suria

Transformasi Pengukuhan Akademik UMT Bermula -Naib Canselor

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)sedang dalam proses membuat transformasi sektor pentadbiran dalamannya meliputi aspek akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan infrastruktur bermula tahun ini.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata untuk tujuan itu pihaknya akan membuat pemilihan ahli akademik berpengalaman bagi mengetuai bahagian-bahagian yang akan menyokong usaha transformasi itu.

"Nama-nama yang dipilih akan diumumkan dalam satu majlis perjumpaan selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim yang dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, Khamis. Ibrahim berkata pihaknya memerlukan masa seminggu lagi bagi memastikan perlantikan dibuat yang membabitkan timbalan-timbalan pengarah dan ketua-ketua yang(pemilihannya) masih belum selesai sepenuhnya.

"Misalnya bahagian pentadbiran kita akan memilih pegawai tadbir yang kanan untuk mengetuainya. Kita perlukan masa seminggu lagi, tunggulah kita akan umumkan dalam pertemuan bulanan UMT pada 23 Januari ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata UMT akan menyemak kembali program-program diploma, siswazah dan pasca siswazah untuk diperkukuhkan, manakala program yang tidak releven, mungkin akan dimansuhkan secara beransur-ansur dan digantikan dengan program baharu.

Beliau berkata satu program antarabangsa yang baharu sedang diatur berbeza dengan program sebelum ini di mana kurikulumnya bersifat isu serantau dengan ahli akademiknya daripada luar negara manakala pelajarnya pula campuran pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan.

"Transformasi akademik ini adalah fasa kedua dalam pengukuhan transformasi UMT yang akan saya perkenalkan secara terperinci tidak lama lagi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain