Dr Chan menyampaikan biasiswa kepada seorang pelajar disaksikan oleh Pro Naib-Canselor Prof Ian Kerr.MIRI: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, memuji pelajar dan kakitangan Universiti Curtin, Sarawak di atas kejayaan mereka yang cemerlang, sumbangan terhadap universiti, juga ketekunan mereka.Chan yang juga Pengerusi Majlis Kampus Curtin Sarawak berkata, sikap pelajar dan kakitangan perlu sentiasa bersedia dalam mencapai kejayaan, bersikap terbuka dan menanam minat yang mendalam dalam sesuatu bidang, dan tidak membataskan pilihan masing-masing dengan perancangan yang terlalu sukar.“Bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dalam keadaan yang tidak dijangka adalah sama pentingnya dengan bagaimana seseorang itu merancang masa depannya. Tiada sesiapa yang dapat menjangka peluang yang akan datang kepadanya."Namun begitu, dengan adanya semangat, persediaan, disiplin diri dan karakter yang baik, kita akan mendapati bahawa peluang sentiasa ada di mana-mana sahaja,” katanya selepas menyampaikan ucapan tahniah kepada 55 penerima biasiswa dan lebih 100 pelajar dan kakitangan yang menerima anugerah di atas kejayaan mereka.Dalam pada itu, Chan berkata, selain daripada Majlis Graduasi universiti itu, Majlis Anugerah dan Biasiswa merupakan acara penting dalam kalendar Curtin Sarawak setiap tahun.“Ini adalah masanya untuk kita meraikan kecemerlangan dari segi akademik, kepimpinan, perkhidmatan juga karakter peribadi,” katanya.Seramai 21 pelajar pra-ijazah Curtin Sarawak disenaraikan di dalam Senarai Naib-Canselor Curtin dan menerima anugerah mereka daripada Timbalan Naib-Canselor Curtin, Antarabangsa, Profesor David Wood, semasa berlangsungnya majlis tersebut.Senarai Naib-Canselor yang diasaskan pada tahun 1991 mengenalpasti pelajar pra-ijazah yang cemerlang dari segi akademik. Ia juga diasaskan untuk mengembangkan budaya intelektual di kalangan pelajar dan mengalakkan perkembangan di luar bidang disiplin masing-masing.Wood turut menyampaikan anugerah kepada dua pelajar yang bergraduasi daripada program kepimpinan John Curtin Leadership Academy, di mana program itu merupakan visi bekas Perdana Menteri Australia dan hero zaman peperangan, John Curtin. Program tersebut bertujuan untuk mengasah bakat para graduan menjadi pemimpin yang lengkap dengan semangat keusahawanan serta berjiwa rakyat.Seramai 59 yang lain menerima anugerah kecemerlangan akademik dan perkhidmatan komuniti daripada Shell Malaysia, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Bintulu Development Authority, Certified Practising Accountants (CPA) Australia, Crowe Horwath, Ernst & Young, Central Gippsland Institute of TAFE, Halliburton Energy Resources, HSBC Bank Malaysia, Institution of Engineers Malaysia, KPMG, Miri Chinese Chamber of Commerce and Industry, Murphy Oil, Petronas, Sarawak Information Systems (SAINS), Samling Group of Companies, Sarawak Higher Education Foundation, Shin Yang Group of Companies, Zecon Berhad, Tokuyama Malaysia, Wan Ullok Jugah Chin & Co., Wehaya dan Yayasan Sarawak.Turut menyumbangkan anugerah termasuk Menteri II Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, ahli Majlis Curtin Sarawak Dato Sri Celestine Ujang, Menteri Muda Komunikasi dan Menteri Muda Sukan dan Pengerusi badan pengurusan Curtin Sarawak Datuk Lee Kim Shin, dan Dr Chan sendiri.Seramai 27 kakitangan universiti itu turut sama menerima anugerah. Pengurus University Life Haslina Abdul Malek dianugerahkan Anugerah Majlis Bandaraya Miri untuk Prestasi dan Dedikasi sementara kakitangan universiti itu yang terlibat di dalam Jawatankuasa Hari Terbuka Curtin 2010 memenangi Anugerah Berkumpulan Datuk Dr. Lee Kim Shin untuk Sumbangan Komuniti Terbaik.Di samping itu, 55 pelajar menerima biasiswa daripada universiti tersebut serta badan-badan korporat.Biasiswa tersebut termasuk Biasiswa Asas Curtin Sarawak Malaysia (CSM), Biasiswa Pra-Ijazah dan Biasiswa Ijazah Tinggi melalui Penyelidikan; Biasiswa Pro Naib-Canselor dan Biasiswa Timbalan Pro Naib-Canselor; Biasiswa Bill Nichols’, Biasiswa Western Australia Premier, Biasiswa Daiken, Biasiswa Gamuda dan Biasiswa Shell-Curtin.