FESTIVAL Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2009 di Kampung Budaya Sarawak yang melabuhkan tirainya tengah malam 12 Julai lepas ternyata kekal dengan keistimewaan dan kehebatan eksklusifnya yang tersendiri untuk semua peminat muzik "ala rimba".Festival siri ke-12 anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Pelancongan Malaysia dan Penerbangan Malaysia di kaki gunung Santubong jelas mempunyai "aura" luar biasa yang memukau setiap pengunjung dari seluruh pelosok dunia.Ramalan awal mengatakan festival tersebut akan terjejas berikutan dua masalah utama global ketika ini iaitu kelembapan ekonomi dunia dan wabak penyakit selesema babi H1N1 ternyata meleset apabila hampir 20 ribu penggemar muzik hutan hujan dari dalam dan luar negara berkampung di Kampung Budaya sejak 1012 Julai lepas.Seperti tahun-tahun sebelumnya RWMF ternyata masih mampu menarik pelancong sama ada tempatan mahupun antarabangsa melalui pelbagai persembahan muzik tradisional dari beberapa kumpulan terkenal Eropah, Afrika, Amerika Syarikat, Asia selain kumpulan muzik tradisional tempatan.Tahun ini 13 kumpulan dari luar negara iaitu Zawose Family Africa (Tanzania), Noreummachi (Korea Selatan), Moana & The Tribe (New Zealand), Red Chamber (Kanada/China), Jouhiorkesteri (Finland), Muzsikas (Hungry), Inti Illimani (Chile), Jeff & The Vida (Amerika Syarikat), Dazkarieh (Portugal), Oudaden (Mesir), Poum Tchak (Perancis), Sekaa Jaya Jenggala (Indonesia) dan The Nicholas Orchestra 9 (Poland) menyertai persembahan RWMF 2009.Forum kepada peminatEmpat kumpulan dari Malaysia turut menyampaikan persembahan iaitu Asika, LaETuyang, Kinabalu Merdu Sound dan Akasha.Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak Datuk Michael Manyin Jawong berkata walaupun dunia ketika ini berhadapan dengan krisis ekonomi global dan serangan wabak penyakit seperti selesema babi H1N1, ternyata ia tidak menghalang ataupun menyekat peminat muzik daripada terus datang menyaksikan RWMF 2009.Beliau berkata walaupun jumlah pengunjung RWMF turun sedikit tahun ini, namun secara kasarnya ia berjaya mencapai sasaran awal iaitu 20,000 pengunjung untuk tempoh tiga malam."RWMF ternyata masih menjadi tarikan utama pengunjung ke Sarawak dan ini dibuktikan apabila krisis global seperi ekonomi dan wabak penyakit tidak pun menjejaskan pengunjung ke Kampung Budaya Sarawak tahun ini," katanya kepada pemberita di sini.Manyin berkata RWMF sudah menjadi satu forum penting kepada seluruh peminat muzik hutan hujan sedunia dan ia sudah menjadi satu kewajiban untuk diraikan di Kampung Budaya Sarawak setiap pertengahan bulan Julai.Bertahan sejak 12 tahunJelasnya STB dengan kerjasama Pelancongan Malaysia serta Penerbangan Malaysia selain pihak penaja akan cuba memastikan RWMF kekal dianjurkan pada masa akan datang selain menampilkan sesuatu yang baru untuk semua pengemar muzik tradisional."Kita masih lagi dalam kajian untuk menampilkan satu lagi produk baru dalam industri pelancongan yang hampir sama seperti RWMF iaitu yang dikenali sebagai Festival Gong Sedunia di sini tahun hadapan," katanya.Menurut Manyin pihaknya akan cuba untuk bekerjasama dengan Jabatan Muzium untuk membuat satu kajian secara terperinci sebelum Festival Gong Sedunia dapat dilaksanakan dengan jayanya seperti RWMF yang telah bertahan selama 12 tahun.Pada tahun pertama RWMF dianjurkan di Kampung Budaya Sarawak tidak sampai 500 pengunjung yang datang dan separuh daripada jumlah yang datang adalah mereka yang ditaja dan tetamu jemputan.Namun, katanya, atas usaha gigih semua pihak yang terlibat hari ini RWMF telah menjadi satu daripada acara pelancongan yang terbaik di rantau ini.Apa kata pengunjungSeorang pengunjung dari Singapura Nazmi Shamsudin berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga ia menyaksikan RWMF dan ternyata ia mempunyai daya tarikan dan keunikan yang tersendiri."Setiap kali RWMF saya akan datang ke sini untuk berjumpa peminat muzik dari seluruh dunia dan kali ini jelas ia lebih menarik walaupun dunia berhadapan kelembapan ekonomi," katanya.Beliau berkata, langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat daripada pihak penganjur sangat baik sekali dan berasa lebih selamat berada di Kampung Budaya.John Branden dari Australia pula berkata, RWMF adalah unik dan berjaya menarik beribu pengunjung dari seluruh dunia."Saya telah menyaksikan RWMF sejak 2005 dan ramai daripada rakan saya dari Eropah datang ke Sarawak untuk menyertai acara ini setiap tahun hanya kerana muzik," katanya.Menang anugerahAcara RWMF pernah memenangi anugerah Aseanta Award of Excellence 2009 untuk kategori kempen pemasaran dan promosi Asean selain Anugerah Emas Warisan dan Budaya Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) 2006.Sementara itu Timbalan Pengarah Kanan Komunikasi dan Publisiti Pelancongan Malaysia Nor Aznan Sulaiman berkata RWMF adalah satu daripada produk pelancongan yang berjaya menarik ramai pelancong ke Malaysia sejak 12 tahun lepas.Katanya publisiti yang meluas bukan sahaja oleh pihak media tempatan, malah media asing berjaya menarik minat pelancong dan peminat muzik ke negara ini khasnya ke Kampung Budaya Sarawak."Kita di Pelancongan Malaysia berharap usaha untuk mempromosi dan memperkenalkan Malaysia melalui keunikan budayanya dapat diteruskan pada masa akan datang.Untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini jumlah pelancong ke Malaysia meningkat sebanyak 2.6 peratus iaitu daripada 9 juta pelancong luar tahun lepas kepada 9.2 juta untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini. BERNAMA