PUSAT Pengajian Petroleum telah dibina hasil usahasama salah satu pemain industri minyak dan gas dunia, Baker Hughes Sdn Bhd (Baker Hughes)dan Universiti Teknologi Petronas (UTP), yang terletak di Tronoh, Perak.Pembukaan pusat ini di UTP sendiri adalah selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Baker Hughes dengan empat syarikat minyak dan gas terkemuka termasuk Petronas pada Ogos 2011.Baker Hughes bersama syarikat-syarikat ini menjalinkan kerjasama bagi mempertingkatkan kecekapan tenaga kerja tempatan melalui pelbagai program pembangunan yang mempunyai keupayaan dan aktiviti pendidikan.Di samping itu, Baker Hughes juga menyediakan biasiswa kepada empat pelajar muda UTP yang amat berbakat sebagai sebahagian daripada inisiatif mereka dalam membangunkan tenaga kerja mahir untuk masa depan industri."Ini hanyalah satu permulaan, kita akan melakukan banyak lagi," kata Presiden Baker Hughes Asia Pasifik, Djerfi Zvonimir ketika majlis pelancaran Pusat Pengajian Petroleum Baker Hughes-UTP dan Majlis Penganugerahan Biasiswa Baker Hughes di Tronoh Perak, 1 Februari lalu.Pelajar, Kishen Nanda Kumar, Norshazliana Zainal Abidin, Christine Chng Wei Mann dan Sum Yin Yan masing-masing menerima biasiswa sehingga RM130,000 yang telah disampaikan oleh Naib Canselor UTP Datuk Ir Dr Abdul Rahim diiringi Naib Presiden Baker Hughes Asia Tenggara Ng Say Heng.Djerfi berkata Baker Hughes menubuhkan kemudahan pembelajaran untuk menggalakkan pelajar berfikir tentang idea-idea mereka dan mempelajari perkara-perkara inovasi yang boleh dibangunkan dalam produk dan teknologi.Pusat pendidikan ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden Eksekutif Eksplorasi dan Pengeluaran (E & P) Petronas Datuk Wee Yiaw Hin.Turut hadir Pengerusi Institut Teknologi Petronas Sdn Bhd Juniwati Hussin.