suria

Projek Super Hospital Usaha UiTM Ke Persada Dunia

MONTREAL (KANADA): Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal maju setapak lagi melalui usaha penubuhan 'Super Hospital' yang dilihat mampu melonjakkan nama dan kredibiliti institusi pengajian tinggi itu ke persada dunia.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, UiTM sudah bersedia untuk menjadi perintis kepada projek hospital yang dianggar menelan belanja RM22 billion itu.

"Projek ini diramalkan meletak UiTM di peta dunia," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara UiTM dan Pusat Kesihatan Universiti McGill (MUHC) di sini Isnin.

Perjanjian persefahaman itu bakal menyaksikan kedua-dua institusi berkenaan berkongsi pengetahuan dan kepakaran untuk membangunkan sebuah hospital pengajar yang menyediakan kemudahan perubatan bertaraf dunia yang terkini dan terbaik.

Perjanjian kerjasama seumpamanya akan turut ditandatangani oleh UiTM dengan dua lagi institusi pengajian tinggi antarabangsa iaitu Universiti Harvard dan Hospital John Hopkins dalam masa terdekat.

Pada majlis sama, UiTM turut menandatangani perjanjian dengan Institusi Penyelidikan Pusat Kesihatan Universiti McGill (RI MUHC) bagi mendapatkan kerjasama dalam bidang kardiologi, kanser dan penjagaan kesihatan warga tua selain perjanjian persefahaman untuk pertukaran tenaga teknikal, penyelidik dan pelajar di antara kedua-dua institusi berkenaan.

"Tujuan kita untuk bina hospital ini juga berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan (Zainal Abidin) ketika majlis konvokesyen yang lepas di mana baginda bertitah supaya UiTM mengadakan hospital di mana kita bukan sahaja boleh mempromosikan pelancongan perubatan tetapi juga memberi peluang luas kepada pelajar kita untuk mendapatkan latihan dan pengalaman," katanya.

Dr Sahol Hamid berkata, projek itu dijangka memberi impak besar kepada negara dari segi penyediaan tempat penyelidikan perubatan yang canggih, pendedahan kepada pelajar dan tenaga pengajar selain sejajar dengan sasaran Malaysia untuk mempromosikan pelancongan kesihatan.

Beliau berkata, sekiranya projek itu diluluskan, 'Super Hospital' UiTM yang merupakan projek Fakulti Perubatan dan akan dibina di kampus UiTM di Puncak Alam, Shah Alam dan bakal menjadi hospital pertama di negara ini yang mencapai status 'Hospital Super'.

Bagaimanapun, katanya, projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan kemampuan kewangangan UiTM dan dijangka mengambil masa 10 tahun untuk lengkap sepenuhnya. Hospital Super itu dijangka dapat beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Walaupun faktor kewangan mungkin menjadi halangan pertama kita, tetapi kita akan berusaha untuk mencari kaedah kewangan termasuk kemungkinan mendapatkan pembiayaan swasta untuk bekerjasama dalam projek ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain