HIMPUNAN juadah tradisi 11 negeri dalam satu lokasi pastinya memberi variasi pilihan untuk anda menjamu selera sewaktu berbuka puasa. Inisiatif Vasco's di Hilton Kuala Lumpur dalam menghimpunkan lebih 200 juadah menerusi bufet Ramadan yang bertemakan kenduri-kendara pastinya menampilkan sesuatu yang berbeza. Menurut Chef Faizal Ghani, dia bersama lima chef lain berhasrat agar pengunjung Vasco's dapat mengimbau pengalaman berbuka puasa di kampung dengan menjamu selera di situ. "Kalau tahun lepas tema Baba dan Nyonya, tahun ini tema kenduri-kendara melibatkan juadah dari 11 negeri. "Kami mahu apabila mereka berbuka puasa di sini, ia dapat memberi satu 'feel' seperti berbuka puasa di kampung seperti zaman dahulu," kata Faizal kepada mStar Online. Juadah-juadah berkenaan merupakan resepi asli dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Bagi memudahkan pengunjung, juadah 11 negeri itu dihidangkan di stesen-stesen makanan berbeza. Sekiranya anda ke stesen hidangan Perlis, gulai daging dengan umbut pisang ala canggung adalah hidangan yang wajib dicuba. Bagi mereka yang berasal dari kampung, pastinya sukar untuk mereka mencari hidangan berasaskan umbut di kota raya Kuala Lumpur. Jadi, mereka seharusnya tidak melepaskan peluang untuk merasainya di Vasco's. Bagi penggemar juadah Terengganu, yang paling menarik perhatian ialah nasi dagang Ulek Mayang dan nasi dagang watimang landok. Juadah Kelantan pula menampilkan singgang rusuk lembu Cong Codei yang diinspirasikan dari drama televisyen popular, Pok Ya Cong Codei. Selain itu, pelanggan juga berpeluang merasai keenakan masak salai gulai lemak cili api Nismilan, ikan patin Sungai Tempoyak gurindam Pahang, asam pedas dondang sayang dengan burasak dan banyak lagi. Tidak hanya memfokuskan hidangan tradisi 11 negeri, Vasco's turut menawarkan seleksi hidangan barat seperti pizza, pasta dan hidangan Jepun seperti sushi dan sebagainya. Mampu menampung sehingga 600 pengunjung pada satu masa, anda seharusnya mengajak semua ahli keluarga dan sahabat handai untuk berbuka puasa di sini. Selain itu, ruang solat bukan sahaja disediakan di surau, malah pihak Hilton Kuala Lumpur turut membuka bilik untuk tetamu menunaikan kewajipan mereka. Mereka yang berminat boleh mendapatkan pakej dengan harga bermula RM188 untuk dewasa dan RM100 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.