suria

IPT Perlu Bersikap Terbuka Jalin Hubungan Dengan Industri

SHAH ALAM: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu mengadakan hubungan yang terbuka dengan pihak industri, terutama dalam bidang penyelidikan dan latihan.

Beliau berkata pihak IPT juga perlu menjemput pengamal industri menjadi pensyarah jemputan di institusi mereka untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar, dan mendedahkan kepada pelajar gambaran sebenar bidang yang akan mereka ceburi.

Malah dengan mengadakan hubungan itu, ia juga akan memanfaatkan pensyarah dan warga IPT mengenai keadaan sebenar di industri-industri tempatan, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sebelum itu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Brahim's Holdings Bhd dalam bidang penyelidikan, konsultansi serta latihan dalam bidang teknologi makanan untuk tempoh tiga tahun mulai tahun ini.

UiTM diwakili naib canselornya Datuk Seri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Brahim's Holding oleh pengerusi eksekutifnya Datuk Ibrahim Ahmad.

Sementara itu Sahol Hamid berkata sehingga kini UiTM telah menjalin hubungan dengan 186 industri tempatan dan antarabangsa. "Malah lebih membanggakan, saya dimaklumkan 22 pengurus besar dan ketua jabatan di syarikat berkaitan Brahim's Holdings terdiri daripada graduan dari UiTM," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain