suria

Lihat Kain Bertimbun Beri Idea Buka Syarikat Lipat Kain

KUALA LUMPUR: Melihat kain bertimbun yang tidak sempat dilipat kerana sibuk bekerja, seorang jurujual kini menjadi usahawan dengan menubuhkan sebuah syarikat Guru Niaga Enterprise yang menawarkan perkhidmatan melipat kain.

Mohd Noorrizan Mohamed Shafiee, 31, berkata perkhidmatan yang dikenali sebagai Servis Lipat Kain (SLK) cuma mengenakan bayaran serendah RM2 sekilogram.

Katanya idea mewujudkan SLK timbul apabila beliau melihat isterinya Yushana Yusoff, 31, sering pulang lewat dan tidak sempat melipat kain baju.

Beliau yakin situasi ini turut dialami orang lain.

"Malah pada awalnya, kami pula yang perlu menjawab pertanyaan daripada orang ramai yang bertanyakan sama ada servis ini serius. Mungkin mereka juga sukar percaya lipat kain boleh jadi peluang berniaga," katanya.

Beliau berkata syarikatnya menitikberatkan profesionalisme dalam kalangan pekerja dan ejen-ejennya seperti mereka diwajibkan berpakaian kemas iaitu berkemeja semasa bertugas.

Selain itu, kain yang telah dilipat diikat rapi bagi memastikan kekemasannya.

"Selain berniaga, kami mahu membantu orang. Pernah kami menerima tempahan 49 kilogram kain daripada seorang pelanggan. Pernah juga peniaga pasar malam menghantar kain menggunakan Toyota Hilux kerana tidak sempat melipat kain, ditambah pula empat anaknya lelaki," katanya.

Perniagaan melipat kain itu beroperasi di rumahnya dan rumah-rumah ejen yang dilantik, dan setakat ini, purata kain yang diterima setiap hari mencecah sehingga 100 kilogram.

"Pada awalnya ada juga pelanggan yang berasa malu menggunakan perkhidmatan kami, selain ada yang meminta supaya kain itu diambil di tempat kerja atau kawasan tempat letak kereta, namun lama-kelamaan perasaan itu hilang dan kami kini pergi rumah ke rumah untuk mengambil dan menghantar kain baju pelanggan," katanya.

Anak jati Kuala Kangsar, Perak itu berkata beliau menggunakan pengalaman selama 10 tahun sebagai pengedar pakaian dan aksesori, selain sebagai jurujual alat pembelajaran untuk memulakan SLK.

"Kami tidak bermula tanpa persediaan, sebaliknya buat tinjauan dahulu dan hasilnya didapati mereka yang bekerja khususnya dalam sektor profesional dan berusia antara 26 ke 39 tahun, akan menggunakan servis ini," katanya.

Lulusan Teknologi Maklumat itu berkata sejak dimulakan tiga bulan lalu, sambutan amat menggalakkan dan sehingga kini SLK mempunyai 30 ejen sah di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Melaka.

Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia lima dan tiga tahun itu kini merancang untuk melantik ejen di Kedah, Terengganu dan Kelantan menjelang Mei ini.

"Pemilihan ejen juga dilakukan dengan berhati-hati. Kami mahu ejen yang jika tidak dapat memenuhi permintaan, harus jujur dan serahkan tempahan itu kepada rakan lain yang terdekat," katanya yang menggunakan laman sosial sebagai medium pengiklanan.

Sementara itu ejen SLK bagi kawasan Bangi dan Kajang, Muhamad Zahir Zainuddin, 36, berkata kain yang diterima akan dilipat secepat mungkin atau paling lewat perlu dipastikan diterima kembali pelanggan dalam tempoh 48 jam.

"Jika saya tak menang tangan kerana tempahan terlalu banyak, saya akan menggaji beberapa suri rumah yang berminat mencari wang tambahan, kerana mereka hanya perlu bekerja dari rumah.

"Secara tak langsung, kami dan pelanggan 'membantu' golongan suri rumah yang berniat menolong suami...dan akhirnya semua pihak gembira, termasuk pelanggan yang dapat melihat almari tersusun rapi," katanya.

Perak, Selangor, Lipat Kain

Artikel Lain