RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai "muzium hidup".Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung yang terletak di tengah-tengah bandar raya bersejarah ini masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.Kampung Morten, sempena nama Pesuruhjaya Tanah Inggeris Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah, termasuk 52 rumah tradisonal Melaka.Morten dipercayai memainkan peranan membina kampung ini pada tahun 1920-an sementara pengasasnya dikatakan Allahyarham Othman Mohd Noh.Kampung ini terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah, di pinggir Sungai Melaka.Kampung Melayu Kampung Morten merupakan satusatunya kampung Melayu di bandar bersejarah ini yang masih memiliki identiti tersendiri walaupun melewati beberapa zaman seperti reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu berciri bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.Tangga batu merupakan ciri-ciri utama di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional ini biasanya dihias dengan pelbagai jenis pokok bunga.Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dalam dan luar negara.Pengunjung akan berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali kepada zaman kerajaan Melayu Melaka.Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.Kini perkampungan ini dikelilingi bangunan moden dan aliran air sungai Melaka yang semakin bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri.Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, perkhidmatan bot untuk menyusuri kira-kira empat kilometer sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung ini.Villa Sentosa Sekali imbas jika melihat deretan rumah tradisional Melayu Melaka di kampung ini, tiada siapa menyangka pada deretan rumah berkenaan terdapat sebuah rumah yang menyimpan dengan baik khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah abad.Khazanah ini tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan seseorang pelancong ke kampung ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada 1920.Kini setelah sembilan generasinya menduduki kediaman itu, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya akan terus menjaga warisan berkenaan.Villa Sentosa juga dikenali sebagai "The Living Museum".Rumah ini diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan pembukaannya pada 11 Dis 1991.Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.Ketika bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Abdul Rahim berkata Villa Sentosa memiliki reka bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.Khazanah warisanPengunjung juga berpeluang mengenali generasi Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang digantung di dalam bilik pengantin.Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya.Di ruang hadapan Villa Sentosa tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa tidak diperlukan.Di ruang tengah villa ini menempatkan sebuah pelamin tradisonal Melayu yang dihiasi warna kuning, dan terdapat pelbagai jenis pakaian pengantin tradisional berusia sehingga 20 tahun dan juga perhiasan pengantin seperti cucuk sanggul, kasut dan perhiasan diri.Di ruangan ini juga menempatkan bilik pengantin yang dihias indah seperti bilik pengantin di zaman Kesultanan Melayu Melaka.Terdapat ruang yang menempatkan alat muzik dikenali sebagai Gong dipercayai berusia 200 tahun, almari antik berusia 100 tahun, tembikar dan arca lama, senaskah Al-Quran berusia 80 tahun serta kamus Inggeris-Arab terbitan 1926.Di sini juga terdapat banyak kamera antik pelbagai jenis yang disimpan di sebuah almari kaca.Villa ini juga menyajikan pengunjung dengan himpunan banyak piring hitam era 50an selain pameran senjata tradisional seperti Tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.Persembahan kebudayaan"Dalam usaha kami mempromosi Villa Sentosa, kami turut mengadakan persembahan kebudayaan disertai dengan nyanyian dondang sayang dan joget lambak. Persembahan ini diadakan sekali pada setiap bulan," kata Abdul Rahim.Beliau berkata pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan kepada pengunjung yang bertanya."Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran, cukup hanya mereka menderma ke dalam tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada pukul 2 hingga 6 petang. BERNAMA