suria

Jari putus dan paha cedera pengalaman menentang kekejaman komunis

Allahyarham Dollah Talip, 72, menceritakan pengalamannya semasa berkhidmat dalam angkatan tentera menentang komunis kepada wartawan BERNAMA di rumahnya di Kampung Belukar Baru, Pulai Chondong, Machang. Dollah adalah antara mereka yang membantah dan terguris hati ketika mendengar beberapa pihak menyarankan kerajaan membenarkan Chin Peng, bekas pemimpin PKM, dibenarkan pulang ke Malaysia. -foto BERNAMA

WAKTU menunjukkan pukul 6 pagi, dan dalam gelap subuh pada 3 Jun 1972 itu, satu batalion Askar Wataniah mula mendaki Bukit Batu Melintang di Jeli bagi memantau kehadiran pengganas komunis.

Kawasan Batu Melintang ketika itu ialah sarang bagi pengganas Parti Komunis Malaya (PKM).

Dollah Talip ketika itu berusia 36 tahun.

Beliau berada di barisan kedua pasukan yang berwaspada menyusun langkah sambil memegang alat pengesan senjata api.

Ketika menghampiri puncak bukit, alat pengesan senjata api menunjukkan sesuatu, yang memberi isyarat bahawa kawasan sekitar mempunyai periuk api dan jika tersilap langkah boleh membawa padah.

Secara tiba-tiba juga sebutir periuk api meletup dan menggegarkan suasana pagi itu, dan Dollah jatuh terpelanting beberapa meter dari tempat dia berdiri.

Beliau merasai sesuatu yang tidak kena berlaku kepadanya apabila melihat kesan darah di jari telunjuk kanan manakala pahanya terasa amat sakit.

TERKENA SERPIHAN PERIUK API

"Rupa-rupanya saya terkena serpihan periuk api yang menghancurkan jari telunjuk kanan dan serpihan itu juga menembusi paha sebelah kanan," kata Dollah, 72, sambil mengimbas memori berdarah itu kepada pemberita di rumahnya di Kampung Belukar Baru, Pulai Chondong di sini.

Dollah dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian dihantar ke Hospital Kota Baharu. Di situ doktor tiada pilihan lain terpaksa memotong jari telunjuknya yang hancur untuk mencegah gangren.

Kesan tembusan di paha kanannya pula menyebabkan beliau sukar untuk berjalan bagi tempoh yang lama selepas itu.

"Inilah bukti darah tentera yang masih mengalir dalam jiwa saya dan bukti kekejaman komunis.

"Saya terpaksa menerima hakikat yang saya cacat jari dan punyai kesan parut di paha sampai mati," katanya.

KEKEJAMAN KOMUNIS

Mengikut catatan sejarah, PKM ditubuhkan pada 1930 yang bertujuan menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menjadikannya republik komunis.

Dollah adalah antara mereka yang membantah dan terguris hati ketika mendengar beberapa pihak menyarankan kerajaan membenarkan Chin Peng, bekas pemimpin PKM, dibenarkan pulang ke Malaysia.

"Kekejaman komunis waktu itu hanya orang seperti kami sahaja yang merasainya. Terasa bagaikan baru sahaja kekejaman itu berlalu dalam kehidupan kami," kata Dollah.

"Saya menyelar tindakan mereka yang mendesak untuk membawa pulang Chin Peng kerana memandang enteng pengorbanan kami menentang pengganas ini. Mereka melukai hati kami yang berkorban melindungi kedaulatan negara," katanya.

Mendirikan rumah tangga dengan Halimah Yaacob, 63, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata, empat lelaki dan seorang perempuan serta 15 cucu.

PENCEN SEDIKIT

Dollah bagaimanapun sedikit terkilan kerana menerima pencen yang dianggapnya tidak setimpal dengan khidmat yang dicurahkan sebagai askar iaitu sebanyak RM56.20.

"Selama 15 tahun tempoh perkhidmatan saya sebagai askar pertahanan dirasakan tidak berbaloi. Pernah saya utarakan hal ini kepada pihak terbabit namun jawapan yang diberikan ialah perkhidmatan dalam askar mestilah melebihi 21 tahun untuk mendapatkan pencen yang setimpal.

"Kami telah berkorban sehingga kehilangan pancaindera kurniaan tuhan, malah ada antara rakan seperjuangan yang kehilangan mata, tangan dan kaki tetapi mendapat bayaran pencen yang tidak setimpal dengan pengorbanan mereka," katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana kesemua anaknya berjaya dalam bidang masing-masing, ada yang menjadi anggota polis, chef dan usahawan.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau kepada negara, Dollah berharap agar jasa bekas tentera yang pernah menggadaikan nyawa demi negara, lebih dihargai.

Dollah meninggal dunia pada 18 Jun 2009.

Anak keempat allahyarham, Razi, ketika dihubungi berkata arwah bapanya sangat menyayangi kerjanya sebagai seorang tentera.

"Pengorbanan arwah terhadap negara patut menjadi contoh kepada generasi kini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain