suria

Kambing tenpayaki tarikan CMC Sikamat sepanjang Ramadan

BERTEMAKAN Lambaian Desa berkonsep suasana kampung Melayu dengan sajian selera asli kampung, Cahyamata Catering (CMC) menawarkan hampir 60 menu makanan bagi memenuhi keperluan pengunjung berbuka puasa di Dewan Arena CMC yang terletak di Sikamat, Negeri Sembilan.

Pengarah Urusannya, Zahriman berkata, Dewan Arena CMC menyediakan bufet Ramadan yang akan beroperasi bermula 18 Mei hingga 10 Jun 2018 mengetengahkan makanan terkenal di negeri tersebut antaranya daging salai omak den, sambal daun kayu Cik Ros, keli balado ibu dan daging rendang, gulai kawah dan nasi beriani.

Menurutnya, selain menu utama, sebanyak 12 gerai  menghidangkan pelbagai segmen makanan seperti kambing tenpayaki, makanan goreng, ayam goreng pandan, kuih-muih dan pencuci mulut.

“Saya menggunakan nama 12 gerai dengan nama kawasan terkenal di Negeri Sembilan antaranya Jemapoh, Gebok, Tengkek, Terachi, Kundur dan Miku. Nama-nama ini ada keistimewaannya tersendiri.

“Hidangan kambing tenpayaki adalah menu utama dan ia resipi kami sendiri serta paling laris. Ia adalah perapan kambing dengan pelbagai rempah ratus selama beberapa hari dan dimasak secara tenpayaki serta dihidangkan dengan sos lada hitam,” katanya pada sidang media sempena sesi pengenalan Bufet Ramadan Dewan Arena CMC, di Sikamat, Negeri Sembilan.

Zahriman berkata, nasi beriani yang dihidangkan menggunakan rempah ratus berkualiti, malah dimasak secara tradisional menggunakan dapur kayu.

“Ruang legar yang menempatkan bufet Ramadan itu boleh memuatkan sehingga 600 orang dalam satu-satu masa. Kami sasar peratus pelanggan terdiri daripada pelanggan setia katering iaitu daripada kumpulan korporat, individu dan juga berkeluarga.

Katanya, kedudukan Dewan Arena CMC mudah diakses melalui Lebuh raya Lekas dan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

Tambahnya, tempahan boleh dibuat seawal tiga hari dan harga pakej Ramadan ditawarkan pada harga RM33 dewasa, RM15 kepada kanak-kanak dan percuma kepada orang kurang upaya.-SinarHarian




CMC, Sikamat, Ramadan

Artikel Lain