ALOR SETAR: Bagi yang mencari menu berbuka puasa, boleh cuba mencari replika kapal perang yang menjual pelbagai jenis 'seafood' atau makanan laut yang boleh didapati di bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman di sini sepanjang Ramadan ini. Pengunjung yang datang ke bazar Ramadan ini, pastinya tidak akan terlepas pandang replika kapal sepanjang tiga meter yang turut dilengkapi dengan cerobong asap dan bunyi hon yang bertujuan menarik minat dan perhatian pelanggan. Pemilik gerai M.I.H Kerang Bakar Mohd Irwan Hazwan Abd Aziz, 33, berkata istimewanya makanan laut yang dijualnya itu apabila semua jenis hidupan laut pelbagai jenis itu akan dimasak segar dengan menggunakan kuah resipi rahsia yang enak. "Semua kerang-kerangan seperti retak seribu, kerang, kepah dan udang lipan ini diambil dari pembekal di Pasar Nelayan Kuala Kedah dan Pasar Borong Mergong antara pukul 12 tengah malam hingga 8 pagi bagi memastikan tahap kesegarannya. "Manakala penyediaan kuah yang diperbuat daripada pelbagai campuran rampah-ratus pula dibuat antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di sini. Mohd Irwan Hazwan berkata sambutan pelanggan terhadap makanan lautnya itu sepanjang bulan Ramadan ini cukup memberangsangkan, dengan sebanyak 180 hingga 200 bekas habis terjual dalam tempoh empat jam dengan anggaran hasil jualan antara RM1,600 hingga RM2,000 sehari. "Setiap hari kita sediakan 120 kilogram (kg) kerang-kerangan dan ia habis terjual. Harga pula bergantung pada harga semasa bahan mentah tetapi harga yang ditawarkan berbaloi di mana sebekas kepah dijual dengan harga RM8, kerang (RM9), retak seribu (RM9) dan udang lipan (RM10). "Manakala bagi campuran kerang-kerangan ia turut dijual dengan harga RM10 sebekas dan kita turut menjual secara “shell out” (longgok) pada harga serendah RM15 yang jauh lebih murah daripada harga pasaran," katanya.-- Bernama