suria

Impak pertanian melampau di Cameron Highlands

"MALAYSIA harus belajar daripada apa yang telah menimpa Eropah. Penduduk di sana hanya sedar bila kerosakan sudah berlaku dan semuanya sudah musnah. Jangan biar nasi menjadi bubur".

Demikian pandangan Anthony Van der Ent, bioligis dan ahli sains alam sekitar dari Belanda.

Menurut beliau, sebahagian besar alam sekitar (di Eropah) telah punah dan tercemar akibat pembangunan secara besar-besaran yang tidak lestari sejak awal 1950an. Masyarakat Eropah, tambahnya, kini bergelut dengan usaha untuk memulihkan keadaan.

"Semestinya semuanya itu bukan sahaja membabitkan tugas yang besar tetapi juga kos yang tinggi. Sebagai contoh, untuk memulihkan hutan yang sudah dibinasakan akan mengambil masa beribu-ribu tahun".

Menurut Van der Ent, Malaysia dan negara di Asia yang lain sedang berhadapan dengan situasi yang sama dialami Eropah pada 1950an dari segi pertumbuhan ekonomi dan kepesatan pembangunan sektor perindustrian dan pertanian.

"Di sebalik apa yang sedang berlaku sekarang, masih terdapat banyak kawasan di Malaysia yang amat berharga untuk dipulihara tetapi pada kadar apa yang sedang berlaku sekarang, saya bimbang tidak ada lagi yang boleh diselamatkan terutamanya di Cameron Highlands", katanya, sambil menambah, dalam tempoh 20 tahun akan datang Malaysia akan mengalami apa yang menimpa Eropah 15 tahun lepas.

Bimbang dan risau Van der Ent mula mengenali Cameron Highlands ketika melawat Malaysia tujuh tahun lepas bersama ibu bapanya yang gemar melancong. Sejak itu tanah tinggi ini telah menawan hatinya dan setiap tahun, dia pasti kembali ke sini untuk meskipun hanya untuk lawatan singkat.

Pada 2005, beliau yang ketika itu adalah pelajar di Saxion University Deventer, Netherlands bersama seorang pelajar lain, Chantal Termeer menjalankan kajian kualiti air di zon tadahan air bahagian Hulu Bertam.

Sungai Bertam adalah sungai paling penting mengalir ke dalam Takungan Air TNB Ringlet.

Projek penyelidikan mengenai kimia dan kualiti air sungai-sungai di kawasan tadahan air Hulu Bertam ditugaskan kepada mereka oleh kumpulan komuniti Cameron Highlands, Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron highlands (REACH).

Kajian yang memakan masa lima bulan ini mendapati pencemaran serius sebatian organik dan kelodak sebagai dua punca utama kemerosotan kualiti air di kawasan tadahan air Hulu Bertam.

Sungai di Cameron Highlands Terdapat lapan sungai di Cameron Highlands dengan yang utamanya Sungai Bertam, Sungai Telom dan Sungai Lemoi.

Ketiga-tiga sungai ini mempunyai sejumlah 123 cawang sungai. Justeru, ketiga-tiga sungai berkenaan mempunyai peranan besar dalam membekalkan air bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga memenuhi keperluan sektor pertanian di tanah tinggi itu.

Cameron Highlands turut mempunyai kepentingan kerana ia membentuk kawasan tadahan air untuk dua sungai utama di tanah dataran rendah iaitu Sungai Pahang dan Sungai Perak.

"Tadahan air adalah kawasan di bahagian hulu satu-satu sistem sungai, lazimnya di tanah tinggi dan sebahagian besarnya terdiri daripada hutan. Tanah tinggi dan terutamanya ekosistem hutan tanah tinggi membentuk kawasan tadahan air yang paling penting di Semenanjung Malaysia.

"Hutan tanah tinggi adalah pengeluar air dan bekalan sumber semula jadi yang terhad dan semakin terhakis ini, baik dari segi kuantiti dan kualiti, amat bergantung kepada kawasan tadahan air berhutan di tanah tinggi", jelas Van der Ent.

Menurut beliau, litupan hutan memainkan peranan besar untuk kawasan tadahan air. Berdasarkan kajian kami, kira-kira 30 peratus daripada tanah di kawasan tadahan air Bertam digunakan untuk pertanian dan pembangunan bandar", kata Van der Ent.

Air sebagai penunjuk Kualiti air dilihat sebagai penunjuk terbaik menanda aras kualiti alam sekitar, kerana kemerosotan mutunya boleh terhasil akibat pembangunan yang tidak lestari.

Bagaimana keadaannya sejak kajian 2005 atau krisis air yang melanda Cameron Highlands pada 1998? Presiden REACH, Ramakrishnan Ramasamy memberitahu Bernama, secara keseluruhannya, keadaan air di Cameron Highlands tidak menunjukkan perubahan yang diharapkan.

"Pihak kami memandang berat akan keadaan ini dan banyak usaha kami ditumpukan kepada isu ini dan yang berkaitan. REACH sendiri ditubuhkan kerana isu kualiti dan kuantiti air di Cameron Highlands.

"Meskipun REACH hanya sah didaftar pada 2001, pihak kami sudah mula menyuarakan kebimbangan kami mengenai isu air ini sejak 1998 lagi bila krisis air yang meruncing melanda Cameron Highlands", katanya.

Menurut Ramakrishnan, sehingga sebanyak 80 peratus sumber air yang ada di Cameron Highlands dialihkan ke sektor pertanian.

Beliau turut menganggarkan bahawa 80 peratus ladang di Cameron Highlands dibuka di cerun yang melebihi kecuraman melebihi 25 peratus darjah yang dibenarkan.

"Sejak 2000, Cameron Highlands mengalami kekurangan air sebanyak 4 juta liter sehari untuk penduduknya ketika itu seramai 29,000. Sehingga tahun lepas, penduduk di sini sudah meningkat melebihi 33,000 orang.

"Bagi mengatasi kekurangan ini, satu takungan air dirancang di Sungai Terla. Pada permulaan projek ini, terdapat hanya enam buah ladang di atas takungan air yang dirancang. Apabila projek ini dimulakan dan siap, jumlah ladang meningkat kepada lebih 60 buah", katanya.

Pencemaran berterusan Bagi Ramakrishnan, bilangan ladang yang semakin meningkat hanya menambah masalah kepada bekalan air di Cameron Highlands.

"Memandangkan terdapat banyak ladang di kawasan hulu Takungan Air Sungai Terla, airnya tercemar bukan sahaja akibat buangan pertanian tetapi najis manusia. Kebanyakan ladang menggunakan tenaga pekerja asing dan mereka tidak mempunyai sanitasi yang sesuai", katanya.

Sesebuah ladang, tambahnya mempunyai kira-kira 10 pekerja dan kebanyakan ladang menggunakan najis ayam sebagai baja.

"Apabila kami menguji air tersebut, kami menemui bakteria E.coli dan apabila air yang tercemar itu dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya, ia didapati mengandungi najis manusia", katanya.

Ramakrishnan berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memikul tanggung jawab di atas situasi yang berlaku kerana kurang penguatkuasaan dan gagal mengawal pembukaan ladang baru di kawasan hulu takungan air tersebut.

Menurut beliau, berlaku satu kejadian tanah runtuh akibat pembukaan tanah secara haram yang menyebabkan Sungai Terla berkelodak sekitar 2008 dan membuatkan takungan air terpaksa ditutup.

"Apabila ada takungan air, sepatutnya tidak ada sebarang kegiatan manusia termasuk perladangan. Akibat kurangnya penguatkuasaan, petanipetani ini menceroboh kawasan tadahan air, dan ini menambah pencemaran sumber air.

"Keseluruhan Cameron Highlands adalah kawasan tadahan air dan sebahagian besar hutan ini berfungsi sebagai span, mengumpul dan menahan air. Anak sungai mengalir dari hutan ini. Sekiranya hutan ini diganggu, bererti sumber air akan turut terjejas", jelasnya.

Menurut Ramakrishnan, REACH menjalankan ujian yang kerap, sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan ke atas air mentah dan air yang sudah dirawat, yang diambil dari semua pekan di Cameron Highlands.

"Menakutkan, dalam air yang dirawat, kehadhiran bakteria E.coli terlalu banyak untuk dikira", katanya.

Ramakrishnan berkata, pada tahun lepas, REACH menjalin kerjasama dengan sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor bagi menjalankan kajian ke atas kualiti air di Cameron Highlands.

"Mereka melakukan ujian dan mereka juga terperanjat apabila mendapati betapa tercemarnya air yang diuji", katanya.

Amarah alam Satu lagi isu yang turut mencetuskan kebimbangan bagi Ramakrishnan ialah amarah alam ke atas Cameron Highlands.

Dan ini sudah dapat dilihat berlaku.

Beliau merujuk kepada banyaknya kejadian tanah runtuh terutamanya pada penghujung tahun lepas akibat hujan lebat dan apa yang paling mencemaskan ialah apabila ia berlaku di cerun yang tidak disentuh kegiatan manusia.

"Pada Disember tahun lepas, selepas berlaku hujan lebat saya dan rakan memandu selama sejam untuk jalan sepanjang kurang 10 km sekitar Pos Terisu (perkampungan Orang Asli kirakira 15 km dari Kuala Terla) banyaknya tanah runtuh, kecil dan besar, sampai tak terkira", katanya.

Ramakrishnan turut menyatakan kegiatan menebang hutan yang begitu berleluasa di sekitar Pos Terisu, dan katanya, pada kadar yang dibuat sekarang, kegiatan pertanian di sana akan mengatasi Lembah Bertam dalam masa singkat.

"Perkampungan Orang Asli itu semakin di kelilingi tanah pertanian", tambahnya.

Kata beliau, kejadian tanah runtuh yang besar pernah berlaku di Habu pada lewat 1990an apabila seorang petani membina takungan airnya sendiri di atas takungan air Jabatan Bekalan Air (JBA).

"Takungan air petani itu pecah dan meranapkan takungan air JBA. Akibatnya berlaku runtuhan tanah besar yang meragut nyawa dua orang", katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain