suria

Dua Politeknik Metro Baru Terima Pelajar Mulai Julai 2013

JITRA: Pengambilan pelajar ke dua politeknik metro baru, Kementerian Pengajian Tinggi akan dilakukan pada Julai tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof di sini, Isnin.

Politeknik berkenaan ialah Politeknik Metro di Betong Sarawak dan Politeknik Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang melibatkan pengambilan seramai 160 pelajar.

"Buat permulaan, kita tidak akan mengambil pelajar yang ramai kerana kursus yang ditawarkan tidak banyak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Suai Kenal pelajar baru di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) dekat sini.

Md Nor berkata, berbeza dengan politeknik konvensional yang menawarkan kursus dalam bidang teknikal, politeknik metro menyediakan kursus berbentuk perkhidmatan di peringkat diploma dan diploma lanjutan. "Politeknik Metro Betong menawarkan kursus Perbankan Islam dan Pelancongan manakala Politeknik Tasek Gelugor menawarkan kursus Grafik Video dan Filem," katanya sambil menambah, kini terdapat tiga politeknik metro iaitu di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor Baharu.

Seramai 11,500 pelajar baru telah mendaftar di 29 politeknik di seluruh negara semalam dengan 555 daripadanya mendaftar di Polimas. Menurut Md Nor kedua-dua politektik metro baru itu akan beroperasi di rumah kedai yang dibeli dengan kos RM4 juta, setiap satu.

"Kita nak buat lebih mudah dan cepat. Kita tak buat kampus besar, makmal tak ada kerana penubuhannya hanya untuk servis program sahaja. Kita akan bekerjasama dengan industri dan berkongsi kemudahan," katanya.

Politeknik metro juga akan membuat pengambilan pelajar separuh masa dengan waktu belajar diadakan pada sebelah malam dan hujung minggu, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Dewan Polimas yang terbakar pada Mac lepas akan dibaik pulih tahun depan dengan kos dianggarkan RM2 juta.

"Reka bentuk dewan itu telah siap. Kita sedang menunggu peruntukan ... saya harap ia dapat disiapkan sebelum majlis konvokesyen politeknik yang dijadualkan pada September 2013," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain