KACUKAN kambing 'Black Bengal' dan kambing 'Boer', yang pertama kali di dunia dan dilakukan di Malaysia, dijangka mampu membuka pintu baru untuk pasaran daging kambing yang lebih bermutu.Dua ekor anak kambing kembar dilahirkan hasil kacukan baka Boer dan Black Bengal.Walaupun kejayaan itu masih baru tetapi potensi pasaran untuk daging kambing sudah menjadi bukti apabila anak kambing yang dilahirkan itu seekor jantan dan seekor betina masing-masing mempunyai berat badan 1.5kg dan 1.4kg.Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Datuk Dr Mohd Zairi Serlan berkata, di Malaysia hanya Kelantan sahaja mempunyai kambing spesies ini dan berjaya membuat kacukan tersebut.Menurut beliau, kambing Black Bengal, yang hanya terdapat di Bangladesh, tidak pernah dibawa keluar dari negara itu dan ia dihadiahkan hanya kepada kerajaan negeri Kelantan.Ciri-ciri kambing Black BengalMenurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, kambing Black Bengal bersaiz kecil, berwarna hitam, berbulu pendek dan lembut.Kambing jenis itu mempunyai tulang belakang yang lurus, berkaki pendek dan telinganya agak panjang."Ciri-ciri yang menarik pada baka kambing ini ialah sifat kesuburannya yang baik, bilangan kelahiran atau kadar kembar yang tinggi dan mudah menyesuaikan diri kepada persekitaran yang kurang subur."Sifatnya yang matang menyaksikan kambing betina mula melahirkan anak pada umur 12 bulan, dengan kelahiran sekurang-kurangnya tiga kali dalam dua tahun dan dengan purata bilangan anak sekelahiran sebanyak 2.2 ekor", kata Dr Mohd Zairi.Bagaimanapun, katanya, berat anak kambing semasa kelahiran ialah antara 800gram dan 900gram."Kambing ini mudah dipelihara menggunakan rumput rumpai tempatan, walaupun tanpa makanan tambahan menjadikan kos pengeluaran yang paling minimum", katanya.Ciri-ciri Kambing BoerManakala Kambing Boer, adalah hasil kacukan kambing dari Afrika Selatan dan kambing dipilih khas untuk daging di Australia.Dengan ciri-ciri kadar tumbesaran yang tinggi dan kualiti daging yang baik, Kambing Boer mudah menyesuaikan diri pada persekitaran yang panas dan kering di samping mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap ancaman penyakit.Kambing Boer biasanya mempunyai badan yang berwarna putih dan kepala serta leher berwarna coklat, serta mudah dipelihara, cepat membesar dan kadar kesuburan yang tinggi."Bagaimanapun kadar kelahiran bagi kambing itu tidak begitu tinggi iaitu sekadar 1.2 ekor setahun."Berat anak semasa dilahirkan ialah penjantan Boer dewasa boleh mencapai antara 110kg dan 130kg manakala betina dewasa antara 90kg dan 100kg," katanya.PengkacukanPenolong Pegawai Veterinar, Normala Tukiban, yang terlibat dalam operasi pengkacukan itu, berkata dua ekor kambing Black Bengal telah dikacukkan menggunakan pejantan muda baka Boer secara tabii, iaitu seekor pada 10 Mei 2008 dan seekor lagi pada 26 Mei 2008.Kesemua kambing betina Black Benggal itu diselaraskan berahinya menggunakan hormon dengan alat silikon berbentuk Y yang dinamakan Control IntraVaginal Device Releasing Hormone (CIDR)."Selepas beberapa minggu alat itu diletakkan di kemaluan kambing betina, ianya ditanggalkan dan kambing jantan Boer akan diletakkan dalam kandang dengan kambing betina untuk mengawan," katanya. Setelah dikacukkan, pada 9 Okt 2008, seekor ibu Black Banggal telah melahirkan anak kembar seekor jantan dan seekor betina.Normala berkata, kelahiran anak kembar dengan berat lahir yang tinggi membuktikan pengkacukan ini berpotensi."Sifat prolifik Black Bengal ditunjukkan dengan kelahiran anak kembar tersebut.Sifat Boer pula ditunjukkan dengan kadar pertumbuhan berat badan yang baik," katanya. Potensi pengkacukanDr Mohd Zairi berkata, satu daripada tujuan pengkacukan antara baka ternakan ialah untuk mendapatkan kecergasan kacukan (hybrid vigour) iaitu penonjolan sifat yang lebih baik oleh manamana sifat dari kedua-dua baka ternakan berkenaan.Katanya, dalam pengkacukan baka Boer dan Black Bengal, sifat ini ditunjukkan pada berat kelahiran anak yang lebih tinggi berbanding dengan baka Black Bengal yang biasa, iaitu 1.4 kilogram sehingga 1.5 kilogram berbanding dengan 0.8 kilogram sehingga 0.9 kilogram."Begitu juga dengan kadar pertumbuhan anak kacukan setinggi 50 gram sehingga 80 gram sehari berbanding dengan 35 gram sehingga 40 gram pada berat baka Black Bengal," katanya.Potensi baik ini telah mendorong projek untuk mengembangkan lagi pengkacukan kedua jenis kambing menggunakan lebih banyak betina Black Bengal.Hasil dari pengkacukan lebih lanjut menggunakan ternakan yang lebih banyak akan memberi gambaran yang lebih tepat tentang prestasi sebenar projek ini.Pengkacukan secara permanian beradas juga dalam pelaksanaan sebagai langkah jangka panjang kerana program sedemikian akan memerlukan perancangan dan penyediaan kepakaran teknikal serta belanjawan yang agak tinggi.Kaedah ini dijangka dapat mengatasi masalah pengkacukan menggunakan baka kambing pejantan Black Bengal kepada kambing betina Boer kerana kambing jantan itu mempunyai ketinggian rendah menyebabkan sukar untuk mengawan. BERNAMA