Saifudin Baharudin, 34, berkata label Paya Jaras, Sungai Buloh sudah tidak asing lagi dengan kuih tepung pelita.

“Pertama kali menjadi peniaga di bazar Ramadan, saya mengambil keputusan untuk menjual kuih yang sudah lama popular dan dikenali ini,” katanya sambil menambah Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras juga boleh didapati di bazar Ramadan seluruh Lembah Klang.

Tambahnya lagi, kuih tersebut menjadi istimewa kerana masih menggunakan resepi yang diwarisi sejak sekian lama.

Kuih tradisional yang mempunyai dua lapisan ini dibuat mengunakan santan, tepung jagung, tepung beras dan diletakkan di dalam bekas empat segi yang dilipat kemas menggunakan daun pandan.

Pembeli kuih tersebut, Mizi Mat Noor berkata, Tepung Pelita Paya Jaras antara kuih paling sedap yang pernah keluarganya cuba setakat ini.

“Tepung Pelita memang juadah wajib berbuka puasa isteri  tapi saya pula lebih gemar murtabak,” katanya yang tinggal di Seksyen 10, Kota Damansara.

Bagi Fatimah Zahara pula, tepung pelita merupakan satu juadah wajib ketika tiba bulan Ramadan.

“Saya memang suka memasak untuk berbuka puasa.

"Keluarga pula akan ke bazar Ramadan dan selalunya kuih Tepung Pelita yang akan dibeli untuk hidangan bersama,” katanya yang tinggal di PJU 3, Petaling Jaya.

Berbalik semula kepada peniaga kuih itu, Saifudin berkata, dia menetapkan sasaran dengan menjual 10 dulang kuih pada hari biasa dan 15 dulang pada hujung minggu.

Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras ini dijual pada harga RM3 untuk lima biji.





Artikel Lain