suria

Graduan Cemerlang Korbankan Segala-galanya Untuk Pelajaran

SHAH ALAM: Korbankan masa untuk berhibur adalah antara faktor kecemerlangan penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor, Faez Abdul Razak pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-75, pada Khamis. Faez, 23, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan pencapaian Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 3.6 berkata pengorbanan itu perlu dalam memastikan masa digunakan sebaik mungkin untuk mentelaah dan menyiapkan tugasan.

"Bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam semua bidang sekiranya kita mahu cemerlang maka kita perlu rela untuk berkorban," katanya ketika ditemui pemberita selepas konvokesyen itu di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini.

Faez kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di King's College, London.

Sementara itu, pengorbanan ibunya membesarkan lima anak seorang diri menjadi pembakar semangat kepada Melati Mahmud untuk menamatkan pengajian selama lima tahun dalam bidang pembedahan pergigian.

Lebih bermakna bagi Melati, 24, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian apabila turut dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).

"Saya hampir mengalah pada tahun pertama pengajian kerana merasakan bidang ini terlalu mencabar dan payah, tetapi ibu selalu memberi sokongan dan percaya saya boleh melakukannya.

"Melihat kesungguhan ibu yang tidak pernah merungut mebesarkan kami seorang diri, membuatkan saya tekad untuk meneruskan dan menamatkan pengajian di bidang ini, syukur hari ini saya melakukannya dan mendapat kejayaan bonus dengan anugerah yang diberikan," katanya yang ditemani ibu, Normadiah Sahid, 47.

Melati yang tamat dengan gred A+, berkata beliau turut gembira dan berbangga kerana menjadi antara 27 graduan pertama Fakulti Pergigian UiTM yang menamatkan pengajian pada istiadat konvokesyen kali ini.

Beliau yang berasal dari Negeri Sembilan dan merupakan anak ketiga dari lima beradik menggunakan falsafah "bukan senang hendak senang" sebagai motivasi dalam misi menamatkan pengajiannya.

Melati kini bertugas sebagai tutor di Fakulti Pergigian UiTM serta berkhidmat di beberapa hospital berhampiran, merancang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang berkaitan di Amerika Syarikat dalam masa dua atau tiga tahun lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain