suria

Membina kehidupan baru di Shelter

ANAK-ANAK ini berasal dari latar belakang yang berbeza. Ada yang daripada keluarga miskin dan daripada keluarga berada.

Cuma mereka senasib, menjadi mangsa dera, ditinggal dan diabai.

Terdapat juga beberapa kanak-kanak pelarian dengan masa depan yang tidak menentu, terumbang-ambing di negara serba asing serta anak yatim piatu yang ditinggalkan ibu bapa mereka.

Bagi kebanyakan anak-anak ini, tiada istilah 'rumah itu syurgaku'. Ada yang pernah merempat di kaki lima, terpaksa mengharapkan belas ihsan sedekah untuk kelangsungan hidup.

Namun, derita mereka tidak berpanjangan. Di 'Shelter', sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar, anak-anak ini menemui sinar harapan. Mereka mendapat peluang untuk membina sebuah kehidupan yang lebih bermakna.

"Kami menerima kanak-kanak untuk mendiami rumah kebajikan kami hanya jika mereka perlu tinggal di sini. Apabila kami menilai satu-satu kes, kami akan bertanya sendiri sama ada ini adalah untuk kebaikan kanak-kanak tersebut dan sama ada langkah ini akan memenuhi semua keperluan supaya anak itu boleh membesar dan berkembang.

"Ini selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Bangsa-Bangsa Bersatu. Shelter mengutamakan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera, dari aspek pencegahan kepada penyembuhan," kata James Nayagam, pengarah eksekutif Shelter, dalam wawancara dengan Bernama di pejabat pertubuhan itu di sini baru-baru ini.

Shelter, kata beliau, adalah juga ahli pelbagai pertubuhan di Malaysia termasuk Majlis Perlindungan Kanak-Kanak dan juga Majlis Penyelarasan Kebajikan Kanak-Kanak.

Faktor kemasukan

Menurut Nayagam yang mengasaskan Shelter kirakira 28 tahun lalu, kemiskinan bukan satu-satunya faktor bagi menimbangkan kemasukan kanak-kanak miskin ke rumah-rumah kebajikan Shelter.

"Dalam kes yang membabitkan ibu bapa yang hanya mempunyai masalah menjaga anak-anak mereka kerana kemiskinan, kami mempunyai khidmat komuniti untuk membantu mereka berdikari.

"Kami tidak akan mengambil anak-anak mereka, sebaliknya membantu ibu bapa dari segi kewangan, sebagai contoh menerusi program mikrokredit kami. Ini akan membolehkan mereka menjaga terus anak-anak yang sudah tentunya ini jalan yang terbaik," katanya dengan menambah Shelter juga malah mencarikan peluang pekerjaan untuk keluarga berkenaan.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang 'bermasalah', Nayagam berkata Shelter akan mencadangkan pihak berkenaan menghadiri program sokongan ibu bapa.

"Katakan ibu bapa tidak boleh menjaga anak mereka kerana anak itu tidak mahu mendengar cakap, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan cara ibu bapa itu membesarkan anak mereka. "Mungkin kami boleh mencadangkan kepada ibu bapa itu untuk menghadiri kumpulan sokongan kami, belajar beberapa teknik untuk mengendalikan anak, dan tengok sama ada ia berkesan atau tidak," katanya.

"Secara logiknya jika ibu bapa tidak boleh membesarkan anak dengan cara yang betul, bagaimana orang yang tidak dikenalinya boleh melakukannya. Untuk itu, lebih baik kami membantu mereka menerusi program kaunseling.

"Sekurang-kurangnya kami boleh membantu ibu bapa dan anak mereka mengenal pasti apa yang boleh merapatkan hubungan antara mereka. Mungkin ada peraturan rumah yang boleh dibaiki dan juga untuk ibu bapa menangani personaliti dan tingkah laku anak," jelasnya. Mentaliti membuang anak

Anderson Selvasegaram yang menyelia semua rumah kebajikan Shelter memberitahu Bernama tentang sikap sesetengah ibu bapa yang datang ke Shelter semata-mata mahu 'membuang' anak mereka atas alasan anak itu degil dan sukar dikawal.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa yang sama akan datang balik untuk mendapatkan semula anak mereka bila anak itu sudah besar sedikit.

"Kami telah beberapa kali berdepan dengan keadaan ini. Ramai ibu bapa datang ke sini bila anak mereka berusia 12 tahun dan mahu meninggalkan anak mereka atas alasan susah nak jaga.

"Bagaimanapun bila anak itu sudah besar sedikit, ibu bapa datang balik. Kenapa? Sebab anak itu kini sudah boleh bekerja dan boleh memberi wang untuk keluarga," keluh beliau.

Dalam menghadapi keadaan sedemikian, Selvasegaran berkata Shelter akan nmendapatkan bantuan nasihat Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut beliau, Shelter akan cuba menjelaskan kepada ibu bapa yang berkeras mahu mengambil semula anak mereka dan cuba menyakinkan mengapa anak itu perlu tinggal di rumah kebajikan Shelter.

"Kami harap dengan penjelasan ini, ibu bapa ini akan terbuka hati mereka untuk lebih memikirkan masa depan anak mereka. Kami akan ajukan soalan sama ada mereka mahu anak mereka jadi penyapu sampah di tepi jalan?

Atau seorang yang mempunyai masa depan yang lebih cerah jika dia teruskan pelajarannya. Jika anak itu dibenar menamatkan pelajarannya, dia bolehlah membantu keluaranya kemudian," kata Selvasegaran.

