SHAH ALAM: Empat penuntut universiti negara ini adalah antara 16 penuntut institusi pendidikan tinggi dari Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika yang mengambil bahagian pada persidangan dan pertandingan piala MEA Lab Kaspersky Asia Pasifik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Sabtu.Empat penuntut Malaysia yang menyertai persidangan dan pertandingan dua hari itu ialah Asnita Hashim (UiTM), Fereshteh Falah Chamasemani dan Majid Neseri Njad (Universiti Multimedia) dan Norliza Hashim (Universiti Malaysia Sarawak).Peserta lain ialah lapan dari India, dua dari Nigeria dan masing-masing seorang dari Australia dan Iran.Tiga kertas kerja terbaik mengenai teknikal, sosial, ekonomi dan isu-isu perundangan berkaitan jenayah dan ancaman siber yang dipilih oleh panel terdiri daripada ahli akademik dan pakar Lab Kaspersky akan dibentang pada Piala Antarabangsa yang akan diadakan di Munich, Jerman dari 13 hingga 15 April ini.Juara Piala Antarabangsa akan menerima Euro $1,500 (RM6,312.11) dan menjalani latihan industri di ibu pejabat Lab Kaspersky di Moscow, Russia.Kaspersky ialah syarikat keselamatan komputer Russia yang menawarkan produk anti virus, mencegah intipan, anti spam, dan mencegah pencerobohan.Pada Piala Antarabangsa Lab Kaspersky tahun lepas, penuntut Malaysia Asnita Hashim dan Raihana Md Saidi dari UiTM memenangi tempat ketiga.Ketua Program Pendidikan Lab Kaspersky, Svetlana Efimova dalam ucapannya pada perasmian pertandingan dan persidangan itu di sini hari ini berkata pembentangan penuntut akan dinilai berdasarkan persembahan mereka termasuk sejauh mana penyelidikan mereka.Timbalan Naib Canselor UiTM (Industri dan Rangkaian Komuniti) Profesor Madya Dr Norsaadah Ismail berkata pertandingan itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai pentingnya keselamatan siber. - BERNAMA