BERKONSEPKAN pasar malam, Restoran Riverside di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menawarkan lebih daripada 300 juadah makanan untuk anda berbuka puasa. Cuba anda bayangkan, dengan harga serendah RM88 untuk dewasa, RM75 (warga emas 60 tahun ke atas) dan RM45 (kanak-kanak 7 hingga 12 tahun), anda boleh menikmati pelbagai juadah menyelerakan sepuas-puasnya. Menu-menu pasar malam ditawarkan menerusi 24 gerai makanan termasuklah apam balik, char kuetiau, putu piring, roti john, murtabak, sate, rojak buah dan aneka kuih melayu. Pendek kata, makanan memang banyak dan anda pastinnya rambang mata tatkala melawat satu persatu gerai yang ada di situ. Selain hidangan pasar malam, mereka turut menawarkan lauk pauk seperti ayam kampung goreng kunyit, daging gulai kawah, ikan patin masak tempoyak, daging rendang tok, udang sambal petai dan banyak lagi. Bagi penggemar ikan masin dan ulam-ulaman pula, anda tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjamu selera di sini. Cuba anda bayangkan, menikmati ikan masin dengan nasi panas dan mencicah ulam-ulaman seperti kacang botol, daun pegaga dan ulam raja dengan sambal belacan. Fuhh, jangan nanti tersadai sampai tak boleh ke masjid untuk tarawih pula. Makanan sampingan seperti acar rampai, acar buah, sambal tumis ikan bilis, pajeri nanas dan tauhu sumbat juga disediakan di sini. Malah, jeruk betik, mangga, kelubi, kedondong serta keropok udang dan ikan turut ditawarkan buat pengunjung. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mencuba bubur lambuk, mi bandung, nasi ayam, sup tulang, siput sedut masak lemak cili api dan banyak lagi. Memang bufet Ramadan di sini boleh diibaratkan seperti syurga makanan Melayu. Baca senarai menu pun dah meleleh air liur, jadi seeloknya buat tempahan segera. Selain makanan, anda juga akan dihiburkan dengan persembahan alunan muzik dan nyanyian oleh kumpulan Picha-Picha yang menampilkan Linda Eva sepanjang Ramadan. Untuk tempahan atau pembelian baucer bufet Ramadan, anda boleh terus ke kaunter tempahan di Aras 2 PWTC bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang atau hubungi 03-26146701.