suria

AMANAT 2013 MENTERI PENGAJIAN TINGGI

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan amanat tahun baru 2013 di hadapan warga kerja kementerian tersebut dan agensi-agensi di bawahnya di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa pada pagi Selasa, 29 Januari.

Dalam amanat tahunannya itu, Khaled telah membentangkan lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural yang beliau sifatkan sebagai "ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untuk menjayakannya."

Berikut adalah teks penuh ucapan beliau untuk rujukan bersama:

1. Pertamanya, sukalah saya menzahirkan rasa penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama di majlis Amanat Tahun Baharu 2013 pagi ini. Amanat tahun baharu ini telah menjadi satu acara tahunan kementerian di mana kita berpeluang bukan sahaja menghimpunkan satu keluarga besar yang mempunyai persamaan menggalas amanah membangunkan sektor pengajian tinggi negara, tetapi membolehkan kita mendapat gambaran hala tuju sektor ini bagi tahun 2013 yang sewajarnya menjadi panduan dan rujukan oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, peluang ini diharap dapat menjelaskan kepada masyarakat dan semua pemegang taruh, apakah perancangan perkembangan haluan sektor pengajian tinggi negara khususnya dalam menjayakan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

2. Amanat saya pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing Malaysia. Hal ini penting kerana pengajian tinggi bertujuan bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Saya percaya, daya saing Malaysia dan kelestariannya amat bergantung kepada sejauhmanakah negara menjayakan kemampuannya menggerakkan ekonomi berinovasi, memantapkan sistem pengajian tinggi, menjamin Institusi Pengajian Tinggi yang berkualiti, membangunkan mahasiswa IPT sebagai bakat negara dan mengoptimakan peranan pengajian tinggi di peringkat global. Dan inilah asas dalam peranan sektor pengajian tinggi yang akan menentukan daya saing Malaysia masa kini dan akan datang.

3. Seperti kita sedia maklum, cabaran dan perubahan lanskap pengajian tinggi amatlah dinamik dan perlu ditangani dengan bijaksana. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat timbulnya keprihatinan yang lebih tinggi orang ramai akan kepentingan pengajian tinggi untuk pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan pembangunan masa depan masyarakat, yang pada asasnya bermula dari penguasaan ilmu seseorang individu.

Dalam era perkembangan ilmu yang pesat, penghasilan inovasi serta tahap interaksi pada peringkat global yang tinggi, kita perlu memikirkan bagaimana sistem pengajian tinggi dapat meningkatkan kapasiti rakyat negara ini, agar menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara sekaligus memantapkan tahap persaingan global Malaysia.

4. Lebih penting, fungsi baharu institusi pengajian tinggi dalam merakyatkan ilmu memerlukan perubahan paradigma yang akan memberi kesan kepada cara kita berfikir, mengatur strategi dan beroperasi. Justeru itu, fungsi baharu ini juga perlu diintegrasikan dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan meningkatkan tahap intelek rakyat serta juga perlu mengambil kira akan transformasi dasar pendidikan pada peringkat pra-sekolah dan sekolah serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

Kesemua cabaran ini mendorong kementerian untuk menilai semula pelan, polisi dan perancangan pengajian tinggi yang sedia ada terutama kerelevanan teras utama dan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

5. Sehubungan dengan itu, suka saya maklumkan bahawa PSPTN yang dilancarkan pada tahun 2007 akan dikaji semula. Ini bertujuan menambahbaik dan menyusun mengikut keperluan semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan.

Kajian PSPTN ini akan bermula bulan ini dan dijangka selesai bulan September akan datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014. Insya Allah.

PERTAMA: MEREKAYASA PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

6. Apabila masyarakat menyatakan 'Universiti sebagai Gedung Ilmu', ia mempunyai pengertian yang mendalam. Universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi pencinta ilmu atau menara ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan yang baharu diterokai, disampaikan kepada pelajar, dan dipindahkan kepada masyarakat.

Di universitilah, cendekiawan (scholar) daripada pelbagai bidang berkumpul dan sentiasa mengabdikan diri kepada ilmu dan mereka menjadikan ilmu sebagai pegangan untuk membawa masyarakatnya maju ke hadapan.

7. Negara tidak mampu menampung Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak relevan. Sehubungan dengan itu, IPT perlu berganjak daripada paradigma menara gading ke menara ilmu. Universiti tempatan mesti melakukan perubahan atau transformasi sesuai dengan peredaran zaman dan kehendak semasa agar tidak terkebelakang dan terperangkap dalam corak pemikiran yang sama dan kaku.

Bagi mencapai tujuan ini, IPT perlu keluar daripada tradisi lama yang hanya memberi perhatian kepada pengajaran dan penyelidikan dengan juga memberi penekanan kepada kepentingan Polisi Awam selari dengan peranan ketiganya iaitu perkhidmatan untuk masyarakat. Pendekatan yang memperlihatkan peralihan set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’ ini akan membawa banyak manfaat khususnya menyokong usaha IPT dalam mentransformasikan komuniti.

8. Dalam hal ini, setiap universiti diminta untuk mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Centre (UCTCs) berasaskan nic masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Pendekatan yang menggunakan strategi Lautan Biru ini akan mengoptimakan kewujudan IPTA dan prasarananya dalam pembangunan komuniti yang inovatif. Ini dapat dilakukan dengan menghubungkan tenaga akademik dan mahasiswa dengan komuniti dalam konteks mewujudkan kursus-kursus praktikal yang boleh menangani persoalan komuniti setempat, mempromosi keusahawanan, menghubungkan UCTC dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat. Ini akan menjadikan program jalinan atau libatsama komuniti semakin tersusun, kukuh dan memberi impak yang lebih besar.

9. Kementerian mahu menilai setiap program jalinan atau libatsama komuniti berupaya memberi impak dan mempunyai nilai keberhasilan yang tinggi dalam mentransformasikan komuniti. Oleh itu, penilaian perlu dibuat ke atas setiap program jalinan atau libatsama komuniti tersebut.

Dalam hal ini, kementerian telah mengambil inisiatif membangunkan Guide to Assessing APEX Special Project-Community Engagement untuk menilai program jalinan dan libatsama komuniti dalam empat aspek iaitu perancangan, proses, keberhasilan dan impak. Kementerian akan menggunakan instrumen yang mula dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini pada semua IPT yang lain bagi mengukur program libatsama komuniti mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEDUA: MENJANA EKONOMI BERINOVASI

10. Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi bergantung kepada usaha menjana ekonomi yang berinovasi. Sebagai hab inovasi negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten, penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah. Kita harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan khususnya dalam aspek pengkomersilan.

11. Sehubungan dengan itu, jentera inovasi semua institusi pengajian tinggi perlulah diperkemaskan lagi. Ini dapat dilakukan antaranya dengan menggalakkan penggabungan harta intelek dari semua IPT bagi menghasilkan produk baharu atau produk nilai tambah. Oleh itu, kementerian sedang menimbang untuk menyediakan platform berpusat dengan membentuk bank harta intelek IPT.

Semua harta intelek yang dihasilkan oleh IPT Malaysia perlu didaftar dalam bank ini. Seterusnya, hos bank ini akan menyediakan medium untuk penyebaran dan perkongsian maklumat tentang harta intelek yang telah didaftarkan. Bank yang dinamakan "Idea Interchange and Connection Bank" (I2C Bank) ini akan dikendalikan secara profesional dalam memperkukuhkan usaha mengalirkan hasil intelek berpotensi ke pasaran global.

12. Bagi memperkukuhkan lagi sumbangan universiti penyelidikan, kementerian menyarankan agar kelima-lima universiti penyelidikan membentuk jaringan kolaborasi yang kukuh iaitu Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia atau Malaysia Research University Network (MRUN) yang akan dipengerusikan secara bergilir antara mereka.

Jaringan ini akan berperanan sebagai sinergi kepada kegiatan penyelidikan dalam mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber, menonjolkan MRUN sebagai satu jaringan yang mantap di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sebagai peneraju dan perintis dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan (RDCE) dan membimbing dan bekerjasama secara kolektif dengan IPT lain dalam dan luar negara, dan dengan industri dalam usaha memupuk dan meningkatkan budaya penyelidikan.

13. Langkah menubuhkan Aeropsace Malaysia Innovation Centre (AMIC) adalah bertepatan sekali dengan aspirasi ini yang memperlihatkan kerjasama dalam bidang aerospace antara IPT diketuai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), industri teknologi tinggi seperti Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bersama syarikat teknologi tinggi antarabangsa seperti European Aeronautic Defence and Space Company (AEDS) dan Rolls Royce.

Saya percaya, jaringan MRUN akan membolehkan tumpuan diberikan kepada bidang-bidang utama penyelidikan negara yang lain juga.

14. IPT mempunyai banyak makmal penyelidikan dalam nic yang sama. Contohnya, nic Nanoteknologi mempunyai 16 buah makmal, Bioteknologi 41 buah makmal dan Automatif 84 buah makmal di seluruh negara. Kerjasama makmal penyelidikan merentasi IPT bersama industri adalah perlu jika kita ingin melihat keberhasilan yang berimpak tinggi. Sehubungan dengan itu, kementerian ingin memperkenalkan program Central Lab Management (CLM) atau Makmal Pengurusan Berpusat dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Program ini bertujuan memastikan perkongsian teknologi antara makmal penyelidikan IPT bersama industri ke arah memajukan nic strategik yang dikenalpasti seperti Nanoteknologi, Bioteknologi dan Automatif sekaligus membantu kemajuan industri negara khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Kerjasama ini besar ertinya apabila ia bukan sahaja mempereratkan hubungan antara makmal IPT dan industri, tetapi turut membangunkan teknologi tempatan pada masa yang sama.

15. Beberapa tahun terakhir ini, saya telah meminta supaya semua Universiti Komprehensif mencari nic penyelidikan dan inovasi masing-masing sehingga menjadi Universiti Komperhensif Berfokus yang unik dan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya gembira melihat telah muncul beberapa Universiti Komperhensif Berfokus seperti yang berfokuskan pengurusan, pendidikan, keusahawanan, pertahanan dan keselamatan, sains kelautan dan sains Islam.

Kini telah tiba masanya kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti Komperhensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan pengurusan Penyelidikan dan Inovasi mereka supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi. Kementerian akan menyalurkan terus dana penyelidikan dan inovasi kepada universiti ini berasaskan perancangan jangka sederhana (lima tahun) dan keperluan dana penyelidikan secara tahunan.

Sehubungan dengan itu mulai tahun ini, dana khas penyelidikan sebanyak sepuluh juta ringgit disediakan bagi membolehkan Universiti Komprehensif dan Komprehensif Berfokus membangunkan bidang tujahan mereka.

16. Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di IPT, satu sistem pengurusan geran-geran penyelidikan secara online akan diperkenal dan dilancarkan hari ini. Sistem yang dilengkapi dengan ciri-ciri laman sosial serta akses kepada bahan-bahan penyelidikan melalui Portal Penyelidikan MyGRANTs akan dapat membantu penyelidik dalam kerja-kerja penyelidikan dengan lebih mudah.

Lebih penting, dengan adanya sistem MyGRANTs ini, kolaborasi antara penyelidik dari pelbagai IPT juga akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta produk-produk hasil penyelidikan juga akan dapat diakses oleh pihak industri untuk proses pengkomersialan. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk membuat analisis kepada data-data penyelidikan bagi membantu pengurusan atasan membuat pemantauan dan keputusan dasar.

17. Kejayaan dalam menjana ekonomi berinovasi turut bergantung kepada jumlah graduan pascasiswazah yang dianggap sebagai modal insan berpengetahuan tinggi. Berdasarkan rekod kementerian pada tahun 2012, jumlah enrolmen pascasiswazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah seramai 79,633 orang manakala 20,267 orang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Ini bermakna terdapat jurang yang besar antara IPTA dan IPTS. Justeru itu, saya berharap IPTS khususnya dapat memperkukuhkan lagi program pengajian pascasiswazah mereka dan menambah jumlah pelajar di peringkat tersebut.

18. Dalam hal ini, hala tuju dan pelaksanaan pengajian pascasiswazah perlulah lebih jelas dan tersusun. Sistem sokongan pengurusan pengajian ini mestilah diperkemaskan agar lebih cekap khususnya di universiti baharu. Selain itu, konsep kontinum program pra dan pascasiswazah juga boleh diperkenalkan.

Ini bermakna, pelajar-pelajar prasiswazah yang cemerlang boleh diserap terus ke program pascasiswazah dengan dan melalui kaedah ini, ia boleh meningkatkan kemasukan calon pascasiswazah.

19. Selain itu, kementerian juga akan melaksanakan pelaksanaan audit program pascasiswazah di IPTA. Audit ini mempunyai beberapa tujuan iaitu pertama, memastikan kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA yang telah diluluskan dan dianugerahkan sebelum penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) pada 1 November 2007, diakreditasikan oleh MQA seperti mana program yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Kedua, membolehkan semua kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register [MQR]). Ketiga, menyemak dan menilai amalan, dasar dan pencapaian pengendalian program pascaijazah semasa IPTA, menanda aras (benchmark) standard dan kualiti pengendalian program pascasiswazah IPTA dengan amalan terbaik universiti-universiti terkemuka di luar negara. Dan keempat, melaksanakan analisis jurang (gap analysis) dan analisis masalah. Lawatan Audit Program Pascasiswazah IPTA ini dijangka bermula pada awal tahun 2013.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KETIGA: KUALITI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

20. Kualiti adalah jantung kepada kecemerlangan dan kewibawaan Institusi Pengajian Tinggi. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT dalam semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang dihasilkan akan dipergiatkan. Saya percaya IPT sentiasa memberi perhatian utama kepada soal kualiti dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada aspek kuantiti sahaja.

21. Hasil daripada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti pengajian tinggi, jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia telah berkembang secara dinamik. Sehingga 30 November tahun lalu, terdapat 37 buah Universiti Swasta; 20 buah Kolej Universiti Swasta, tujuh buah Kampus Cawangan Universiti Luar Negara.

Pada masa ini juga, negara mempunyai 414 buah Kolej Swasta yang aktif menawarkan sijil dan diploma dalam pelbagai bidang. Namun demikian, dalam keghairahan untuk meningkatkan kadar aksesibiliti dan mengurus kepesatan perkembangan sektor pengajian tinggi negara, usaha-usaha pemerkasaan dan peningkatan keupayaan serta kualiti IPTS sedia ada perlu dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

22. Kementerian berpandangan jumlah IPT di negara telah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada dari dalam dan luar negara. Walaupun permohonan ke IPT masih tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPT mengeluarkan graduan melebihi kehendak pasaran. Oleh itu, bilangan IPTS yang ditubuhkan pada ketika ini wajar dikawal untuk memberi fokus kepada usaha memantapkan kualiti dan kelestarian IPT.

23. Dengan ini sukalah saya mengumumkan MORATORIUM (pembekuan) ke atas penubuhan IPTS baharu berstatus universiti, kolej universiti, dan kolej yang akan dilaksanakan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari 2013. Walau bagaimanapun, pengecualian moratorium diberikan kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, IPTS sedia ada yang mohon dinaiktaraf, kampus cawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan.

24. Selaras dengan perkembangan sektor pengajian tinggi negara yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta pada hari ini, kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua peraturan dan garis panduan semasa agar lebih bersifat holistik. Perkara ini adalah bagi menyokong kepada pelaksanaan dasar liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadikan sektor pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan kualitinya setanding dengan negara maju yang lain.

Sehubungan dengan itu, inisiatif semakan semula terhadap peraturan-peraturan dan garis panduan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] akan dilaksanakan dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Said, Naib Canselor Taylor University. Jawatankuasa ini akan bermula bulan Februari dan dijangka inisiatif semakan semula ini dapat diselesaikan pada tahun ini juga.

