'BOB' baru berusia enam tahun, tetapi beratnya kini mencecah 1,100 kilogram, melebihi berat seekor anak gajah. Pembesaran yang di luar jangkaan itu menyebabkan 'Bob', lembu kacukan Charolais jantan, digelar penduduk kampung sebagai 'lembu ajaib' yang memberi tuah kepada pemiliknya, Mohd Juharani Jaafar.Mohd Juharani, 26, dari Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok berkata, Bob yang berstatus pejantan baka berasal dari Amerika telah dipelihara sejak enam tahun lepas sememangnya memiliki tahap pembesaran yang pelik apabila membesar hampir 480 gram sehari."Masa saya beli Bob sekitar enam tahun dulu, usianya baru setahun dua bulan dengan berat melebihi 300 kilogram iaitu berat biasa bagi baka Charolais yang sememangnya terkenal bersaiz lebih besar daripada baka lain."Lain pula dengan Bob, ia membesar dengan cepat melebihi tahap pembesaran bakanya. Setiap hari dapat lihat dengan jelas perbezaannya dan saya langsung tidak menyangka Bob kini boleh mencapai berat 1,100 kilogram pada usia baru enam tahun," katanya kepada Bernama.DIIKTIRAF LEMBU TERBESAR DI MALAYSIAMohd Juharani, seorang pemilik kedai makan, berkata kebiasaan berat lembu baka Charolais pada usia enam tahun hanyalah sekitar 400 kilogram manakala bagi lembu tempatan bawah 300 kilogram.Pakar penyembelihan lembu yang melihat saiz Bob juga terkejut dan berkata sekiranya Bob disembelih, dagingnya itu sahaja boleh menjamu selera kira-kira 10,000 orang, jelasnya lagi.Mengimbas saat awal Mohd Juharani memiliki Bob sewaktu beliau pernah membela 80 ekor lembu pada 90-an, katanya, Bob dibeli daripada seorang saudaranya di Chieng Mai, Thailand dengan harga RM5,400.Tiada siapa menyangka, Bob yang pada usia kecil kelihatan 'biasa-biasa saja' sama seperti lembu baka Charolais, yang lain kini mampu mencuri perhatian segenap lapisan masyarakat dari serata negeri, kerana keunikan saiznya sehingga turut diiktiraf Jabatan Veterinar Kelantan (JPV) sebagai lembu terbesar di Malaysia.Melalui pemantauan JPV Kelantan ke seluruh negara, tiada seekor pun lembu baka Charolais yang boleh menandingi saiz Bob menyebabkan Bob semakin popular terutama dalam kalangan peminat lembu negara ini."Saya dimaklumkan baka Charolais ini tidak banyak dipelihara di negara kita, kalau ada pun hanya di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu. Sebab itulah sehingga kini Bob adalah antara lembu yang terbesar di negara ini," katanya.BOB YANG POPULAR TETAPI GARANG Mohd Juharani, yang masih bujang dan menetap bersama keluarganya di Kampung Permatang Pasir, berkata, rumah keluarganya itu jarang sunyi daripada kunjungan orang ramai yang ingin melihat dan bergambar bersama Bob.Tidak seperti kebanyakan binatang lain yang kebiasaannya jinak apabila sering mendapat perhatian dan sudah biasa menerima kunjungan orang ramai, lain pula ceritanya Bob apabila sikapnya tidak begitu.Bob sangat garang dan sering mendengus sekiranya ada orang yang tidak dikenali cuba menghampiri.Meskipun sekadar menyentuh pagar kandangnya, jika disedari, Bob akan mengibas-ngibaskan ekornya dan bergerak dengan mimik muka yang garang.Ketika situasi itu, orang ramai dinasihat supaya menjauhi kandang Bob kerana makin dihampiri bimbang ia lebih menaikkan kemarahan Bob."Bob memang begitu, moodnya tidak menentu, kadang-kadang dia oke tetapi kadang-kadang dia mudah naik marah.Walaupun popular, dia memang tidak berapa mesra