SELAIN menggandakan amal ibadat, makanan juga merupakan salah satu aspek penting sepanjang bulan Ramadan. Menjelang ketibaan bulan mulia itu, hotel dan restoran berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej bufet Ramadan untuk dinikmati selepas seharian menjalani ibadat puasa. Pullman Putrajaya Lakeside menawarkan satu konsep yang berbeza berbanding lokasi berbuka puasa lain. Khusus buat penggemar durian, bufet Ramadan di Pullman pastinya pilihan yang tepat buat anda kerana di sinilah anda dapat makan durian sepuas-puasnya ketika berbuka. Bertemakan 'Magical Ramadan Nights', kemeriahan di Pullman bermula dengan 'unlimited' durian buat penggemar raja buah itu. Bukan itu sahaja, 'kemeriahan' menu berbuka puasa di Pullman pastinya membuat anda rambang mata untuk memilih lebih 300 hidangan yang disediakan pada setiap hari. Berkonsepkan bazar terbuka di perkarangan hotel itu, sudah tentu ia memberi keselesaan buat pengunjung. Antara juadah yang ditawarkan ialah pilihan makanan laut segar yang dibakar, hidangan berasaskan nasi dan mee, daging bakar, kerabu, salad, pizza, makanan barat dan timur tengah, buah-buahan serta banyak lagi. Sudah pasti 'bilik pencuci mulut' juga merupakan salah satu tarikan utama yang ditawarkan hotel bertaraf lima bintang itu. Cuba anda bayangkan, pencuci mulut yang comel, berwarna-warni dan sedap diletakkan dalam satu bilik khas dan anda bebas berjalan di situ sama ada untuk mencuci mata, atau untuk menikmatinya. Ruangan itu bukan sahaja menjadi tumpuan utama kanak-kanak malah orang dewasa juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba semua pencuci mulut yang disediakan. Bagi menambahkan kemeriahan berbuka puasa di Pullman, pengunjung juga akan dihidangkan dengan persembahan nyanyian, persembahan api, badut dan macam-macam lagi. Dalam berhibur dan menjamu selera, Pullman turut menambah kapasiti ruang solat mereka sehingga berupaya memuatkan 500 jemaah pada satu masa. Inisiatif ini pastinya akan memberi kemudahan dan keselesaan bagi pengunjung yang mahu menunaikan kewajipan setelah selesai berbuka puasa. Selain hidangan dan hiburan, anda juga dapat menyaksikan pemandangan matahari terbenam di tasik bersebelahan hotel itu. Malah, menara utama di lokasi itu juga akan melaungkan azan menandakan masuknya waktu berbuka, selain memancarkan persembahan lampu LED yang pastinya mewarnai pengalaman berbuka puasa di sana. Dengan harga RM188 untuk dewasa dan RM110 untuk kanak-kanak, ia pastinya sangat berbaloi. Untuk tempahan dan sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi 03-88900000, 016-8900142 atau emel ke [email protected].