suria

80 tahun berlalu, BOH tetap ‘Ummph!’

"KAMI mahu memperkenal dan membawa nikmat teh kegemaran warga Malaysia ke kediaman orang bukan Malaysia".

Itu azam Caroline Russell, Ketua Pegawai Eksikutif BOH Plantations Sdn Bhd yang dinyatakannya di karnival sempena ulang tahun ke-80 syarikat itu di Zoo Negara di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Bernama mengenai impian masa depan BOH..

"Kini, BOH yang mempunyai pelbagai jenis teh dikenali sebagai (minuman) kegemaran seisi rumah yang sesuai untuk semua usia, generasi dan cita rasa Malaysia.

"Kami dikenali sebagai teh yang ada Ummph!. BOH memberikan Ummph dalam kehidupan anda," kata Russell sebelum itu, dalam ucapan beliau pada majlis berkenaan.

Sejarah BOH

Perjalanan BOH Plantations dalam industri teh Malaysia bermula pada tahun 1929 bila J.A. Russell (datuk Caroline), melihat potensi teh sebagai tanaman utama bagi Malaya.

Di sini bermulanya warisan yang meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan seharian di negara ini.

Bersama dengan A.B. Milne, seorang penanam teh dari Ceylon (sekarang Sri Lanka), Russell memohon dan diberi satu konsesi tanah di Cameron Highlands.

Menggunakan sebuah 'steamroller', beberapa orang buruh dan beberapa ekor keldai, mereka meneroka dan menukar tebing-tebing curam serta hutan dara ke sebuah kebun teh yang pertama di lokasi tanah tinggi, yang sekarang dikenali sebagai BOH.

Itulah detik bermulanya BOH Plantations.

Pengasas BOH Plantations itu meninggal dunia pada tahun 1933, pada usia 50 tahun, empat tahun selepas beliau memperkenal apa yang boleh dilabelkan sebagai 'teh yang membentuk saat keajaiban dan keakraban ketika bersama'.

BOH Plantations Sdn Bhd ialah penanam teh terkemuka di Malaysia dengan empat ladang teh di Cameron Highlands, BOH, Sungei Palas, Fairlie and Bukit Cheeding, dengan jumlah keluasan 1,200 hektar.

Syarikat itu mengeluarkan empat juta kilogram teh setahun, bersamaan dengan 5.5 juta cawan teh sehari!.

Setiap lapisan masyarakat

Menurut (Caroline) Russell :" Perayaan ulang tahun ini bukan hanya untuk kami tetapi untuk semua yang membantu dan menyokong kami membentuk apa yang kami punyai hari ini".

Katanya sejak kelahiran BOH Plantations pada tahun 1929, matlamat syarikat itu ialah untuk meningkatkan tahap kehidupan pengguna, kakitangan dan komuniti melalui pengeluaran teh yang unik dari segi rasa dan sifatnya.

"Produk yang segar dan sihat yang dapat dikongsi bersama," kata beliau.

Russell berkata BOH mahu berkongsi 80 tahun Ummph bersama dengan seluruh rakyat Malaysia melalui rasa kemesraan dan saat manis yang menjadi kenangan.

Ketika penulis ini ingin beredar dari tapak karnival, beliau terdengar seorang anak kecil menyanyi: "Kita ditakdir bersama, riang gelak ketawa, Tangan menggenggam mesra, melangkah ceria, Indahnya suasana, terbayang di mata Bila the dikongsi bersama, Ummph jelas terasa".

Itulah yang dimaksudkan oleh Russell: "BOH membantu menjalin saat-saat istimewa bersama dan keakraban. Itulah jalinan ikatan mesra perhubungan". BERNAMA

Artikel Lain