SUBANG JAYA: Worldwide Medivest Sdn Bhd (WMSB) pada Sabtu menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini bagi memperkasakan kecemerlangan akademik bidang perubatan. Pengarah Eksekutif WMSB, Ahmad Azman Azizul Rahman berkata kerjasama tersebut sejajar dengan misi anak syarikat milik penuh Worldwide Holdings Berhad itu untuk menjadi pemangkin utama pembangunan modal insan. "Ia bertujuan untuk akan melahirkan pakar-pakar perubatan khasnya dalam bidang pembedahan di negara ini termasuk menjadi pemain utama dalam industri pengeluar peranti perubatan," katanya. Jelas beliau, sebagai permulaan, kerjasama itu akan berjalan secara bertempoh bagi melihat pencapaian dan kecemerlangan akademik pelajar serta kesinambungan jaringan perniagaan antara kedua-dua pihak. "Worldwide Holdings yakin dengan kepakaran penyelidik-penyelidik tempatan yang mendapat pendidikan dari universiti-universiti terkenal di dunia untuk membuat penilaian dan R&D bagi produk keluaran Worldwide Medives," katanya. Menerusi kerjasama ini, beliau berkata WWSB turut akan membekalkan produk sutures dan peralatan-perlatan berkaitan untuk tujuan akademik perubatan. "Ia ada sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Worldwide Holdings berteraskan pendidikan," katanya. Sementara itu, beliau berkata kerjasama tersebut turut memberi tumpuan kepada program latihan industri dan aktiviti memperkasakan kecemerlangan pelajar. "Kami berharap agar pemeteraian MoU atas kerjasama ini akan menjadi titik tolak kepada permulaan yang baik di antara pemain industri dengan institusi pengajian tinggi awam khususnya dalam bidang perubatan. "Dengan kerjasama ini juga diharapkan dapat melahirkan lebih ramai lagi pakar bedah dan golongan profesional yang mampu menaikkan nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya. Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria.