suria

Canselor UMT Lancar Kapal RV Discovery September Ini

KUALA TERENGGANU: Kapal latihan dan penyelidikan "RV Discovery" milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membuat pelayaran sulungnya ke Langkawi pada Oktober ini.

Naib Canselor UMT Datuk Profesor Aziz Deraman berkata kapal itu yang mula dibina pada September 2008 dengan mengambil masa 18 bulan oleh pembina kapal terkemuka di Terengganu, Kay Marine Sdn Bhd, akan dilancarkan dengan rasminya oleh Canselor UMT Tuanku Nur Zahirah pada September ini.

RV Discovery, kapal seberat 300 tan dan sepanjang 35 meter bernilai RM15 juta termasuk peralatan dan kelengkapan, mampu menampung penginapan sehingga 23 anak kapal pada satu-satu masa, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata semasa dalam program pelayaran ke Langkawi, RV Discovery akan berhenti di beberapa tempat seperti Kuantan, Pulau Tioman, Pasir Gudang (Johor), Melaka, Port Dickson, Pelabuhan Klang dan Lumut (Perak).

"Semasa kapal itu berlabuh di tempat-tempat berkenaan, kita akan memberi peluang kepada penumpang singgah dan orang ramai melawat kapal berkenaan," katanya.

Aziz berkata UMT juga mengadakan kerjasama dengan Keel University, Jerman untuk membantu university itu melatih kakitangannya dalam pengunaan saintifik di atas kapal berkenaan.

"Seorang professor dari universiti itu akan datang ke sini pada 16 September ini untuk membimbing penggunaan peralatan saintifik di atas kapal kepada kakitangan UMT selama tiga bulan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kampus Baru UiTM Di Raub

Artikel Lain