dan tetap garang dengan orang ramai," kata Mohd Juharani sambil mengusap-ngusap belakang badan Bob. Beliau bagaimanapun berkata, Bob sangat manja dengannya dan tidak pernah membantah suruhannya.Disuruh duduk Bob duduk, disuruh bangun juga Bob akan bangun meskipun Bob kelihatan termengah-mengah kerana terpaksa bangun walaupun baru lima minit Bob duduk merehatkan diri.TIDAK SUKAR JAGA BOBSeringkali ketika menerima kunjungan orang ramai, pertanyaan tidak takutkah dicederakan Bob yang bersaiz besar dan bertanduk tajam itu pasti akan didengari Mohd Juharani berkata, Bob sememangnya kelihatan garang dan agak menakutkan kerana saiznya yang besar dengan tanduk yang tajam tetapi sepanjang beliau menjaga Bob, ia tidak pernah menunjukkan rasa marahnya kepada Mohd Juharani, anak keenam daripada tujuh adik beradik.Malahan Bob langsung tidak susah dijaga, baik dari segi pemakanan mahupun penjagaan harian."Bob seekor lembu yang baik, dia kenal siapa tuannya, saya tidak pernah cedera kerana Bob, meskipun dia garang tetapi dia tidak marah pada tuannya."Bukan itu sahaja, nak jaga Bob pun tidak susah, setiap hari hanya perlu sediakan 50 kilogram rumput dan lima kilogram dedak untuk makanan hariannya yang kosnya sekitar RM20 sehari, itupun untuk kos dedak sahaja kerana rumput ditanam sendiri di belakang rumah," katanya.Bagi memastikan kebersihan Bob dan keselesaan orang ramai yang berkunjung ke sini, Bob sentiasa dipastikan bersih dengan memandikannya tiga hingga empat kali dalam sehari.Selain itu, Bob juga jarang sakit menyebabkan Mohd Juharani hanya perlu mengeluarkan kos perubatan yang asas sahaja seperti memastikan Bob diberi vaksin yang sesuai untuk mengelakkan daripada diserang penyakit.MAHU CARI TEMAN UNTUK BOBKeistimewaan pembesaran Bob yang jarang ditemui itu membuatkan Mohd Juharani akan mencari baka induk yang sesuai untuk dijadikan teman kepada Bob bagi mengembangkan bakanya itu. Mengikut perancangan sepuluh ekor baka induk akan dibeli pada awal tahun hadapan.Bagaimanapun, untuk mencari baka induk yang sesuai dengan saiz Bob agak sukar tetapi sekiranya tiada beliau akan meminta bantuan JPV Kelantan untuk menggunakan kaedah permanian beradas atau tabung uji untuk mengembangkan baka Bob.Selain itu Mohd Juharani berkata, beliau turut membuat permohonan pinjaman kepada Agro Bank untuk membeli baka induk berkenaan dan berharap pinjamannya akan diluluskan segera menjelang tahun hadapan.TIADA HASRAT JUAL BOBMohd Juharani yang kini memiliki sebuah kafe di Terengganu berkata, meskipun sibuk menjaga perniagaan, beliau tetap tidak lupa terhadap Bob dan tidak berhasrat menjual lembu itu kepada sesiapaun meskipun ditawar dengan harga yang tinggi."Sekarang ni Bob bawah jagaan ayah saya, Jaafar Mat Amin kerana ayah adalah orang terdekat dengan Bob selain saya yang boleh menguruskan Bob sepanjang saya berada di Terengganu uruskan kafe."Tetapi walau sesibuk manapun saya, saya tidak lupa pada Bob, setiap minggu saya akan pulang menjenguk Bob dan tidak berhasrat menjual Bob kepada sesiapa pun kerana sayang dan bangga memilikinya," katanya yang menyifatkan dirinya bertuah berpeluang memiliki Bob yang istimewa.Selain itu, kata Mohd Juharani, sikap Bob yang terlalu garang kepada orang yang tidak dikenalinya menjadi alasan utama untuk beliau tidak menjual Bob meskipun ada yang menyatakan hasrat dan kesungguhan untuk menjaga Bob dengan baik. BERNAMA