PETALING JAYA: Institut Akauntan Malaysia (MIA) dengan kerjasama Sunway TES menganjurkan Kuiz Perakaunan Kebangsaan (NAQ 2014) dalam usaha untuk mempromosikan bidang perakaunan sebagai kerjaya pilihan pelajar. Presiden MIA, Johan Idris berkata seramai 2,000 pelajar akan mengambil bahagian dalam kuiz yang dijalankan secara dalam talian bermula pada Selasa hingga 20 April ini. Jelasnya, kuiz peringkat akhir akan diadakan secara langsung di Kolej Sunway pada 13 September ini. "Kuiz ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah, khususnya pelajar tingkatan empat dan lima. "Selain menyasarkan penyertaan yang tinggi di kalangan pelajar, MIA dan Sunway TES ingin memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu perakaunan dalam kehidupan seharian," katanya dalam satu kenyataan media. Menurut Johan, melalui inisiatif ini, pelajar diharap dapat mengembangkan lagi pengetahuan mereka dalam bidang perakaunan dan mendapat gambaran lebih jelas mengenai peluang pekerjaan dalam bidang tersebut. "Kami galakkan pelajar yang mahu melakar kejayaan dalam kerjaya mereka menggunakan kelbihan ilmu perakuanan sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam meneroka peluang kerjaya idaman mereka," katanya. Jelas Johan, perakuanan adalah satu bidang ilmu yang fleksibel disamping menawarkan pelbagai peluang pekerjaan. "Setiap organisasi bergantung kepada akauntan dan ramai rakyat Malaysia serta ahli perniagaan berkelas dunia adalah akauntan," katanya. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Perakaunan Sunway TES dan Kolej Sunway, Teo Ee Sing berkata, kuiz tersebut diharap dapat membantu para pelajar memahami konsep perakaunan dengan lebih jelas. "Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan mahu menyambung pelajaran di Sunway TES, bantuan kewangan akan diberikan," katanya. Jelas Teo, pemenang bagi tiga hadiah utama akan menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Sunway TES. Untuk maklumat lanjut mengenai NAQ2014, sila layari www.accountingquiz.my.