SETENGAH abad lalu Pulau Banggi - pulau terbesar di Malaysia yang terletak di perairan Kudat - hanya merupakan tanah lapang yang tidak mempunyai apa-apa kemudahan asas.Bagaimanapun selepas Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia, pulau ini menyaksikan banyak perubahan.Pulau Banggi yang diisytiharkan secara rasmi sebagai satu daerah pada tahun 1975, mempunyai populasi 14,000 orang dari 43 kampung, bagaimanapun dikategorikan mempunyai 75 peratus penduduk miskin.Majoriti penduduknya ialah suku kaum Ubian dan yang lain-lain Dusun Banggi, Kegayan, Suluk dan Bajau.Dulu rata-rata penduduk pulau ini hidup berlandaskan aktiviti di laut sebagai nelayan dan menambah pendapatan dengan bertani kecil-kecilan, kini penduduk pulau ini mula beralih kepada penanaman getah dan bekerja dengan agensi peneraju projek agropolitan, Felcra Bhd.Ini merupakan projek agropolitan yang pertama negara dan sejak dilancarkan, Pulau Banggi menikmati kemudahan jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik. DULU DAN SEKARANGSekiranya dua tahun lalu penduduk menggunakan generator diesel yang hanya berfungsi selama 12 jam sehari dan itu pun terhad kepada pekan Karakit (berdekatan jeti) saja, kini penduduk di tujuh kawasan menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui sistem solar hibrid bernilai RM21 juta.Jika dulu bekalan air paip tidak sampai ke kampung-kampung, hari ini ia sebaliknya di mana projek bekalan air luar bandar (BALB) meliputi 36 kilometer paip agihan melalui lapan buah kampung telah pun siap dan beroperasi, dan jalan raya berturap sudah pun dibina di beberapa kampung.Ketika ini pembangunan ladang estet getah fasa satu juga telah mencapai 100 peratus kawasan siap ditanam iaitu 700 hektar, manakala fasa dua daripada 1,100 hektar, seluas 980 hektar atau 89 peratus telah melalui kerja pembersihan kawasan.Semua ini berlaku apabila Projek Agropolitan Pulau Banggi dilancarkan pada Ogos 2007 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai satu cara untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini. PENDUDUK BERSYUKUR DENGAN PEMBANGUNANBaru-baru ini penduduk di sini menerima rumah di bawah projek perumahan masyarakat setempat (PPMS).Program PPMS itu memberikan 100 unit rumah kepada penerima terpilih dari kalangan Ketua Isi Rumah Masyarakat Termiskin (KIRMT) dalam lingkungan umur 25-55 tahun.Seorang daripada penerimanya, Talhaja Junaidal, 49, menyifatkan pemberian rumah itu sebagai motivasi untuk melakukan lebih baik untuk masa depan anak-anaknya.Ibu tunggal itu dengan empat orang anak, sebelum ini bertani dan mengambil upah menjahit dengan pendapatan paling tinggi RM400 sebulan. Tetapi kini beliau akan beliau mendapat gaji tetap RM18 sehari bekerja dengan projek pembangunan estet getah Felcra.Talhaja berkata rumah lamanya di Kampung Kobong tidak mempunyai bekalan air bersih dan elektrik, dan bila berpindah ke rumah baru itu, anak sulung beliau berusia 25 tahun akan turut menyertai aktiviti penanaman getah."Saya lebih daripada gembira. Saya betul-betul bersyukur, ini perkembangan baik dalam hidup kami dan kami harap ini akan berterusan."Kerajaan sudah bawa banyak kemudahan asas dan kali ini saya dapat rumah dan pekerjaan tetap, saya harap dapat nikmati lebih banyak kebaikan selepas program agropolitan ini membuahkan hasil kepada peserta," katanya. TERIMA KASIHAbdullah Sulaiman, 45, dari Kampung Perpaduan, berkata penduduk Pulau Banggi sentiasa dambakan pembangunan dan berterima kasih kerana diberi peluang menyertai arus pembangunan negara."Dulunya sebelum merdeka tidak ada apa-apa di sini, tiada kemudahan atau peluang pekerjaan langsung...hidup kami susah sekali umpama kais pagi, makan pagi; kais petang makan petang. Jadi kami amat bangga melihat situasi sekarang."Kami mahu bukan saja peserta projek agropolitan seperti kami mengecapi nikmat, tetapi juga anak-anak kami nanti," kata bapa 10 anak itu.Seorang kakitangan kerajaan dari Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Banggi, Amir Hamzah, 46, berkata perbezaan keadaan memang amat ketara semasa generasi sebelum beliau dengan sekarang.Amir yang dilahirkan dan membesar di pulau ini berkata kalau dulu rata-rata penduduk menyerah hidup sebagai nelayan dan hasil dari laut, seperti beliau sendiri, kini banyak peluang pekerjaan lain di pulau ini."Saya pun baru bermula bekerja dengan UPKR tahun ini, tahun lalu saya masih lagi nelayan. Jadi kita perlu berterima kasih kepada Felcra kerana menyumbang kepada pembangunan insan," tambah Amir. KOMITMEN KEPADA PULAU BANGGIMenteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa lawatan kerja beliau ke Pulau Banggi baru-baru ini, membawa satu lagi berita gembira dengan mengumumkan pembinaan dewan serbaguna di Kampung Karakit seperti yang dipohon.Beliau berpuas hati kini pulau ini sudah membawa petanda baik dari segi pembangunan prasarana dan diharap penduduk pulau dapat dibawa keluar dari takuk kemiskinan tidak lama lagi."Kalau bertahun-tahun dulu saya datang sebagai pegawai kerajaan, Pulau Banggi tidak seperti ini.Proses membangunkan tanah dan membina masyarakat ini mengambil masa."Jadi kami berharap usaha kerajaan akan terus disambut baik oleh semua rakyat," katanya.Beliau berkata sesetengah projek agropolitan di Semenanjung sudahpun membuahkan hasil, di mana peserta projek berjaya meningkatkan pendapatan dari RM200 sebulan kepada RM1,000 hingga RM1,300 sebulan.Beliau mengingatkan penduduk di sini yang mungkin mengalami kesukaran bertukar daripada aktiviti laut ke aktiviti darat, supaya tidak berputus asa di tengah jalan kerana hasil yang akan dinikmati lebih besar.Apa pun, Pulau Banggi sudah memahatkan nama sebagai perintis kepada projek agropolitan di Sabah yang akan membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan, dalam semangat kemerdekaan yang menjanjikan masa depan cerah untuk semua. BERNAMA