suria

Yamtuan Rasmi Pelancaran Universiti As-Sofa

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir malam semalam berkenan merasmikan penubuhan Universiti As-Sofa, di Dataran Sentral Seremban, di sini.

Baginda turut diiringi Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Ketibaan baginda kira-kira pada pukul 9 malam di Dataran Sentral Seremban disambut Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Turut hadir Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab.

Tuanku Muhriz bertitah, sebagai sebuah universiti yang berteraskan Ahli Sunnah wal Jama'ah, Universiti As-Sofa perlu menghayati beberapa ciri khusus termasuk perlu dipimpin dan dipandu oleh para ulama yang benar-benar menepati pewaris para Anbiya. Baginda bertitah, ini penting bagi memastikan gagasan Islam yang mahu dibentuk akan menepati acuannya yang sebenar.

"Antaranya, pendekatan pendidikan yang disediakan perlulah seimbang dan saksama yang merangkumi ketiga-tiga dimensi agama yang suci ini iaitu Islam-Iman-Ihsan," titah baginda.

Universiti itu juga perlu mempunyai hubungan yang kukuh dengan rangkaian ulama dan institusi Ahli Sunnah wal Jama'ah yang ada di seluruh dunia Islam, titah baginda yang telah dilantik sebagai Canselor universiti tersebut.

Universiti As-Sofa yang dibangunkan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan ditubuhkan melalui Syarikat Gerbang As-Sofa Sdn Bhd.

Ia ditubuhkan sebagai sebuah universiti swasta Ahlu Sunnah wal Jama'ah berorientasikan misi ke arah membina generasi umat yang menghayati wasatiyyah Islamiyyah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain