suria

Minum kopi, keindahan air terjun di Yogyakarta

KUNJUNGAN pertama penulis ke kota ini barubaru ini diselubungi perasaan bercampur suka dan duka.

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan terbang Antarabangsa Adi Sumarmo, Solo, saya mendapati bagasi saya hilang.

Setelah menunggu tiga jam untuk berita yang tak kunjung tiba tentang bagasi yang hilang itu, penulis ditimpa malang lagi apabila ditinggalkan bas yang sepatutnya membawa saya ke hotel penginapan.

Lalu penulis cuba menghubungi pihak penganjur lawatan (sempena Borobudur Travel Mart) tetapi malang sekali lagi apabila telefon bimbit saya tidak dapat digunakan, dan sebaik berjaya mendapatkan kenderaan untuk ke hotel, penulis dimaklumkan pula hotel yang hendak dituju mengambil masa hampir tiga jam perjalanan.

Namun perjalanan terpaksa diteruskan.

Sampai di Hotel Asri Puri di Magelang, mata terpegun menyaksikan keindahan sawah padi luas terbentang di persekitaran hotel dengan cuaca yang sejuk berangin membuatkan penulis hampir terlupa tentang bagasi yang masih belum ditemui.

KAMPUNG KOPI BANARAN

Pada hari kedua, rombongan penulis menuju ke Kota Semarang yang mengambil masa kirakira lima jam. Sepanjang perjalanan keindahan alam di daerah ini sungguh mempesonakan dan dari kejauhan dapat disaksikan keindahan Gunung Merapi.

Kampung Kopi Banaran terletak di Jalan Raya Bawen, Solo, 1.5 km tidak jauh dari terminal Bawen.

Menurut pemandu pelancong, di kampung ini ada kopi yang paling enak boleh dinikmati dan difahamkan juga kampung ini, sekitarnya dikelilingi dengan kebun kopi.

Malangnya penulis dan rombongan tidak berkesempatan untuk mengunjungi kebun kopi disebabkan kesuntukan masa tetapi berpeluang menyaksikan bagaimana kopi itu dihasilkan bermula daripada pemilihan biji kopi sehinggalah kopi dikeringkan.

Kemudian kami dibawa ke kafe berdekatan, menikmati kopi bersama dengan hidangan tauhu goreng, juga dikenali dengan nama tahu serasi. Tauhu itu berasal dari daerah Bandungan, Ambarawa.

Rasanya begitu enak. Selain tauhu juga ada pisang goreng madu dan martabak. Bagi mereka yang ingin membeli kopi untuk dibawa pulang boleh mendapatkannya dengan harganya amat murah, sebungkus cuma RM3.

KERETAPI WAP

Selepas puas menikmati keenakan kopi, perjalanan diteruskan ke Muzium Lokomotif Wap, terletak di kota Ambarawa, sebelah utara Yogyakarta.

Muzium ini menjadi satusatunya muzium di dunia yang memberikan peluang pengunjung menaiki kereta api wap.

Menaiki kereta api wap sambil menyusuri keindahan serta kehijauan pergunungan dan tanaman merupakan satu pengalaman unik dan indah.

Stesen kereta api yang dibina pada 1873 ini masih beroperasi untuk landasan dari Ambarawa ke Bedono dengan jarak 9 km.

Sebelum menaiki kereta api, rombongan kami turut dihidangkan dengan makanan tradisi jawa sambil menyaksikan tarian selamat datang dipersembahkan penduduk asli di kawasan ini.

Menariknya di sepanjang perjalanan, anda tidak akan jemu, malah kagum dengan keindahan sawah padi yang menghijau yang ditanam di lerenglereng bukit.

DESA BLUMAH

Pengunjung yang berminat juga boleh merasai sendiri kehidupan seorang petani dengan bermalam di Desa Blumah yang mana memberikan peluang kepada pengunjung menaman sendiri tanaman seperti padi dan jagung.

Desa Blumah ialah satu daripada 14 desa yang terdapat di daerah Plantungan Kabupaten Kendal dan terletak di hujung sebelah Barat kabupaten Kendal.

Desa ini terletak di dataran tinggi, berbukit dan berlembah, sebahagian besar kawasannya didiami para petani dengan suhu antara 20 hingga 22 darjah celsius.

Biarpun terletak nun jauh di kawasan pedalaman kampung ini dilengkapi dengan prasarana yang mencukupi seperti elektrik dan telefon. Disebabkan jagung merupakan tanaman utama penduduk di sini, nasi jagung menjadi makanan harian.

Selain tanaman makanan, terdapat juga tanaman herba yang berpotensi dijadikan ubatan alternatif.

Di kampung ini juga pengunjung berpeluang menikmati keindahan dan kesejukan air terjun lapan tingkat yang sekitarnya dikelilingi keindahaan flora yang masih belum terusik.

AIR TERJUN LAPAN TINGKAT

Dikenali sebagai Air Terjun Semawur oleh penduduk kampung, kawasan ini boleh dimasuki dengan ejen pelancongan yang khas sahaja memandangkan ia tergolong kawasan yang dipelihara flora dan faunanya.

Ditemui sekitar tahun 1990, air terjun setinggi 294 meter mempunyai mitos tersendiri di mana dipercayai airnya dapat membuat orang awet muda dan mampu mengubati penyakit.

Air terjun ini mempunyai lapan tingkat dan yan paling tinggi ialah 43 meter dan lebar 7 meter.

Biarpun pelbagai masalah melanda di awal kunjungan, tetapi lawatan ke kota Yogyakarta tetap memberikan pengalaman dan kenangan indah, maka tidak hairanlah ia terus menjadi destinasi pilihan pelancong. BERNAMA

Artikel Lain