JITRA: Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) perlu sentiasa mengubah suai kurikulum dan pendekatan pengajaran untuk memenuhi cabaran globalisasi serta kemajuan teknologi yang pesat, titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.Baginda bertitah, pengenalan kepada teknologi baru perlu diserapkan secara optimum dan efektif menghala ke arah inovasi serta penciptaan penemuan baru."Institusi pendidikan tidak cukup sekadar menjadi pusat penyebaran pengetahuan, tetapi perlu berani melakukan eksperimen menghasilkan penemuan baru dan mengeluarkan graduan berdaya saing di pentas dunia," titah baginda pada majlis Konvokesyen ke-24 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) di sini, Khamis.Baginda bertitah, graduan di era teknologi maklumat perlu diperlengkapkan bukan sahaja dengan kelulusan akademik dan teknikal, tetapi perlu memiliki pelbagai kemahiran, menguasai teknologi maklumat dan kemahiran komunikasi secara cekap.Selain itu, mereka perlu mempunyai kemahiran pengurusan dan semangat usahawan supaya mencapai tahap kematangan, bersedia menghadapi perubahan teknologi yang berlaku secara pesat dan memiliki kekuatan menghadapi realiti dunia semasa, titah baginda.Tuanku Sultan bertitah, di samping merangka tanggungjawab institusi di bidang akademik, pembangunan sahsiah mahasiswa juga hendaklah turut diberi tumpuan."Mereka (graduan) perlu diterapkan dengan nilai-nilai positif untuk hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara dengan mempunyai nilai, pemahaman, tafsiran dan pandangan yang betul terhadap negara dan dunia.Baginda bertitah, taraf moral dan amalan murni sebagai komponen budaya dalam sesebuah negara akan menentukan status tamadun sesebuah negara dan bangsa. -BERNAMA