"Artist’s impression" bangunan Canselori yang baru.MIRI: Upacara pecah tanah bagi projek pembinaan bangunan Canselori di Universiti Curtin, Sarawak baru-baru ini sebagai tanda sokongan pembangunan kampus itu dari segi luaran dan fungsinya.Canselor Universiti itu, Dr Jim Gill berkata, penubuhan itu bukti visi dan rekaan inovatifnya menjanjikan satu transformasi berlanjutan. “Reputasi gemilang Curtin bukan sahaja berasaskan kejayaan cemerlang para graduan universiti ini tetapi juga kemudahan serba lengkap dan moden dalam menyumbang kepada pendidikan inovatif yang disokong oleh pemimpin-pemimpin Curtin yang lalu dan terkini."Para graduan kita terdiri daripada golongan profesional yang boleh didapati di seluruh dunia. Oleh demikian, mereka perlu mendapat pendidikan daripada kemudahan yang terbaik,” katanya pada upacara pecah tanah bagi pembinaan bangunan serba moden di kampus itu pada 6 Mei lalu.Dalam pada itu, Dr. Gill berkata bahawa Curtin akan menubuhkan lebih banyak lagi kemudahan-kemudahan menepati pertumbuhan semua kampus yang terdapat di Asia Pasifik.Ini termasuk baik pulih kampus utama Bentley di Perth dengan visi jangka panjang untuk mengubah kawasan tersebut kepada universiti bertaraf dunia yang terletak di pusat bandar.Sementara itu, Pro Naib-Canselor dan Ketua Eksekutif Curtin Sarawak, Profesor Ian Kerr berkata, upacara pecah tanah tersebut menandakan pembaharuan dari segi kehidupan kampus dan pengalaman pelajar di Curtin Sarawak.Beliau berkata bangunan baru itu akan mempamerkan segala kejayaan dan keunikan Universiti Curtin di samping menunjukkan pembangunan cemerlang yang telah dilalui oleh Curtin Sarawak."Ia juga dilihat sebagai pemangkin bagi pembangunan universiti itu, perluasan dari segi perkhidmatan kampus juga penglibatan yang menyeluruh dengan komuniti setempat," katanya.Dengan keluasan sebesar 3,300 meter persegi, bangunan Canselori tiga tingkat itu akan menempatkan blok pentadbiran, dewan kuliah yang boleh menempatkan 400 orang pelajar, bilik mesyuarat dan latihan korporat di samping menempatkan ruang di mana seni dan budaya tempatan Sarawak serta anugerah-anugerah yang telah diperolehi universiti itu akan dipamerkan.Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula Ogos ini dan dijangka selesai hujung tahun 2012.Setelah selesai pembinaan Canselori itu kelak, bangunan John Curtin yang buat masa ini menempatkan pejabat pentadbiran dan perpustakaan akan diubahsuai menjadi Pusat Sumber dan Perpustakaan. Projek pembangunan infrastruktur serta baik pulih ruang yang sedia ada juga akan dijalankan.Menurut Ian, pembangunan infrastruktur lanjutan untuk tiga sehingga lima tahun yang akan datang termasuk pembinaan surau, Miri Bio-Park yang akan menempatkan Institut Kajian Curtin Sarawak, blok pengajian serbaguna, pangsapuri pelajar, gimnasium, gelanggang tenis dan kemudahan rekreasi lain.Turut hadir pada upacara itu adalah Pengerusi majlis kampus (Campus Council) dan badan pengurusan Curtin Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Datuk Lee Kim Shin; Pro Naib-Canselor, Profesor Ian Kerr; Naib Canselor Universiti Curtin, Profesor Jeanette Hacket, dan Timbalan Naib Canselor, Profesor David Wood; dan Pengerusi Curtin (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Dr. Hatta bin Solhi.Ahli-ahli majlis kampus dan badan pengurusan, kakitangan pengurusan serta para akademik universiti itu juga turut serta menyaksikan upacara tersebut.