Perlindungan sementara

Dalam sesetengah kes, Shelter turut membenarkan kanak-kanak tinggal di rumah kebajikannya untuk sementara waktu. Seperti yang dijelaskan oleh Selvasegaran, ini biasanya bagi kes di mana isteri ditinggalkan suami.

"Bagi sesetengah isteri ini, suami mereka lenyap begitu sahaja. Ada isteri yang sudah lama tidak pernah bekerja dan bukan sahaja terpaksa menanggung anak-anak, mereka juga tidak mendapat sokongan keluarga.

"Mereka datang ke Shelter dan meminta kami menjaga anak mereka buat sementara waktu. Kami akan menjaga anak itu mungkin untuk tempoh enam bulan dan kaji semula kes sama ada perlu menyambung tempoh itu atau tidak," tambahnya.

Peraturan yang sedemikian, jelasnya, akan menjadikan anak-anak lebih tenang kerana tahu mereka akan tinggal di rumah Shelter untuk jangka waktu yang singkat dan ibu mereka akan datang melawat setiap petang.

Beliau menjelaskan kanak-kanak yang ditinggalkan di rumah berkenaan mungkin merasa dirinya ditinggal dan diketepikan dan ini akan menjejaskan harga diri mereka.

Anak-anak yang seumpama itu, katanya, akan membesar dengan mendatangkan pelbagai masalah.

"Dia mungkin akan melakukan macam-macam perkara termasuk jenayah. Dia juga mungkin tidak ada minat untuk belajar dan menyertai satu-satu geng hanya untuk melepaskan perasaan marah dan geram kerana ditempatkan di rumah kebajikan.

"Dia merasa dirinya tidak berguna kerana ibu bapanya tidak mahukannya dan oleh itu tidak ada guna dia belajar atau menjaga tingkah lakunya atau mematuhi peraturan di rumah kebajikan. Keadaan akan menjadi terlalu sukar. Untuk itu, kami akan mengambil langkah yang sesuai daripada peringkat awal lagi," jelas Selvasegaram.

Rumah Shelter

Pada masa ini, Shelter menguruskan empat rumah dikenali sebagai Shelter 1, Shelter 2, Shelter 3 dan Shelter 4. Shelter 1, terletak di Seksyen 6, Petaling Jaya iaitu rumah untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan antara umur 4 hingga 12 tahun.

Shelter 2, di OUG, Kuala Lumpur adalah untuk kanak-kanak belasan tahun dari usia 13 hingga 18 tahun.

Kanak-kanak lelaki antara usia 13 hingga 18 tahun ditempatkan di Shelter 3 yang terletak di Seksyen 8, Petaling Jaya sementara Shelter 4, yang dibuka pada 2007 adalah projek perintis untuk skim rumah keibu-bapaan.

Untuk Shelter 4 ini, seorang kakitangan Shelter akan tinggal di rumah berkenaan dan bertindak sebagai ibu atau bapa kepada beberapa orang anak Shelter yang terpilih. Anak-anak itu berpeluang membesar dalam suasana rumah yang sebenarnya dan tinggal sebagai sebuah keluarga.

Menurut Selvasegaram, bilangan kanak-kanak yang ditempatkan di setiap rumah Shelter dihadkan kepada maksimum 15 orang dan kebanyakan kes dirujuk oleh hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kami juga menerima kes yang disahkan oleh doktor dan membabitkan kes-kes penderaan sebenar. Dalam sesetengah kes, kanak-kanak itu dirujuk oleh emak saudara atau saudara-mara kanak-kanak yang prihatin," kata Selvasegaran.

Kanak-kanak di Shelter, katanya, diberi empat perkara asas, iaitu penjagaan asas termasuk makanan dan tempat tinggal, pendidikan, kegiatan kokurikulum serta terapi psikologikal dan kaunseling.

Dropzone

Satu lagi usaha Shelter untuk kebajikan kanak-kanak ialah membuka 'Dropzone' yang terletak di No 92A, Tingkat Satu, Jalan Othman 1/14, Petaling Jaya Old Town. Ia dibuka dari Isnin hingga Jumaat, dari pukul 11 pagi hingga 6 petang.

Menurut Selvasegaran yang juga bertanggungjawab menyelia Dropzone serta pusat komuniti Shelter yang lain, Dropzone pada asasnya ialah projek pusat komuniti belia yang yang menawarkan tempat santai untuk kanak-kanak.

"Ia lebih untuk pelajar sekolah menengah yang memerlukan tempat sebelum atau selepas waktu sekolah. Jadi, daripada mereka melepak di merata tempat yang mungkin menyebabkan mereka terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat, di Dropzone mereka berada di persekitaran yang selamat.

"Kami ada kaunselor di Dropzone sekiranya pelajar-pelajar itu memerlukan. Pelajar yang datang ialah dari pelbagai kaum dan mereka datang untuk sekejap sahaja sebelum pergi ke kelas tuisyen, dan sesetengahnya datang selepas sekolah kerana ibu bapa masih bekerja," jelas Selvasegaran, sambil menambah pelajar perlu mendaftar diri bila mereka berada di Dropzone dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Purata dalam sehari, seramai 40 hingga 50 pelajar datang ke Dropzone.

Beberapa aktiviti yang boleh dilakukan di tempat itu selain berehat termasuk permainan dalaman, belajar musik (gitar dan drum) serta kemahiran komputer. BERNAMA

Artikel Sebelum

Derita yang tidak ku pinta

Artikel Lain