suria

Rizal temui kehidupan baru di Malaysia

PADA empat tahun lepas, semasa Rizal Shahputra pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, dia hanya memahami tiga patah perkataan Inggeris sahaja - 'yes', 'no' dan 'thank you'.

Namun warga Acheh berusia 24 tahun ini kini mampu bertutur dengan lancar dalam bahasa Inggeris setelah melanjutkan pengajian dalam jurusan Bahasa Inggeris dan Komunikasi di UCSI Universiti di Cheras.

"Saya rasa bagus. Saya telah meningkat maju dalam pengajian selain melalui kehidupan yang agak tenang sehingga ini. Syukur kepada Allah yang Maha Esa," kata pemuda, yang terselamat daripada malapetaka dan menjadi perhatian media dunia pada awal 2005.

Oleh kerana minat yang mendalam untuk mempelajari bahasa, pemuda ini juga tidak ketinggalan mempelajari bahasa Arab, Parsi dan dialek Cina daripada rakan-rakan antarabangsanya di kolej itu.

Selain mempertingkatkan kemahiran bahasa dan beramah mesra dengan rakan-rakan, Rizal juga menceburi sukan bina badan dan melihatkan susuk badannya yang berotot adalah jelas beliau banyak menghabiskan masa di gim.

"Bina badan adalah minat baru saya dan saya telah banyak berusaha, daripada latihan fizikal hinggalah aspek nutrisi dan diet," katanya.

KEJADIAN MALANG BAWA RIZAL KE SINI

Daripada raut wajah yang dipaparkan, tidak sedikit pun menunjukkan yang dia adalah orang yang pernah menjadi perhatian dunia pada awal 2005 selepas terselamat daripada pengalaman pahit di laut selama sembilan hari ekoran kejadian tsunami pada 2004.

Pada 5 Jan, 2005, Rizal diselamatkan dari Lautan Hindi lebih kurang 100 batu nautika dari Banda Aceh selepas ditemui oleh kapal kargo MV Durban Bridge yang dalam perjalanan ke Malaysia dan Singapura dari Afrika Selatan.

Mungkin ramai yang masih ingat gambar beliau, pemuda kurus kering dengan berbaju kemeja-T yang satu daripada tangannya berpaut pada batang pokok dan satu lagi tangan melambai dengan sedaya upaya di tengah-tengah lautan terbuka, yang terpampang di media seluruh dunia.

Beliau terapung di lautan terbuka selama sembilan hari selepas dihanyutkan oleh badai tsunami yang memusnahkan kampung halamannya di Banda Aceh dan membunuh kira-kira 250,000 orang di 11 negara. Kebanyakan yang terbunuh adalah dari Aceh.

Rizal masih ingat yang beliau sedang bergotong-royong di sebuah masjid bersama ayah dan beberapa orang saudara lelaki apabila dilanda tsunami.

"Saya bertanya kepada bapa sama ada beliau pernah melihat gelombang seperti itu dalam hayatnya. Dan dijawabnya tidak. Itulah kali terakhir saya bercakap dengan bapa dan kemudian apa yang saya tahu, semua orang berlari untuk menyelamatkan diri apabila satu lagi gelombang yang begitu besar menderu ke arah kami," katanya.

Menceritakan pengalaman menakutkan di lautan, Rizal berkata jika bukan kerana kata-kata perangsang daripada ayah yang terngiang-ngiang di telinganya, pasti beliau telah menemui ajal.

"Ayah sentiasa berkata kepada saya supaya tabah dan jangan berputus asa. Saya terus memaut batang pokok itu walaupun mereka yang lain sama satu demi satu berputus asa dan membiarkan lautan biru menentukan nasib mereka.

"Menjelang hari keempat saya adalah satu-satunya yang masih memaut batang pokok itu selepas seorang anggota polis yang bersama saya putus asa dan menyerahkan takdirnya kepada laut. Ia sungguh menakutkan memandangkan saya keseorangan dan di mana-mana sahaja terdapat mayat terapung. Sehinggakan ikan jerung mengeliling saya namun bernasib baik kerana tidak mengancam saya.

"Ia juga kerana Allah yang Maha Esa. Saya berterima kasih kepadaNYA kerana masih diberi belas kasihan dan satu lagi peluang untuk hidup. Saya berterima kasih kepadaNYA bagi setiap saat hidup saya," tambah beliau.

Sepanjang pengalaman pahit itu Rizal bergantung hidup dengan meminum air hujan dan makan isi kelapa.

SEMUANYA BERUBAH SEKARANG

Selepas tragedi itu, Rizal dibantu oleh UCSI dan ditawarkan biasiswa penuh untuk belajar bahasa Inggeris di peringkat sijil dan kemudian ijazah.

Rizal berada di bawah jagaan naib presiden UCSI Prof Dr Norfadzillah Hitam, yang beliau kini menganggapnya sebagai penjaga.

"Beliau (Dr. Norfadzillah) banyak membantu saya. Beliau bagaikan ibu kepada saya. Beliau banyak memberi tunjuk ajar sejak saya mula belajar di Malaysia," katanya.

Pada 2007 dan 2008, Rizal kembali ke kampung halaman di Calang, dekat Banda Aceh.

"Apabila pulang, saya tidak lagi mengenali tempat itu," kata Rizal yang kehilangan hampir semua anggota keluarga kecuali seorang daripada abangnya.

"Rasanya ganjil... bagaikan saya tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan di tempat itu. Saya rasa terpencil. Hampir 80 peratus daripada penduduk kampung telah berpindah sejak kejadian itu, dan sekarang ini saya tidak lagi dapat mengenali mereka yang masih hidup termasuk landskap di situ.

"Sehinggakan saya tidak akrab dengan abang yang masih hidup itu. Mungkin trauma yang dialami telah merenggangkan hubungan antara kami. Ia menjadikan saya kesepian dan sedih apabila memikirkan mengenainya," kata beliau.

Walaupun telah menjalani kaunseling, beliau masih dihantui kenangan akan tragedi itu.

"Sehinggakan sekarang saya ada kalanya menangis. Saya menangis apabila memikirkan keluarga atau mengenang semula tragedi itu," kata Rizal.

MAHU PULANG KE KAMPUNG HALAMAN

Walau apapun, Rizal akan menamatkan pengajian ijazah pada tahun hadapan dan bercadang untuk bekerja dengan UCSI untuk sementara waktu.

Tetapi, pemuda ini tetap mahu kembali ke kampung halamannya pada satu hari nanti.

"Saya mahu kembali ke Aceh. Saya diberi satu lagi peluang untuk hidup dan tidak akan lepaskan peluang ini. Saya mahu membuka sebuah sekolah di situ dan mengajar bahasa Inggeris," kata beliau mengakhiri perbualan. BERNAMA

Artikel Lain