25. Selain itu, kementerian juga akan mengambil tindakan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 buah IPTS setiap tahun. Pemilihan IPTS yang disemak kelestariannya akan dibuat berdasarkan aduan-aduan yang diterima oleh orang ramai mengenai perkhidmatan dan prestasi IPTS tersebut atau pemilihan yang dibuat secara rambang. Langkah ini bertujuan mengenalpasti IPTS-IPTS yang mempunyai risiko dan memberi peluang kepada mereka untuk mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah penambahbaikan.

26. Pada tahun lalu, lima buah universiti penyelidikan telah dianugerahkan autonomi dalam empat bidang iaitu Governan Institusi, Kewangan dan Penjanaan Kekayaan, Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Akademik serta Kemasukan Pelajar. Pada tahun ini, selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of University Good Governance (CUGG) dan University Good Governance Index (UGGI), saya ingin mengumumkan dua buah lagi universiti awam telah layak dianugerahkan autonomi.

Universiti-universiti tersebut adalah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Tahniah saya ucapkan. Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu selaras dengan penurunan kuasa kepada mereka demi kecemerlangan IPT.

27. Sebagai tambahan kepada usaha berterusan meningkatkan kecemerlangan IPT melalui inisiatif SETARA, MyRA dan MyQuest, Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (Discipline-Based Rating System, D-SETARA) ke atas universiti dan kolej universiti di Malaysia telah dilaksanakan. Fokus D-SETARA adalah terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam empat disiplin pengajian iaitu Kejuruteraan, Pelancongan dan Hospitaliti, Perubatan, Pergigian dan Farmasi serta Sains Kesihatan.

28. Pemilihan disiplin pengajian ini secara tidak langsung menyokong inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area, NKEA) dalam kluster Pendidikan yang mensasarkan pembangunan beberapa kelompok disiplin pengajian. Sebanyak 37 buah universiti dan kolej universiti terlibat dalam penilaian pada kali ini. Dan selepas proses penilaian yang teliti dijalankan oleh jawatankuasa khas, sukacita saya memaklumkan keputusan D-SETARA telah bersedia untuk diumumkan pada hari ini.

29. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua IPT yang terlibat kerana saya difahamkan, hampir semua IPT yang layak, telah menyertai eksesais D-SETARA kali ini. Ini adalah satu petanda baik dan menggambarkan kesediaan IPT di negara menobatkan kualiti dan kecemerlangan dalam institusi mereka. Di masa akan datang, saya berharap eksesais ini dapat diperluaskan untuk bidang-bidang pengajian yang lain pula sehingga pada satu masa nanti, semua bidang pengajian akan dapat dinilai. Ini juga membolehkan eksesais D-SETARA dapat menggantikan eksesais SETARA, Insya Allah.

30. Selain universiti, aspek kualiti dan kecemerlangan Institusi Politeknik juga turut diberikan perhatian agar dapat memberikan sumbangan yang berkesan melahirkan tenaga kerja mahir khususnya dalam menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selepas melancarkan Transformasi Politeknik pada tahun 2010, banyak perkembangan dan kemajuan telah dicapai dalam usaha mengarusperdanakan politeknik sebagai institusi pilihan.

Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan usaha murni ini, Fasa Dua iaitu Fasa Peningkatan (2013-2015), Transformasi Politeknik akan dilancarkan pada tahun ini. Pada masa yang sama, eksesais Polyrate bagi mengukur kecemerlangan Institusi Politeknik negara akan terus dilaksanakan meliputi 23 buah politeknik pada tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Memberi Roh dalam Pembelajaran dan Pengajaran)

31. Penghasilan modal insan unggul adalah penting ke arah pembentukan masyarakat dan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini bermakna kualiti graduan institusi pengajian tinggi mesti diperkukuhkan terutama dalam aspek kemahiran pemikiran peringkat tinggi, penyelesaian masalah dan komunikasi lisan.

Walaubagaimanapun, hasrat ini akan terganggu sekiranya pendekatan pembelajaran dan pengajaran di IPT masih berpusatkan pensyarah, kuliah yang berbentuk sehala, penilaian untuk pembelajaran (assessment for learning) jarang berlaku dan masih banyak kursus yang bergantung kepada peperiksaan akhir sebagai cara untuk menilai penguasaan hasil pembelajaran pelajar yang pelbagai.

32. Justeru itu, kita perlu melipat gandakan usaha dalam bidang pembelajaran dan pengajaran secara strategik dan berkesan termasuk mentransformasikan kurikulum berasaskan hasil, pengajaran berpusatkan pelajar dan penilaian sebagai asas pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi, kita perlu meneliti kembali sejauh mana pelajar belajar dengan bermakna dan sejauh mana pensyarah mengajar dengan berkesan.

Kita perlu memastikan empunya pembelajaran (ownership of learning) adalah pelajar. Pengajaran yang dilakukan oleh pensyarah sepatutnya merangsang, membantu, membimbing dan mendorong setiap pelajar yang berlainan latar belakang dan upaya untuk terus belajar secara mendalam dan bermakna. Ruang dan peluang pembelajaran seharusnya dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan setiap pelajar belajar menguasai hasil pembelajaran program pengajian. Dengan usaha ini, saya yakin ‘roh’ pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi akan terus subur dalam menghasilkan modal insan yang kita harapkan.

33. Inovasi Pembelajaran dan pengajaran juga perlu mengambil manfaat perkembangan teknologi khususnya ICT. Sehubungan dengan itu, pada tahun lalu, kementerian telah mewujudkan dana T-Novation bagi memperhebatkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang pembelajaran dan pengajaran.

Ini mencakupi skop yang luas dan meliputi pelbagai aspek utama pembelajaran dan pengajaran seperti inovasi kurikulum/kandungan, strategi/teknik pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar, sistem, perisian, pakej dan modul pengajaran dan pembelajaran, alatan/gajet pengajaran dan pembelajaran serta inovasi penilaian dan pentaksiran pengajaran dan pembelajaran.

34. Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 90 cadangan penyelidikan telah pun diterima dan selepas semua proses berjalan, produk akhir T-Novation akan dapat dihasilkan menjelang akhir tahun ini. Pelaksanaan penyelidikan T-Novation ini diharap akan dapat menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penciptaan ilmu dan kaedah baharu yang akan memupuk daya kreativiti dan inovatif serta mampu melahirkan graduan-graduan yang mempunyai atribut-atribut kebolehpasaran.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Kolej Siswa sebagai Tempat Pembelajaran Kedua)

35. Kehadiran mahasiswa di kampus bersifat sementara, lazimnya antara dua hingga empat tahun. Oleh itu, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks pembelajaran dan pengajaran tidak formal. Memandangkan pelajar menghabiskan lebih banyak masa di kolej siswa (kediaman), IPT perlu memikirkan bagaimana kolej boleh berfungsi sebagai tempat pembelajaran selain di dewan kuliah dan makmal.

Oleh itu, universiti perlu mengambil peluang ini untuk membina sekitaran 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua'. Paradigma begini membolehkan pembangunan dan pengurusan kolej dirancang sebagai 'tempat berehat dan belajar'.

36. Dengan perspektif baharu ini, kolej dan sekitarannya perlu dibangunkan untuk memenuhi beberapa keperluan lain, keperluan riadah dan bersukan, serta keperluan untuk berinteraksi dan membina kemahiran insaniah. Daripada perspektif 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua' ini, universiti perlu menyediakan kemudahan infrastruktur dan sumber manusia yang membolehkan fungsi ini dilakukan dengan berkesan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEEMPAT: MEMPERKUKUHKAN KOBOLEHPASARAN GRADUAN

37. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh, kita perlu terus memberikan perhatian kepada isu dan cabaran kebolehpasaran graduan. Kita sedia maklum bahawa Blueprint Kebolehpasaran Graduan 2012-2017 telah dilancarkan pada akhir tahun lalu bertujuan memenuhi keperluan guna tenaga profesional dan mahir bagi pembangunan negara. Intipati pelan tersebut ialah bagi mewujudkan sistem pengajian tinggi yang mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berdaya saing secara global serta memenuhi keperluan negara. Ia juga memberi perhatian kepada peluang kerjaya impian bagi mengelakkan pengangguran dan bersifat lebih fleksibel untuk berhadapan dengan perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di masa hadapan.

38. Untuk memastikan blueprint ini diterjemahkan sebaik mungkin, setiap IPT perlu menjadikannya sebagai satu panduan dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan di IPT sentiasa selari dengan perkembangan dan keperluan pelbagai pihak termasuk industri. Inilah masa yang tepat untuk semua kepimpinan IPT melihat kembali program akademik sedia ada dan menyesuaikannya bagi membolehkan semua atribut kebolehpasaran graduan digembleng secara bersepadu. Program-program baharu pula perlu dibangunkan dengan mengambil kira kerelevanan ilmu untuk dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat dan sebaik-baiknya, dibangunkan bersama-sama mereka dalam konteks perkongsian strategik.

39. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan. Selain itu, untuk memantapkan lagi perkongsian strategik antara universiti dan industri, program ICoE sedia ada dalam kluster automotif, minyak dan gas, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan peruncitan akan diperluaskan lagi pada tahun ini kepada tiga kluster baharu seperti bioteknologi, pembinaan dan ICT, menjadikan tujuh kluster secara keseluruhannya.

Selain daripada kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi, agensi-agensi kerajaan lain dan industri, transformasi kebolehpasaran graduan melalui ICoE ini juga akan melibatkan pembangunan wilayah ekonomi seperti Wilayah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

40. Kita percaya melalui pelaksanaan ini, pembangunan modal insan yang lebih kompeten mengikut keperluan industri dan wilayah akan dapat disediakan dengan lebih berstruktur dan tersusun. Pada masa yang sama, ia akan juga merangsang pelaburan asing, pembangunan ekonomi wilayah membantu peningkatan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan seterusnya negara.

41. Persaingan pada abad ke-21 bukan hanya terletak kepada kejayaan akademik semata-mata tetapi menuntut kejayaan dalam aspek yang lebih besar terutama keupayaan berfikir secara inovatif dan kreatif di kalangan pelajar kita. Sehubungan dengan itu, mahasiswa di IPT perlu dibangunkan dengan kemahiran berfikir secara inovatif dan kreatif melalui program-program pembangunan potensi dan bakat diri dan ini termasuk Kursus Ko-Kurikulum Berkredit.

Walau bagaimanpun, kita mendapati kursus-kursus Ko-Kurikulum yang ditawarkan di IPT adalah terpisah dan tidak ada hubung kait dengan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran di luar bilik kuliah. Justeru itu, ko-kurikulum perlu menghubungkan pelajar dengan proses pembelajaran secara langsung dan oleh itu, sudah tiba masanya ia diletakkan di bawah Pusat Pengajian masing-masing.

42. Apabila kerajaan memperkenalkan IM4U, kementerian menyambut baik langkah ini kerana ia memberi peluang kepada kita menjadikannya sebagai platform atau kaedah pembelajaran menggunakan pendekatan baharu. Lebih penting, IM4U boleh mencapai matlamat membangunkan kemahiran insaniah pelajar dan nilai-nilai positif seperti kepimpinan, kesukarelawanan dan kewarganegaraan di samping kemampuan mengemukakan idea-idea kreatif.

Melalui penggabungan khidmat komuniti dengan kurikulum, IM4U juga menambah pengalaman belajar pelajar dan memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekaligus menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Kewujudan IM4U Outreach di setiap IPT memberi cabaran berterusan kepada pelajar-pelajar IPT untuk bangunkan keupayaan menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih kreatif, yang mempunyai impak yang lebih mendalam, yang dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan bersifat lestari. Saya percaya pelajar-pelajar IPT negara dapat menyahut cabaran ini.

43. Kementerian juga akan terus mendokong agenda pendidikan dan pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA khususnya. Bagi memastikan matlamat Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (DPKIPT) tercapai, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT yang komprehensif dan pragmatik bagi tempoh 2013-2015 akan diperkenalkan pada tahun ini. Pelan ini menjadi satu kesinambungan kepada Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang telah dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu.

Saya percaya bahawa perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang komited terhadap pelan tindakan ini akan dapat menyokong pencapaian matlamat untuk melahirkan modal insan negara yang berkualiti dan berdaya keusahawanan di samping meningkatkan lagi jumlah usahawan di kalangan graduan IPT.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KELIMA: PEMETAAN BAHARU PENGANTARABANGSAAN

44. Dalam era globalisasi, liberalisasi dan pendidikan merentasi negara, strategi pengantarabangsaan pengajian tinggi tidak lagi bersifat satu keistimewaan tetapi satu keperluan negara yang ingin mencapai kejayaan dalam perkhidmatan pengajian tinggi. Malaysia yang berhasrat untuk menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020, perlu menjadikan strategi pengantarabangsaan sebagai satu agenda penting lagi kritikal.

Pencapaian dan pengalaman Malaysia dalam sektor pengajian tinggi sekali lagi diiktiraf dunia apabila pada tahun ini diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Asia Eropah ke-4 atau "Fourth Asia-Europe Meeting of Ministers for Education" (ASEMME4) dari 12 hingga 14 Mei 2013 akan datang di Kuala Lumpur.

Sebanyak 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah, 16 buah negara Asia dan 3 buah anggota baharu iaitu Rusia, Australia dan New Zealand akan dijemput untuk menghadiri ASEMME4. Mulai 15 Februari ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) yang ditubuhkan tahun lalu akan mula beroperasi dan akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa dalam negara.

45. Malaysia akan terus meningkatkan inisiatif pengantarabangsaan dengan strategi-strategi inovatif dan kreatif supaya mampu bersaing dalam penyediaan dan pelaksanaan perkhidmatan pengantarabangsaan yang efisien, berkesan dan produktif. Dalam hal ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan terhadap strategi pengintegrasian pengantarabangsaan dalam pelbagai perkhidmatan pengajian tinggi.

Perkembangan ini menuntut kita untuk melakukan pemetaan baharu dengan memberi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi.

46. Dalam konteks ini, satu usaha yang boleh menyumbang hasrat mencapai matlamat kecemerlangan ini adalah melalui cadangan penubuhan konsortium di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Islam Negara yang diterajui oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai platform memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti penyelidikan dan berkonsepkan ‘global classroom’ di kalangan IPT serantau dan negara OIC. Kementerian mengalu-alukan usaha murni ini kerana ia akan memperkasakan lagi perkhidmatan pengajian tinggi negara sekaligus mempromosikan Malaysia menjadi pemimpin kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat global.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Malaysia Pemacu Komuniti ASEAN)

47. Sempadan komuniti di ASEAN kini semakin kabur. Negara di rantau ini sepakat untuk mewujudkan “Komuniti ASEAN” menjelang 31 Disember 2015. Pada ketika itu, Malaysia akan diberi mandat mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN. Ini bermakna, kita diberi peluang mempelopori gagasan penubuhan Komuniti ASEAN yang bertunjangkan kepada penguasaan pengetahuan berasaskan penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau, masyarakat yang dilengkapi dengan maklumat yang tepat dan struktur institusi yang berdaya saing dan persekitaran yang lestari.

48. Oleh itu, ini adalah kesempatan terbaik IPT di Malaysia mengatur strategi dan mempromosi pengajian tinggi sebagai ejen perubahan bagi mewujudkan Komuniti ASEAN yang dinamik dan lestari. Sehingga 31 Disember 2012, terdapat seramai 14,156 orang pelajar dari negara ASEAN menyambung pengajian di Malaysia manakala 9,008 orang pelajar Malaysia di negara ASEAN. Sebagai negara pembekal pengajian tinggi yang berkualiti di rantau ini, Malaysia berupaya memberi sumbangan dalam pelbagai dimensi untuk mencapai matlamat Komuniti ASEAN 2015.

Sebagai contohnya Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah membangunkan pendekatan kelestarian untuk pendidikan dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM yang menerajui penyelidikan sains kelestarian boleh menjadi pemangkin kepada sumbangan negara ke arah pembentukan Komuniti ASEAN yang dicita-citakan.

49. Pada peringkat pendidikan latihan dan kemahiran pula, Malaysia boleh membantu dalam melatih dan membentuk tenaga mahir dalam kalangan negara ASEAN melalui politeknik dan kolej komuniti. Institusi ini boleh membentuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam Komuniti ASEAN melalui pertukaran pengetahuan dan personel, melalui proses rakan kongsi, kontrak penyelidikan, program latihan dan pendidikan sepanjang hayat. Ini dapat merapatkan perhubungan antara institusi-institusi dalam Komuniti ASEAN dan pada masa yang sama membantu mentrasformasikan sistem pendidikan Komuniti ASEAN sekaligus membentuk kesepaduan antara negara.

50. Peranan Malaysia dalam agenda Komuniti ASEAN ini akan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan agenda Jangkauan Global Malaysia (JGM). Setelah memulakan inisiatif jangkauan ini di negara CLMV iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam, bagi tahun 2013 hingga 2015, ia diperluaskan lagi dengan menambah negara rakan terpilih seperti Mindanao, Filipina, Timor Leste dan Papua New Guinea. Dalam hal ini, satu cadangan pelan rangka kerja program pembangunan sumber daya manusia untuk Mindanao akan disediakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

51. Pelan program pembangunan sumber daya manusia ini boleh diintegrasikan sebagai salah satu agenda pembangunan keseluruhan Mindanao yang akan diselia oleh Jawatankuasa Khas Filipina-Malaysia yang telah dipersetujui penubuhannya oleh kedua-dua negara bagi menyelia proses damai dan pembangunan di Mindanao. Program ini juga boleh diaplikasikan kepada negara lain dengan tujuan yang sama, Insya Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEENAM: PENDIDIKAN UNTUK SEMUA

52. Transformasi tersusun Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyat Malaysia sama ada yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Melalui ilmu pengetahuan dan kemahiranlah, rakyat kita bukan sahaja akan dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka, tetapi membantu negara bersaing dalam dunia global yang semakin kompetitif. Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan lagi.

53. Pembelajaran Sepanjang Hayat yang telah dinobatkan sebagai tonggak ketiga dalam sistem pembangunan sumber manusia di negara ini seiring dengan Sistem Persekolahan dan Pendidikan Tertiari, akan terus diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan Direktori Interaktif PSH peringkat nasional, menjayakan Karnival My3L peringkat nasional dan peringkat zon, menjalankan kajian Pemantapan Program PSH dan mengadakan Pelan Tindakan Penggalakan Penyertaan Industri dalam PSH.

54. Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun lepas, Malaysia Qualification Agency (MQA) telah menubuhkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL). Bagi menggalakkan lebih ramai golongan yang telah bekerja menyambung pengajian, sukacita dimaklumkan bahawa permohonan APEL bagi maksud kemasukan pengajian peringkat Sijil dan Diploma akan mula dibuka mulai 1 Februari 2013. Inisiatif ini pastinya akan memikat golongan bekerja untuk belajar semula apabila APEL mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebelum ini dan boleh diambil kira sebagai syarat untuk menyambung pengajian di peringkat Sijil dan Diploma.

55. Sebagai sebuah institusi perdana yang menjayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di negara, Kolej Komuniti memainkan peranan penting dalam menawarkan latihan dan kemahiran kepada orang ramai. Oleh itu, kementerian ingin mengumumkan bahawa sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti hanya dengan kelulusan minima satu kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

56. Pada masa yang sama, beberapa inisiatif baharu telah dikenalpasti akan dilaksanakan dalam usaha menambah penyertaan masyarakat seperti memendekkan tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) Terusan atau Jangka Panjang dari 24 bulan kepada minimum 16 bulan. Jumlah sijil yang ditawarkan juga telah ditambah daripada empat pada tahun lalu kepada 11 pada tahun 2013. Selain Sijil Kolej Komuniti Terusan dan Modular, Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas turut dilaksanakan khusus kepada pelajar yang mengalami masalah pembelajaran seperti pekak dan bisu.

Jika sebelum ini hanya Kolej Komuniti Selayang menawarkan Sijil Kemahiran Khas dalam bidang perkhidmatan perhotelan, pada tahun 2013, lima buah Kolej Komuniti lagi akan terlibat menawarkan Sijil Kemahiran Khas ini dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, fotografi, fesyen dan pakaian, pemprosesan makanan dan pastri.

57. Selain melebarkan akses, soal ekuiti turut diambil perhatian. Sehubungan dengan itu, bantuan Kewangan Kolej Komuniti ditawarkan kepada mereka yang layak melalui Tabung Pinjaman Pelajar (TPP). Bagi Sijil Kolej Komuniti Terusan, pelajar boleh menerima bantuan tiga ratus ringgit sebulan iaitu bagi mereka yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan kurang tiga ribu ringgit sebulan manakala dalam bentuk pinjaman pada kadar yang sama bagi pelajar yang pendapatan keluarganya melebihi tiga ribu ringgit sebulan. Bagi pelajar Sijil Kolej Komuniti Modular pula, mereka boleh memohon wang saku sebanyak dua ratus lima puluh ringgit sebulan jika layak.

58. Baru-baru ini, sewaktu merasmikan Karnival Jom Masuk U, saya telah mengumumkan pengambilan pelajar mod baharu melalui dasar membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah. Kaedah pengambilan pelajar yang diberikan pengecualian meritokrasi ini selari dengan prinsip kerajaan dan kementerian untuk melihat semua rakyat Malaysia mendapat hak berpendidikan tanpa halangan.

Dalam hal ini, kejayaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan program Pra Universiti iaitu Program Destini Anak Bangsa, boleh dijayakan oleh IPT yang lain dalam membantu kemasukan pelajar kaum-kaum lain. Ini kerana dalam usaha kita mencapai negara maju berpendapatan tinggi, semua kaum perlu menjadi modal insan untuk negara.

59. Dalam usaha kita melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kita tidak boleh lari dari menyentuh soal pembiayaan sektor pengajian tinggi. Keupayaan negara menyediakan akses dalam pembelajaran di peringkat tertiari mahupun pembelajaran sepanjang hayat memerlukan kita memikirkan semula model pembiayaan pendidikan yang lestari dan berkesan. Adalah kesalahfahaman yang nyata bila isu pembiayaan pengajian tinggi hanya dilihat dari sudut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembiayaan pelajar.

Isu yang paling mendasar ialah bagaimana IPT awam menguruskan pelaburan dan pembiayaan kerajaan secara berkesan serta mampu menterjemahkan hasil yang memenuhi keperluan strategik negara.

60. Kebergantungan IPT yang keterlaluan pada dana kerajaan sebenarnya telah mewujudkan fenomena pengurusan kewangan di IPT yang tidak ‘cost efficient’ dan kegagalan untuk menjadi mandiri serta tidak kompetitif. PTPTN pula memerlukan model kelangsungan baharu untuk memastikan ia terus lestari tanpa mengabaikan kepentingan menterjemahkan dasar ekuiti dalam pendidikan. Oleh itu, kementerian telah menganjurkan inisiatif bagi menyemak dan mengkaji semula sistem pembiayaan pendidikan tinggi secara komprehensif dalam usaha mewujudkan model pembiayaan yang lestari dan kompetitif sifatnya bagi menyokong pembangunan strategik negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Budaya Kerja Berinovatif)

61. Kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal ini, fungsi kementerian telah beralih daripada memberikan penekanan terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi pemudahcara (facilitator). Ini bagi memastikan persekitaran pengajian tinggi yang lebih kondusif dapat diwujudkan untuk perkembangan dan kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan yang seharusnya berasaskan kepada budaya keintelektualan dan keilmuan yang tinggi tanpa sebarang pengaruh politik dan birokrasi pentadbiran.

Dalam memainkan peranan sebagai pemudahcara ini, kementerian seharusnya bijak untuk sentiasa melihat amalan-amalan terbaik yang terdapat di sesebuah institusi untuk dipanjangkan pengamalannya ke institusi-institusi lain. Penekanan tidak seharusnya terhad kepada aspek pembelajaran dan pengajaran atau penyelidikan sahaja, tetapi fokus juga wajar diberikan kepada hal-hal yang melibatkan pentadbiran supaya isu-isu birokrasi yang sedia wujud dapat dikurangkan.

62. Saya juga ingin meletakkan harapan supaya tahun 2013 ini lebih banyak aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti sebagai sebuah badan berkanun dapat dipertingkatkan. Ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui perolehan berpusat di kementerian bagi sesetengah perkhidmatan seperti yang telah sedia dilaksanakan sekarang antaranya perolehan perisian untuk komputer, pangkalan data komersil untuk perpustakaan dan lain-lain lagi.

Ini bagi memastikan terdapat penjimatan dalam pengurusan wang awam bila mana sesuatu perkhidmatan tersebut dapat dibeli pada kadar harga yang lebih rendah melalui kaedah pukal berbanding secara individu oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti. Saya juga ingin menyarankan supaya perancangan-perancangan projek pembangunan di universiti-universiti awam juga mengambil kira aspek nilai untuk wang dengan memperbanyakkan kemudahan-kemudahan yang bersifat guna sama seperti dewan kuliah dan bilik tutorial supaya ia dapat dimanfaatkan secara lebih maksimum berbanding pembangunan fizikal yang bersifat faculty-based sahaja.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PENUTUP

63. Globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa depan pendidikan tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik nasionalisme dan pembangunan modal insan. Ia adalah tentang bagaimana pengajian tinggi akan mampu mendukung daya saing Malaysia dalam mendepani impak globalisasi.

Malaysia yang maju dan progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara di peringkat global. Sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan kebolehsaingan Malaysia akan pasti menjadikan negara dan bangsa kita lebih ‘resilient’ atau kental.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

64. Tidak ada kejayaan melainkan pada tahap kecemerlangan. Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya berharap semua institusi di bawah kementerian dapat memperteguhkan kedudukan mereka menjadi institusi yang cemerlang dan berwibawa. Dalam hal yang sama, kementerian berasa bangga dengan kejayaan atlit IPT mengungguli Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos tahun lalu.

Tahniah dan syabas diucapkan. Namun, jika sukan kita boleh cemerlang dan diiktiraf dunia, maka tidak ada sebab pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta khidmat masyarakat kita tidak cemerlang dan diterima global. Kita mesti memahami agenda teras yang perlu dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai penyumbang kritikal kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

65. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua warga kementerian yang hadir dan mendengar amanat tahun baharu ini. Amanat yang mempunyai lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untuk menjayakannya. Kini, kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi sebelum fajar tahun 2020 terbit sekaligus melihat Malaysia gah muncul menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Berbekalkan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang teliti, kita boleh merealisasikan semua hasrat dan impian yang kita tentukan ini, Insya Allah.

66. Saya berdoa agar tahun 2013 memberikan kita lebih kebahagiaan dan kemakmuran. Bersama kita terus beriltizam mencarta pembangunan dan kemajuan negara. Ayuh, terus kita melangkah ke hadapan dengan satu tujuan, satu destinasi, Malaysia yang berjaya. Sekian, terima kasih.

Artikel Lain